Sekitar bulan lepas, telah timbul isu mengenai Dato’ Siti Nurhaliza telah diberikan amaran selepas membuat persembahan di negeri Kelantan pada bulan lepas dan melanggar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 yang dikuatkuasakan di negeri itu. Lantaran kontroversi yang tercetus itu telah mengejutkan banyak pihak. Apatah lagi, ianya pertama kali berlaku kepada penyanyi nombor satu negara itu.
Menjawab pertanyaan media ketika majlis pelancaran kosmetik terbaru Simplysiti, Bejeweled di Berjaya Times Square, semalam, Siti Nurhaliza ternyata tidak menyangka bahawa persembahannya di sana (Kelantan) akan mencetuskan isu setelah menyaksikan kehadiran lebih 10,000 masyarakat sekitar dan guru-guru sekitar Kota Bharu yang diadakan di kompleks sekolah-sekolah Jalan Wakaf Mek Zainab.
“Seperti biasa Siti hanya memenuhi undangan daripada pihak penganjur dan kali ini jemputan adalah untuk Jamuan Perdana Perayaan Hari Guru 2012 peringkat Kota Bharu.
“Pada pengamatan Siti, persembahan yang Siti berikan berunsur ilmiah dan sopan. Lagipun ini adalah bersempena dengan sambutan Hari Guru. Jadi, memang tiada sebarang aktivti melalaikan yang dilakukan pada ketika itu.Tapi mungkin disebabkan ia berlangsung secara terbuka dan bertentangan dengan undang-undang yang telah ditetapkandi negari itu, maka ianya telah menjadi isu.
“Siti tidak terfikir dan tidak tahu ia akan menjadi sesuatu aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang negeri tersebut. Namun begitu, Siti menghormati keputusan mereka yang telah mengeluarkan notis amaran secara positif dan akan lebih berhati-hati lagi selepas ini.
“Tidak mahulah nak komen lebih-lebih kerana takut nanti tersalah cakap pula kerana ianya melibatkan undang-undang. Yang penting Siti sudah pun menjalankan tanggungjawab dengan membuat persembahan dan menghiburkan para pengunjung yang datang,” katanya sekaligus menolak jika isu ini telah dipolitikkan oleh mana-mana pihak.