Pada hari ini, tanggal 9 Ogos 2021 adalah tarikh berduka buat seluruh warga seni Malaysia kerana Malaysia kehilangan seorang anak seni, seorang penyanyi popular, Siti Sarah Raissuddin, berusia 36 tahun, yang diberitakan telah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat jangkitan COVID-19, jam 5.13 pagi ini selepas terpaksa ditidurkan pada 4 Ogos lalu.
Berita Disahkan oleh Shuib
Pemergian penyanyi lagu Semakin itu disahkan oleh suaminya, Shuib Sepahtu di laman Instagram (IG), pada pagi tadi.
Pengurus Siti Sarah Mengesahkan
Berita yang tular ini juga telah disahkan oleh pengurus Siti Sarah, Nana Mohd Rom yang berkata Shuib dalam perjalanan ke hospital sejurus mendapat perkhabaran itu.
Air Mata Sarah Mengalir Ketika Nazak
Shuib Sepahtu sempat membuat panggilan video buat kali terakhir ketika arwah isterinya, sedang nazak di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), semalam.
Shuib berkata, dia dan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, dapat melihat air mata berjuraian di pipi arwah ketika mereka membuat panggilan video, seolah-olah memahami apa yang diungkapkan.
“Dengan bantuan jururawat dan doktor, saya membuat panggilan video, itulah kali terakhir saya dan anak-anak dapat menatap wajah arwah ketika masih bernyawa.
“Ketika itu, saya nampak air mata berlinangan di pipinya, seolah-olah memahami apa yang kami bualkan dengannya.
“Saya sempat ke hospital selepas anak-anak tidur dan selesai majlis bacaan Yassin dan doa selamat, malam tadi.
“Bagaimanapun, saya tidak dibenarkan bertemu arwah. Saya kemudiannya berpatah balik ke rumah,”
– Shuib Sepahtu
Cabaran Untuk Beritahu Anak-Anak
Shuib berkata, dia reda atas pemergian arwah isterinya namun beliau rasa ralat dan tak tahu bagaimana cara untuk memberitahu tentang kematian ibu kepada anak-anaknya nanti.
Jenazah Akan Dikebumikan di Gombak
Menurut Shuib, jenazah Allahyarham Siti Sarah Raissuddin akan ditayammum dan disolatkan di hospital berkenaan kira-kira jam 10 pagi.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak selepas segala urusan di hospital selesai. Ketika ini, jasad Siti Sarah masih lagi berada di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi urusan pengurusan jenazah.
Difahamkan jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Sungai Pusu dari HUKM pada jam 11.30 pagi ini. Jenazah akan dikebumikan bersebelahan pusara ibunya Allahyarham Noor Aini Mohamad.
“Jenazah arwah akan dikebumikan bersebelahan kubur arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, jam 12 tengah hari ini.
“Arwah memang minta dikebumikan di sebelah kubur arwah ibunya.
“Jika berbual soal kematian, arwah ada menyebut keinginan disemadikan di sebelah kubur arwah ibunya,”
– Shuib Sepahtu
Kelihatan tenang ketika ditemui, Shuib berkata, dia berjanji akan menjaga empat cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan arwah dengan baik.
“Arwah menghadiahkan saya dengan kehadiran Ayash Affan yang lahir pada Jumaat lalu. Arwah bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Nyata, Allah lebih menyayanginya.
“Nama Ayash Affan itu sendiri menjadi pilihan arwah kerana menurut pembacaannya, nama berkenaan mengenai seorang pejuang di Wilayah Gaza,”
– Shuib Sepahtu
Shuib Pakai PPE Solat Jenazah
Shuib Sepahtu bersyukur diberi kesempatan menunaikan solat jenazah buat arwah isterinya di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), pagi ini.
Penyelaras Pengurusan Jenazah HCTM, Ustaz Mohd Sanusi Mustafa berkata, Shuib bersama beberapa ahli keluarga perlu memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ketika solat jenazah dilakukan.
“Pada peringkat pertama, saya bersama dua wakil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) akan menyempurnakan jenazah dengan kaedah tayamum sebelum solat jenazah.
“Kemudiannya, barulah Shuib bersama ahli keluarga diberi kesempatan menunaikan solat jenazah sekali lagi, namun dibekalkan dengan PPE kepada mereka,”
– Ustaz Mohd Sanusi Mustafa
Shuib Tertanya Apa Amalan Siti Sarah
Shuib Sepahtu masih tertanya-tanya apakah amalan kebaikan arwah isterinya, hingga terlalu ramai insan dikenali mahupun tidak menitipkan doa buatnya.
