Basyirah yang diambil daripada perkataan Arab yang membawa maksud khabar gembira adalah hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun manakala liriknya pula hasil nukilan, Ahmad Fedtri Yahya. Tertarik dengan melodinya yang mempunyai unsur Timur Tengah, Dato Sri Siti Nurhaliza memutuskan untuk merakamkan lagu tersebut dan berhasrat untuk menjadikannya sebagai single sempena bulan bulan Ramadan ini.
“Demo lagu ini diterima agak lewat oleh pihak Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions untuk dimuatkan dalam album terbaru saya. Kami sepakat menyimpan lagu ini untuk projek khas pada masa akan datang.
Disebabkan edaran album terbaru saya ditangguhkan, Basyirah berjaya saya rakamkan khusus untuk single Ramadan kerana bersesuaian dengan suasana kita sekarang ini.
“Pertama kali mendengar melodinya, Siti akui jatuh hati kerana ia ada tarikan tersendiri. Tak dinafikan, ketika rakaman, Siti berasa sebak dan cuba menyampaikan seluruh maksud dalam lagu ini dengan penuh penghayatan,”
– Dato Sri Siti Nurhaliza
Walaupun lagu ini dilancarkan pada bulan yang penuh keberkatan ini, namun liriknya tidak menyentuh secara langsung mengenai Ramadan.
Sebaliknya kata Dato Sri Siti Nurhaliza, ia adalah satu metafora terhadap situasi yang dialami dunia hari ini yang sedang berdepan dengan penularan wabak COVID-19.
“Ketika perbincangan, memang ada idea untuk memasukkan lirik yang bersesuaian dengan situasi yang berlaku hari ini.”
“Lagu ini juga menterjemahkan sebuah harapan bahawa satu hari nanti akan ada khabar gembira buat Malaysia untuk segera terhindar dari pandemik ini.”
“Siti juga mengharapkan Basyirah mampu memberikan semangat kepada seluruh warga dunia yang menghadapi wabak dan juga petugas barisan hadapan yang berkorban sepenuh jiwa menjaga keselamatan negara,”
– Dato Sri Siti Nurhaliza
Penyanyi bervokal mantap ini turut mengharapkan lagu ini dapat mengubat kerinduan peminat yang menantikan kemunculan album terbarunya.
Sebagai komposer yang bertanggungjawab untuk menghasilkan lagu itu, Hafiz akui Basyirah memberikan cabaran yang tersendiri buatnya.
“Kami rakamkan lagu ini ketika negara sedang melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan.
Ini bermakna rakaman tidak boleh dilakukan di studio seperti kelazimannya dan perlu dilakukan secara berasingan iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza merakamkan lagu itu dari rumah.
“Memang agak mencabar kerana agak rumit lebih-lebih lagi membabitkan soal teknikal.
Namun kami berjaya melakukannya dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza berjaya menterjemahkan maksud keseluruhan lagu itu seperti yang dikehendaki,” kata Hafiz.
– Hafiz Hamidun
Pernah bekerjasama sebelum ini menerusi lagu Mikraj Cinta, Hafiz berkata dia cuba memberikan yang terbaik untuk lagu itu.
“Sedikit sebanyak saya sudah boleh tahu mengenai kriteria sesebuah lagu yang ingin dinyanyikannya. Justeru saya cuba hasilkan sebuah lagu yang unik serta lain dari apa yang pernah didendangkannya sebelum ini seperti menekankan aspek taranum dalam sebutan dan juga menyelitkan elemen qasidah di dalamnya,”
– – Hafiz Hamidun
Berkongsi pendapat yang sama dengan Hafiz, Fedtri turut mendedahkan lirik lagu itu terpaksa dirombak beberapa kali untuk disesuaikan dengan kehendak Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
“Ketika mula mendengar lagu ini melodinya sangat melankolik dan apa yang terbayang dalam fikiran adalah ia sangat sesuai untuk sebuah lagu putus cinta.
“Namun memandangkan Dato’ Sri Siti Nurhaliza mahukan lirik lagu ini ada kaitan dengan doa dan harapan rakyat yang mahukan wabak ini segera berakhir, saya ubah liriknya mengikut jalan cerita yang diberikan.
Saya banyak menggunakan unsur perlambangan atau metafora dalam memilih perkataaan,”
– Ahmad Fedtri Yahya
Melihat baik lirik yang dihasilkan, Basyirah jelas mengajak umat islam menghayati zikir dan berdoa kepada Allah untuk diberi ketenangan di dalam kehidupan harian pada bulan yang sangat mulia untuk umat Islam ini.
Sementara itu, Pengurus Promosi Bahagian Domestik Universal Music, Anne Mukhtar memaklumkan lirik video Basyirah akan ditayangkan di laman YouTube rasmi Dato’ Sri Siti Nurhaliza pada hari ini, Jumaat jam 3 petang.
“Pada sebelah malam pula, Dato’ Sri Siti Nurhaliza akan muncul dalam siaran langsung di Instagramnya bersama Hafiz Hamidun dan Ahmad Fedtri Yahya jam 9 malam.
Selain itu, Dato Sri Siti Nurhaliza juga akan melancarkan #7nasihatchallenge di Tik Tok pada 11 Mei ini.
“Sempena pelancaran lagu ini di Joox pada 15 Mei ini, beliau turut mengundang peminat untuk berkaroke dengannya di Joox Karaoke,” katanya.
– Anne Mukhtar