Baru-baru ini Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 36, disenaraikan kononnya sebagai wanita ketiga terkaya di Malaysia. Namun penyanyi nombor satu negara ini tenyata kurang senang dengan berita tersebut.
Jelas pelantun lagu Terbaik Untukmu ini, dia kurang senang dengan pendedahan tersebut bukan kerana kerana bimbang perlu membayar cukai pendapatan.
Sebaliknya beliau bimbang dengan laporan yang dikeluarkan oleh portal savemoney.com itu akan mengancam keselamatannya dan keluarga jika perkara itu menjadi perhatian ramai.
“Sebagai seorang warganegara Malaysia saya sentiasa melaksanakan tanggungjawab membayar cukai tanpa sebarang masalah dan tidak perlu bimbang mengenai hal itu. Saya bukan bimbang tentang cukai tetapi keselamatan saya yang mungkin terancam dengan laporan yang tidak tepat itu. Jujur saya kurang senang dengan perkara itu.”
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan portal savemoney.com yang menyenaraikan Siti sebagai wanita ketiga terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan RM50 juta.
Dalam pada itu, Siti berkata, beliau kurang pasti atas dasar apakah pihak berkenaan menilainya dengan jumlah itu dan menganggap ia sebagai satu tanggapan dan andaian.
“Saya faham artikel berkenaan sekadar andaian dan tanggapan dalam mencerminkan yang hebat-hebat tentang wanita di Malaysia tetapi ia sama sekali tidak benar. Saya sendiri kurang tahu atas penilaian apakah mereka menganggarkan saya mempunyai harta kekayaan RM50 juta.”
Sementara itu, Siti berkata, sebagai penyanyi dan usahawan, dia berharap laporan yang dikeluarkan tersebut akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti.
Malah kata Siti, beliau sentiasa menyimpan impian untuk mencapai tahap lebih tinggi dalam hidupnya dan sedang berusaha ke arah tersebut.
“Belum lagi tahap itu, tetapi siapa yang tidak mahu mempunyai nilai kekayaan sebanyak RM50 juta? Saya sendiri memasang impian untuk mencapai tahap itu suatu hari nanti. Tetapi sekarang belum lagi dan masih lagi berusaha,” jelasnya.
sumber : mStar online