Shuib akui pemergian arwah isterinya diratapi dan dicemburui ramai.
“Bertalu-talu saya mendapat mesej dan video dari pelusuk seluruh negara yang menganjurkan bacaan Yassin dan doa selamat buat arwah. Tidak kurang juga menghantar gambar memaklumkan soal hajat dilakukan.
“Malah, ada sebahagiannya daripada nombor telefon yang tidak saya kenali.
“Apakah kebaikan arwah isteri hingga semua orang mahu mendoakan keajaiban dan kesembuhan buatnya? Perkara ini membuatkan saya tertanya-tanya dalam diri sendiri.
“Terlalu ramai ambil tahu mengenai perkembangan diri arwah. Saya tertanya-tanya apakah kebaikan arwah yang saya sendiri tidak tahu. Benar, saya mencemburui pemergiannya,”
– Shuib Sepahtu
Siti Sarah Mahu Meninggal Hari Jumaat
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dia sudah reda seandainya arwah isterinya dijemput Ilahi sejak berada dalam keadaan kritikal pada Jumaat lalu.
“Kami pernah bercakap soal kematian. Malah, arwah isteri pernah cakap kalau boleh mahu meninggal pada Jumaat penghulu hari kerana mahu mendapat ‘husnul khatimah’ dan lepas seksaan kubur.
“Jika ikutkan, saya reda seandainya Allah mencabut nyawanya ketika nazak dan paras bacaan oksigen menurun pada Jumaat lalu.
“Namun, Allah memberikan arwah sedikit masa lagi untuk hidup. Akhirnya, hari ini arwah pergi juga,”
– Shuib Sepahtu
Siti Sarah Sertai Ibadah Korban di Palestin
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mendedahkan Siti Sarah pernah menyertai ibadah korban di Palestin dengan menyumbangkan lembu bernilai ribuan ringgit.
Menurutnya, beliau telah dihubungi Siti Sarah sebelum Aidiladha lalu dengan memaklumkan mahu menyertai program korban di bumi Gaza.
“Masa itu saja terkejut beliau (Siti Sarah) nak korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit, bukan satu bahagian sahaja, seolah beliau sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir.
“Selepas itu beliau kerap berhubung dan bertanya tentang keadaan saudara-saudara di Palestin,â€Â
– Nadir Al-Nuri
Difahamkan, harga satu bahagian lembu bagi ibadah korban di Palestin bernilai RM1,900.
Berat bagi seekor lembu di Palestin pula antara 550 hingga 600 kilogram seekor yang memanfaatkan hampir 1,500 orang.
Katanya lagi, nyawa Siti Sarah diambil dalam keadaan beliau memikirkan umat, peduli dengan nasib selain didoakan oleh ratusan penduduk di bumi Palestin yang pernah merasa daging sumbangan arwah.
“Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada akhirat di bumi berkat.
“Semoga engkau tenang di sana, Al Fatihah,â€
– Nadir Al-Nuri
Tangkap layar perbualan antara Siti Sarah dan Muhammad Nadir berkenaan hasrat melakukan ibadah korban di Palestin baru-baru ini.
Salam Takziah & Doa dari Rakan Selebriti
Berita mengejutkan ini telah mendapat perhatian seluruh rakan artis dan peminat yang turut berduka menitipkan salam takziah dan doa buat Allahyarhamah Siti Sarah di laman sosial semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dikalangan orang yang beriman.
Industri seni kehilangan satu bintang yang cukup berharga. Terima kasih Siti Sarah Raissuddin kerana menghiburkan kami selama ini dan terima kasih juga atas sokongan yang diberikan kepada kami.
Salam Takziah dari Dr Hisham
Pemergian penyanyi Siti Sarah Raissudin selepas bertarung dengan COVID-19 turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam kemas kini di media sosial, berkongsi ucapan takziah buat keluarga Allahyarham, serta mereka yang lain yang turut kehilangan anggota keluarga akibat wabak itu.
Ø¥Ùنَّا Ù„Ùلَّه٠وَإÙنَّا Ø¥Ùلَيْه٠رَاجÙعÙونَ
Takziah kepada keluarga Siti Sarah Raissuddin & kepada semua ahli keluarga rakyat Malaysia yang telah terk0rban oleh c0vid19.
Al-fatehah
– Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Perkongsian Najib Razak
Innalillahiwainnailaihirojiun
Satu berita yang amat mengejutkan dan menyedihkan.
Saya mengikuti semua berita C0vid-19.
Tidak saya sangka akan ke pengakhiran begini.
