Memetik dari berita yang disiarkan dari Berita Harian, penyanyi terkenal, Siti Sarah Raissuddin berhasrat mengadakan pertemuan empat mata dengan Misha Omar berhubung isu ahli kelab peminatnya yang didakwa memfitnah artis itu.
Sarah berkata, sebagai rakan selebriti, dia terpanggil untuk bertemu penyanyi itu dalam masa terdekat bagi menjernihkan keadaan.
“Walaupun tidak mempunyai kaitan dalam isu itu, saya rasa wajar untuk bertemu Misha memandangkan kami akan bekerjasama dalam sebuah konsert pada April ini.
“Setiap orang mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan isu ini. Misha ada caranya dan saya pula mengambil pendekatan ini bagi menjernihkan keadaan,”
– Siti Sarah
Ditanya bagaimana hubungannya dengan penyanyi Sampai Bila itu selepas insiden terbabit, Sarah yang juga isteri kepada pelawak dan penyampai radio Hot FM, Shuib berkata, semuanya baik-baik saja.
“Bagi Sarah, apa yang terjadi adalah antara individu terbabit dengan Misha. Cuma, nama saya terheret sama memandangkan individu terbabit adalah ahli kelab peminat saya iaitu Hearty Sarah,”
– Siti Sarah
Pada pertemuan petang tadi, Sarah turut menafikan dakwaan kekalahannya pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL 33) pada 3 Februari lalu disebabkan oleh ilmu hitam.
“Dakwaan itu tidak benar kerana saya tewas disebabkan beberapa perancangan awal tidak menjadi seperti yang diharapkan, terutama dari segi nyanyian. Saya akui, nyanyian saya lebih baik ketika sesi latihan berbanding pada malam kemuncak,”
– Siti Sarah
Jumaat lalu, Misha pada satu sidang media memberi peringatan kepada beberapa individu yang menuduhnya menggunakan sihir untuk bersemuka dengannya dalam tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan susulan.
Setakat ini, dua individu mengakui kesilapan mereka dan menerusi peguam penyanyi itu, meluahkan hasrat bertemu Misha untuk memohon maaf seperti diminta.
Sumber: Berita Harian