in

Siti Nurhaliza Kongsi Detik Cemas Komplikasi Hilang Banyak Darah

Menurut portal Berita Harian, penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi detik cemas apabila proses melahirkan bayinya melalui pembedahan berdepan komplikasi akibat kehilangan banyak darah.

Siti, 39, memberitahu, keadaan bagaimanapun kembali normal dengan kecekapan doktor dan petugas di pusat perubatan yang merawatnya.

Trending! Video Comel Bayi Perempuan Penyanyi Siti Nurhaliza – SITI AAFIYAH

“Setiap ibu mempunyai pengalaman berbeza ketika melahirkan anak. Saya pula berlaku komplikasi apabila kehilangan banyak darah akibat faktor tertentu.

“Alhamdulillah, dengan kecekapan doktor yang pantas menggantikan semula darah yang hilang menjadikan keadaan saya kembali normal.

“Seharian saya berada di wad bersalin di bawah pengawasan doktor sebelum dipindahkan ke wad biasa,” katanya pada majlis Maulid Nabi, aqiqah dan tahnik di kediamannya di Bukit Antarabangsa di sini, malam tadi.

Tambah penyanyi yang baru muncul dengam single Comel Pipi Merah ini, walaupun kesan luka akibat pembedahan masih belum sembuh, namun beliau kuatkan semangat untuk melawan kesakitan demi anak tercinta.

“Hari ketiga Siti sudah boleh berjalan. Siti cuba kuatkan semangat dan tak mahulah terlalu manjakan diri.

“Sebagai wanita, kita kena lalui situasi itu untuk dijadikan pengalaman. Sebaik saja melihat wajah anak, serta merta semua rasa sakit hilang,” kata isteri kepada tokoh korporat, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini.

Terdahulu, pemegang trofi Anugerah Sri Perak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 ini menunaikan janjinya dengan mengumumkan Siti Aafiyah sebagai nama bayinya, genap seminggu selepas puteri kesayangannya itu dilahirkan

Menurut Siti, nama Aafiyah dipilih kerana ia mempunyai makna yang sangat indah dan sering disebut dalam doa.

Sepanjang minggu lalu, anak sulung Siti dipanggil Fatimah Az-Zahra yang diambil mengikut nama anakanda Nabi Muhammad.

Ketika ini, Siti sedang menjalani proses berpantang dan hanya akan kembali aktif menjelang akhir tahun ini.

Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yang Happening di Toyota Gazoo Racing Malaysia Finale Day 2

Peluang Menangi Tiket ke Perlawanan Akhir Shopee Piala FA Malaysia