Remuk hati saya membaca kisah-kisah kematian ahli keluarga tercinta melalui posting-posting di media sosial.
Saya tidak dapat bayangkan apa yang saudara-saudari semua lalui.
Seorang demi seorang buat panggilan terakhir dengan keluarga, ditidurkan, kemudiannya pergi.
Seorang demi seorang meninggal mengejut.
Kisah arwah Siti Sarah amat menyentuh hati.
Seorang ibu yang mengandung tabahkan dan kuatkan diri melahirkan seorang bayi, sebelum pergi buat selamanya.
Dijemput oleh Pencipta.
Meninggalkan suami, anak-anak kecil juga.
Satu keluarga yang bahagia. Kini kehilangan ibu dan isteri.
Arwah seorang yang baik dan penyayang.
Takziah Shuib Sepahtu atas pemergian isteri tercinta, Siti Sarah Raissuddin, dan kepada seluruh ahli keluarga juga.
Tabahkan diri menghadapi dugaan ini.
Sama-sama kita doakan mereka yang dijemput Allah hari ini, ampunkanlah segala dosa mereka dan tempatkan mereka di kalangan yang beriman.
Al-Fatihah.
Saya doakan kesembuhan buat semua yang dijangkiti Covid-19 dan segala penyakit.
Semoga diberkati dan dilindungi sentiasa.
Cinta Sejati Siti Sarah & Shuib
Menerusi satu perkongsian dari pengguna Facebook bernama Redzuan Manaf, kisah yang menimpa keluarga Siti Sarah benar-benar membuka matanya. Seperti yang sedia maklum, Allahyarhamah sepanjang hayatnya tidak pernah lokek merakam serta berkongsi video insan-insan kesayangan dalam hidupnya.
Kebiasaan yang dilakukan Siti Sarah kini membuktikan memori akan dapat disimpan dan dilihat semula nanti. Dalam pada itu, pemuda tersebut juga menegaskan setiap pasangan di luar sana tidak sepatutnya malu untuk melafazkan rasa sayang supaya tidak menyesal di kemudian hari.
Mungkin kehilangan orang tersayang masih belum berlaku pada diri sendiri, tapi satu hari masa itu akan tiba. Oleh sebab itu, cipta dan rakamlah sebanyak memori indah bersama sebagai kenangan masa hadapan. Daripada sakan menunjukkan kemewahan dunia, hubungan cinta antara keluarga adalah sesuatu yang lebih berharga.
Ikon Ibu Yang Rela Berkorban
Bukan kerana Siti Sarah artis yang buat satu negara ternanti-nanti perkembangan beliau. Tetapi Allayarhamah merupakan satu cerita pengorbanan ibu-ibu yang biasa kita terlepas pandang kerana ia berlaku pada sosok bukan selebriti.
Jihad seorang ibu antaranya ialah mengandung sehingga melahirkan sahaja juga telah tuntas. Seorang ibu sentiasa memikirkan tentang anaknya. Tak lekang dari bibir
“Doakan anak saya”
“Tolong selamatkan anak saya”
Dan doa itu melebihi keutamaan untuk dirinya diselamatkan. Apabila seorang yang hamil perlu diintubasi, doktor perlu mengeluarkan bayi dalam kandungan agar paru-paru mempunyai lebih ruang untuk berkembang dan menghasilkan oksigen dalam darah.
Saya sendiri menanti perkembangan dari IG suaminya, Shuib dengan penuh debar. Saya simpan kata-kata cuma yang keluar hanya doa. Namun, pola kemerosotan kesihatannya mirip dengan arwah anak istimewa saya sendiri.Â
Mula oksigen kurang dari 90, doktor katakan dah rendah boleh merisikokan fungsi otak. Saya katakan dalam diri, it’s ok kalau anak ini nanti tidak bijak ataupun kurang akalnya. Asalkan kami dapat peluang menjaganya.Â
Bila turun bawah 80, doktor cuba lagi dengan pelbagai radas kerana katanya, paras oksigen bawah 80 merisikokan organ. Masa ni kami berkata dalam hati, it’s ok kalau kami terpaksa jaga anak ini sepanjang hayatnya bed ridden.Â
Semuanya hanya DOA DOA DOA.Â
.
Ada ketika, paras oksigen jatuh sangat rendah sekitar 60-an. Panic dan merayu doktor lakukan sesuatu sedangkan doktor juga sedang melakukan pelbagai ikhtihar. Kemudian paras oksigen kembali baik. Dah gembira, dan dah kongsikan kegembiraan itu dalam medsos. Ribuan yang mendoakan. Alhamdulillah.
.
