Berita itu dimaklumkan suaminya, pelawak Shuib Sepahtu menerusi kemas kini di laman Instagram, pagi tadi.
Katanya yang juga seorang usahawan, isterinya dimasukkan ke ICU selepas tahap oksigen semakin tidak stabil, dipercayai akibat jangkitan COVID-19.
“Assalamualaikum salam Jumaat semua. Pagi tadi isteri saya telah dimasukkan ke ICU disebabkan oksigen yang tidak berapa stabil dan keadaan dia yang tidak berapa baik,” demikian tulisnya sambil memuat naik gambar Siti Sarah ketika berada di tanah suci Mekah.
Astro AWANI semalam melaporkan, pelantun lagu ‘Kesetiaan’ yang sedang sarat mengandung itu dimasukkan ke hospital berkenaan selepas mengalami masalah tahap oksigen menurun, pada petang Rabu.
Sarah dan Shuib sekeluarga positif COVID-19 sejak 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka dijangkiti wabak tersebut.
Dalam pada itu, Shuib, 36 tahun, turut memohon agar peminat dan orang ramai mendoakan kesembuhan buat isteri tercintanya.
“Saya mohon di hari baik, hari Jumaat doakan Sarah dan anak dalam kandungan. Semoga dipermudahkan urusan dan semoga Allah memberi kekuatan untuk mereka. Semoga Allah merahmati kita semua,” tulis Shuib lagi.
Semakan mendapati rata-rata warganet menzahirkan kata-kata semangat dan mendoakan kesembuhan Siti Sarah yang kini mengandung tujuh bulan.
Sementara itu, pengurus penyanyi itu, Nana Mohd Rom memaklumkan kepada Astro AWANI, Siti Sarah masih menerima rawatan lanjut di ICU selepas dimasukkan ke unit tersebut sekitar pukul 1 pagi tadi.
Terbaharu, Nana dalam kiriman mesej kepada media memaklumkan majlis bacaan Yasin dan doa secara dalam talian akan diadakan pada 12.30-1.30 tengah hari, hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, Siti Sarah sedang berada dalam keadaan kritikal dan bertarung nyawa di ICU.
“Ramai maklum keadaannya kini sedang mengandung tujuh bulan dan ini adalah inisiatif kita sebagai rakan-rakan untuk pinjamkan kekuatan kepada Siti Sarah dan juga bayi di dalam kandungannya,” katanya.
Difahamkan, majlis yang dipimpin oleh Imam Muda Asyraf itu dihadiri sekurang-kurangnya 92 kenalan Siti Sarah dan Shuib.
Sarah dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, berkahwin pada 2011, dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10 tahun, Dzahira Talita Zahra, 8 tahun, dan Ariq Matin, 6 tahun.
Siti Sarah Perlu Jalani Pembedahan Keluarkan ‘Baby’
“Alhamdulillah, Shuib baru menghubungi saya. Katanya, sebaik habis sahaja bacaan Yassin tengah hari tadi, doktor hubungi dia dan beritahu keadaan Sarah makin stabil.
“InsyaAllah jam 2 petang ini doktor akan buat pembedahan keluarkan bayi. Kalau pembedahan ini berjaya, insya-Allah semuanya okey. Insya-Allah Sarah akan okey,” kata pengurus Siti Sarah, Nana Mohamad Rom memaklumkan perkembangan terbaru.
Menurut Nana, dia berterima kasih kepada mereka yang sudi meluangkan masa menyertai bacaan Yassin untuk kesejahteraan diri dan bayi dalam kandungan penyanyi itu.
“Memang berat ujian yang perlu dihadapi oleh Shuib sekeluarga. Insya-Allah dengan pembedahan terbabit dapat menyelamatkan mereka berdua. Terima kasih atas doa dan kata-kata semangat daripada semua. Semoga Allah memperkenankan doa hamba-Mu ini,” katanya.
Sekitar jam 12 tengahari, hari ini, Nana memaklumkan Sarah sudah ditidurkan dan memohon mendoakan yang terbaik buatnya.
Berikutan itu, sebagai alternatif bagi mendoakan kesejahteraannya, majlis bacaan Yassin diadakan yang dipimpin oleh Imam Muda Asyraf.
Trdahulu, Harian Metro melaporkan Siti Sarah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), di sini, akibat tahap oksigen tidak stabil, pada pagi, hari ini.
Sebelumnya, dilaporkan penyanyi lagu Kesetiaan itu yang kini sarat hamil lapan bulan dikejarkan ke hospital sama berikutan tahap oksigen yang semakin menurun, kelmarin.
Difahamkan, Siti Sarah sepatutnya memotong gelang kuarantin pada hari sama, sebelum mengalami batuk.
Siti Sarah sekeluarga disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas mereka menjalani ujian saringan apabila pembantu rumah disahkan positif wabak itu.
Pasangan itu berkahwin pada 2011 dan memiliki tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.