Ini merupakan lagu ke-6 daripada album ‘ManifestaSITI2020’ yang diberikan pendamping visual selepas muzik video ‘Anta Permana’, Kasihku Selamanya, ‘Terang’, 7 Nasihat dan ‘Aku Bidadari Syurgamu’.
Video muzik rasmi SIAPA TAK MAHU bakal dilancarkan pada hari Jumaat, 16 Oktober 2020, jam 9 malam di saluran YouTube Siti Nurhaliza.
Pengarahnya, Ghazi Maslan, memberi garapan visual secara sinematik sesuai dengan mesej nasihat bersahaja yang cuba disampaikan. Lebih istimewa, video muzik ini juga menampilkan pelakon Mira Filzah dan Hun Haqeem sebagai penggerak cerita.
Bertepatan dengan maksud di sebalik lirik lagu SIAPA TAK MAHU, video ini menceritakan bagaimana sesebuah hubungan itu akan berjalan lancar sekiranya setiap pasangan mengambil sikap untuk menghargai dan berbuat baik. Setiap hubungan pasti ada pasang surut tetapi sikap untuk berubah dan berusaha memperbaiki diri akan menyemarakkan lagi kasih sayang.
Mesej yang paling jelas di dalam lagu ni adalah jika mahukan pasangan yang baik kita juga perlu menunjukkan sikap yang sama. Begitulah beberapa unsur nasihat yang cuba disampaikan di dalam lagu ini
Pelancaran video muzik ini juga bertujuan untuk meneruskan promosi album ManifestaSITI2020 sewaktu Dato’ Sri Siti mengambil keputusan untuk berehat seketika.
Mengulas tentang video muzik terbaharunya ini, Dato’ Sri Siti berkata,
“Penampilan saya di dalam video muzik ini agak berbeza kerana saya menjadi spy atau perisik dan memerhatikan gerak geri pasangan sedang bercinta, lakonan Mira Filzah dan Hun Haqeem. Saya juga mengenakan beberapa persalinan busana mengikut karakter,”
– Dato’ Sri Siti Nurhaliza
Tambahnya, video muzik tersebut juga diharap dapat meneruskan lagi promosi lagu Siapa Tak Mahu yang dipilih menjadi single seterusnya selepas lagu Aku Bidadari Syurgamu.
“Saya berharap lagu dan video muzik Siapa Tak Mahu akan sama-sama mendapat tempat di hati para peminat dan ini merupakan di antara perancangan yang saya lakukan sebelum berehat supaya karya saya tetap berjalan’,”
– Dato’ Sri Siti Nurhaliza
Universal Music Sdn.Bhd dan Siti Nurhaliza Productions(M) Sdn.Bhd. selaku penerbit telah memberi kepercayaan kepada syarikat produksi, Zeel Production untuk menghasilkan video muzik SIAPA TAK MAHU.
Video muzik SIAPA TAK MAHU boleh ditonton di saluran YouTube Siti Nurhaliza manakala album ‘ManifestaSITI2020’ boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer sejak 3 JULAI 2020.