Tak lama, dapat panggilan awal pagi “Encik Saiful, anak Encik keadaanya sangat tak ok, Encik boleh datang sekarang ye”. Maknya dari mula anak saya masuk ICU, tak balik-balik dah. Selepas keadaan baik sedikit, baliklah ke rumah sebentar mengurus diri yang dah tak terurus. Masa itu lah, hospital menelefon.
.
Spo2 drop ke kadar membimbangkan. 40-50-60-40-50 begitu. Buah pinggang mula rosak, air kencing dalam beg perkumuhan tak bertambah, muka dan badan membengkak kerana air yang masuk tak dapat dikumuhkan.
.
Macam Shuib dan anak-anaknya, kami juga sama melalui detik ini. Kami dah tak mengharapkan SAINS lagi kerana sains telah digunakan semaksimanya, ketika itu kami mengharapkan keajaiban dari Allah.
.
Balik kepada kenapa saya dan mungkin ramai rakyat Malaysia mengikuti cerita Allayarhamah Siti Sarah, kerana beliau menjadi ikon cerita perngorbanan ibu-ibu yang sebelum ini jarang tular kerana tidak berlaku kepada seorang ikon. Kematian ini ialah satu pendidikan besar kepada seluruh ummat manusia tentang kehebatan seorang yang bernama IBU.
.
Dah setahun lebih kita disekat dengan pelbagai sekatan untuk kita menjengah ibu dan bapa kita di kampung. Sekiranya mereka masih ada, buatlah video call bertanya khabar mereka. Kita tidak tahu sejauh mana mereka telah berkorban untuk kita. Kita juga tidak tahu, bila kali terakhir kita akan bercakap dengan mereka. Mungkin, panggilan kita selepas dari ini kepada mereka adalah panggilan terakhir.
.
Kematian Siti Sarah hari ini, ialah Kematian yang Menghidupkan banyak jiwa-jiwa manusia yang sudah mati.
.
Hargai ibu
Allah tak ciptakan kita manusia sehebat manapun, datang dalam kotak bubble wrap dengan manual pengoperasian. Tapi Allah jadikan kita dari rahim seorang ibu.
.
SAIFUL NANG
Abah Allahyarham Arman
Sebutir Bintang Yang Berharga
Industri seni kehilangan satu bintang yang cukup berharga. Terima kasih Siti Sarah Raissuddin kerana menghiburkan kami selama ini dan terima kasih juga atas sokongan yang diberikan kepada kami
Semalam, Shuib berkongsi keadaan isterinya yang kritikal apabila paras bacaan oksigen jatuh ke paras 40 peratus.
Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu belum sedarkan diri dan masih bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.
Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.
Pada Jumaat lalu, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, namun menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus, kelmarin.
Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19.
Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.
Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.
Bidadari Syurga Saya Pergi Buat Selamanya – Shuib
“Bidadari syurga saya pergi buat selamanya,” kata pelawak Shuib yang kehilangan isteri tercinta juga penyanyi, Siti Sarah Raissuddin, 37, selepas bertarung nyawa akibat Covid-19, hari ini.
Penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir jam 5.13 pagi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), di sini, selepas ditidurkan pada 4 Ogos lalu.
Lebih menyedihkan, Sarah meninggal dunia tanpa sempat menatap wajah bayi lelaki dikandungnya yang selamat dikeluarkan secara pembedahan pada Jumaat lalu.
Malah, impian Shuib dan anak-anak untuk menanti kepulangan Siti Sarah juga tidak kesampaian apabila penyanyi itu pergi buat selama-lamanya pada pagi, hari ini.
Perkongsian Shuib mengenai pemergian Siti Sarah cukup dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk rakan-rakan artis.
Antara selebriti yang meninggalkan ucapan salam takziah buat Shuib serta keluarga adalah Jep Sepahtu, Fad Bocey, Alif Satar, Mark Adam, Ayda Jebat, Ajak Shira, Maya Karin, Lah Ahmad serta ramai lagi.
Terdahulu, Siti Sarah dimasukkan ke hospital itu pada Rabu lalu selepas mengalami batuk teruk dan tahap oksigen menurun akibat jangkitan Covid-19.
Siti Sarah yang hamil tujuh bulan ketika itu kemudiannya ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan.
Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki diberi nama Ayash Affan.
Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan Covid-19 sejak 27 Julai lalu.
Mereka sekeluarga menjalani ujian saringan selepas pembantu rumah disahkan positif virus terbabit.
Pasangan itu berkahwin pada 26 Februari 2011.
Hasil perkahwinan, pasangan ini juga mempunyai tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.
*Sumber: Harian Metro