Kecoh satu Malaya, disaat pementasan Konsert Satu Suara Vol. 2 di Istana Budaya, yang disiarkan di akhbar bukannya ulasan konsert tapi berita tentang kononnya Dato’ Siti Nurhaliza hamil. Betul ke? Jom kita tanya sumber terdekat.
Ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menganggap cerita tentang kehamilan isterinya, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bukan lagi satu berita yang luar biasa.
Menurut beliau, seperti mana orang lain yang sering mendoakan kesihatan terbaik buat isterinya agar hamil, dirinya tidak terkecuali menaruh harapan yang sama.
“Apa yang penting ialah, sama-sama berdoa agar hajat kita semua untuk melihat Siti hamil menjadi kenyataan. Itu yang penting ketika ini,” jelas Khalid kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengenai cerita terbaharu yang tersebar mengatakan Siti kini sedang mengandung, Khalid bagaimanapun tidak membuat sebarang pengesahan.
“Buat masa sekarang, saya tak boleh bagi apa apa pengesahan pun,” katanya, berkali-kali.
Bagaimanapun beliau kemudian menambah: “Alangkah baiknya kalau benar memang berlaku. Alangkah baiknya juga kalau saya sendiri boleh buat kenyataan yang mengesahkan Siti memang sedang hamil, tetapi itu tidak berlaku”.Berita kehamilan terbaharu Siti Nurhaliza tercetus dalam persembahan sempena konsert Satu Suara bergandingan dengan Datuk Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang yang sedang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula semalam.
Penyanyi Hetty Koes Endang yang turut terlibat dalam konsert itu telah secara bergurau menyentuh perut Siti dan mendoakan agar beliau hamil.
Siti kemudian bertanya:
“Bagaimana kalau Siti benar-benar mengandung? Apakah hadiah yang mahu diberikan?”
Soalan itu kemudian dijawab oleh Hetty bahawa hadiahnya mikrofon yang paling mahal dan disambut dengan sorakan penonton.