Penampilan Siti yang mewakili negara Malaysia pada papan iklan terkenal itu adalah sebahagian daripada kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify. EQUAL adalah sebuah program peringkat global oleh Spotify yang ingin memupuk kesamaan wanita dengan memaparkan artis-artis wanita dari seluruh dunia.
Terdapat 35 senarai lagu atau playlist EQUAL yang meliputi artis dari 50 negara. Siti Nurhaliza merupakan salah satu wakil bagi senarai lagu EQUAL Malaysia dan Singapura.
Terdapat juga senarai lagu terbaik global EQUAL atau the “best” EQUAL Global Playlist yang menyenaraikan artis-artis Equal dari serata dunia.
Pengiktirafan ini juga diberikan kepada Siti berkat kejayaan lagu terbaharunya Lip Lap Raya sempena musim Aidilfitri ini yang meraih banyak penstriman di wadah Spotify.
“Selepas begitu banyak detik-detik manis dalam industri hiburan, ini mungkin antara yang terindah buat saya. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas penghormatan ini. Melihat wajah saya terpampang di salah satu tempat paling popular di dunia adalah satu mimpi yang menjadi kenyataan. Saya sangat bersyukur diberi peluang ini seperti beberapa penyanyi wanita Malaysia lain yang pernah mendapat kesempatan ini.
Saya harap saya akan dapat terus memenuhi harapan para peminat dengan menghasilkan lebih banyak karya yang hebat. Saya juga berharap ini akan memberi inspirasi kepada ramai anak gadis di luar sana untuk terus berusaha dan jangan berhenti mengejar impian.
Siapalah sangka seorang gadis dari sebuah pekan kecil seperti saya satu hari nanti dapat mengecap pelbagai kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Jika anda berusaha tiada yang mustahil,†jelas Siti penuh syukur.
Siti Nurhaliza bukanlah satu nama asing buat rakyat Malaysia. Namanya bukan sahaja sudah dikenali di tanah airnya sendiri tetapi juga di negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan beberapa bahagian lain di dunia.
Wanita asal Kuala Lipis ini mula mencuri perhatian selepas menyertai arena muzik tempatan pada tahun 1995. Sejak itu, suaranya yang luar biasa terus mencetus fenomena dunia hiburan sehingga dirinya dimartabatkan sebagai penyanyi nombor satu negara.
Dengan lebih 20 buah album, ratusan anugerah tempatan dan antarabangsa, aneka konsert mega termasuk persembahan gah di Royal Albert Hall di London, Siti Nurhaliza sememangnya layak menerima penghormatan ini.
Dirahmati dengan suara yang unik dan keperibadian yang menyenangkan, Siti yang kini bergelar isteri dan ibu kepada dua orang cahaya mata terus mengukuhkan kedudukannya dengan pembabitan dalam pelbagai projek profesional serta kebajikan serantau.
Siti juga menjadi warga Malaysia kelima untuk menghiasi papan iklan digital di Times Square selepas Yuna, Layla Sania, kumpulan DOLLA dan Iman Troye.