Tindakan komposer terkenal pada era 90-an, Saari Amri memuat naik status di laman sosial dipercayai mengaitkan Dato’ Siti Nurhaliza yang tahu mengapa bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Berikutan tindakan Saari itu mencetuskan tanda tanya di kalangan peminat.
Saari dalam entri di Facebook menulis:
“Siti Nurhaliza tahu mengapa Zamani jadi macam itu.”
Memetik kenyataan di Berita Harian, Siti memilih pendekatan untuk tidak mengulas lanjut hal berkenaan.
“Saya minta maaf kerana tidak mahu memberi sebarang komen kepada status orang lain dan saya sendiri sifatkan ia tiada kena mengena dengan saya. Saya tidak mahu mencampuri urusan atau hal yang dicetuskan pihak lain,” katanya.
Zamani kini ditahan reman atas kesalahan terbabit selepas ditahan awal pagi Rabu lalu.
Zamani hari ini membuat keputusan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap individu yang menyebarkan video penahanannya sehingga menjadi viral di laman sosial.
Sementara itu, menerusi beberapa status terkini pengurus Zamani iaitu, Johan Aziz mengesahkan yang penyanyi itu telah dibebaskan dari tahanan hari ini atas jaminan pihak polis.