Bagi Sarah, jika karya anak muda mempunyai melodi yang kena dengan jiwa selain menjadi santapan halwa telinga, dia sudah cukup teruja. Buktinya, selepas memberi peluang kepada bakat baharu, Yonnyboii berkongsi bakat melalui lagu Manis, Sarah ‘menyunting’ juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, Naim Daniel.
“Saya tidak kira muda, ada nama atau tidak. Malah, lagu ciptaan suami, Shuib saya dendangkan.
“Apa yang penting, lagu itu boleh dinyanyikan dan berkualiti,” katanya kepada BH Online.
Sarah mengaku kali pertama mendengar lagu ciptaan Naim, hatinya sudah terpaut.
“Seperti lagu Naim, sebaik saya dengar, terus suka. Saya juga ada meminta pandangan orang lain untuk mendengar lagu itu.
“Saya kena fikirkan bagaimana hendak menjadikan karya itu seperti lagu sendiri, bukan kedengaran seperti Naim.
“Setakat ini, kami belum menghasilkan lirik kerana saya tidak berhasrat melancarkan lagu itu, tahun ini,” katanya sambil menyifatkan Naim sangat merendah diri dan sopan.
Sarah berkata, dia tidak menunggu lama untuk mendapatkan lagu ciptaan penyanyi Sumpah itu.
“Saya dapat lagu ini selepas tiga hari menyuarakan hasrat hati kepada Naim,” katanya.
Tambah Sarah, lagu yang sepatutnya mendapat sentuhan Allahyarham Faizal Uzir atau Lok U untuk susunan muzik, terpaksa dihantar ke Indonesia bagi menjalani proses itu selepas pemergian pengarah muzik berkenaan.
Namun, berikutan pandemik COVID-19, Sarah memilih menangguhkan hasrat melancarkan single terbaharunya itu, sehingga tahun hadapan.
“Saya tidak kisah jika ada pihak mempersoalkan kenapa saya mengambil masa lama untuk muncul dengan single baharu.
“Bagi saya tidak perlu terburu-buru dan mengejar kuantiti. Keutamaan adalah kepada mutu.
“Tidak kisah lambat atau cepat, apa yang penting lagu itu dapat diterima pendengar,” katanya.
Sumber: BH Online