Bersempena meraikan satu juta subscribers atau pelanggan di saluran YouTube Siti Nurhaliza, Dato’ Sri Siti Nurhaliza mengubat kerinduan peminatnya dengan menghadiahkan beberapa siri rakaman lagu secara medley.
“Terima kasih kepada semua yang sudah menjadikan YouTube Siti Nurhaliza mencecah satu juta subscribers. Jadi, saya hadiahkan mereka dengan nyanyian saya yang sudah lama tidak tengok saya nyanyi secara langsung.
“Lagu yang disampaikan pula adalah lagu-lagu yang mendapat permintaan paling banyak. Persembahan saya pula diiringi oleh Siti Band yang diketuai oleh Pown Hasril,” katanya.
– Dato’ Sri Siti Nurhaliza
Antara lagu yang dipersembahkan secara medley itu adalah Seribu Kemanisan, Azimat Cinta, Aku Bidadari Syurgamu dan Takhta Dunia.
Lebih istimewa apabila Siti turut menyanyikan lagu Mungkin Hari Ini, Esok Atau Nanti nyanyian asal Annet dan Belum Siap Kehilangan (Stevan Pasaribu).
“Pemilihan dua lagu ini sangat istimewa kerana tak pernah pun saya nyanyikan di mana-mana. Tapi, khas buat semua peminat yang disayangi saya pilih lagu ini,” katanya lagi.
– Dato’ Sri Siti Nurhaliza
Ibu kepada Aafiyah Khalid dan Muhammad Afwa Khalid itu meluahkan teruja dan tidak sabar untuk membuat video ‘unboxing’ Gold Play Button yang kini dalam perjalanan dari Amerika Syarikat ke Malaysia.
Gold Play Button adalah plat penghargaan yang diberikan YouTube kepada pembuat kandungan mencecah jumlah subscribers sebanyak sejuta.
Dalam perkembangan lain, Siti membolosi kelompok Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harina ke-34 bagi kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Luca Sickta dan Kmy Kmo menerusi lagu 7 Nasihat.
Tidak ketinggalan, Siti disenaraikan dalam kategori baharu yang diwujudkan penganjur dan penaja iaitu Artis TikTok Popular.