Penyanyi nombor satu Malaysia, Dato’ Seri Siti Nurhaliza, 40, berhasrat untuk menambah lagi cahaya mata sebelum umurnya mencecah 43 tahun.
Siti memaklumkan bahawa dengan usianya kini, beliau berasa sesuai untuk menambah ahli anggota keluarga setelah 11 tahun menanti kehadiran Aafiyah yang kini sudah berusia satu tahun.
“Saya rasa semua yang bergelar ibu sudah pasti mahukan zuriat yang ramai, namun apakan daya saya hanya mampu berserah kepada Allah.
Apatah lagi, Aafiyah semakin membesar dan pada umur 40 tahun ini saya dapat melihat sendiri kehadiran anak di depan mata.
“InsyaAllah… jika diberikan rezeki dan kesihatan yang mengizinkan, saya ingin menambahkan bilangan cahaya mata sebelum berumur 43 tahun,”
– Dato’ Seri Siti Nurhaliza
Beliau ditemui ketika majlis perjumpaan Hari Raya Datuk Siti Nurhaliza dan Sitizone 2019 yang berlangsung di The Pearl International Hotel, semalam.
Sementara itu, apabila ditanya tentang perkembangan tumbesaran Aafiyah, Siti berkongsi tentang perasaannya dalam membesarkan puteri sulungnya itu.
“Apabila Aafiyah semakin cepat membesar, perasaan saya kini bercampur-baur, rasa sedih dan gembira walaupun dia sudah pandai berjalan.
“Jika saya nak pimpin tangan Aafiyah, dia tepis tangan saya kerana mahu berjalan sendiri.
Momen ini agak menyentuh hati dan perasaan saya. Kini barulah saya rasa bagaimana perasaan ibu di luar sana dikurniakan anak ketika lewat usia,”
– Dato’ Seri Siti Nurhaliza
Sumber: Kopiplanet.com