Siti Nordiana akan meneruskan tindakan saman terhadap lima individu yang didakwa memfitnahnya pada sesi siaran langsung di Instagram, baru-baru ini selepas mereka gagal membuat permohonan maaf secara terbuka seperti dituntut sehingga jam 5.30 petang, semalam.
Siti Nordiana atau mesra disapa Nana dalam satu kenyataan berkata, tindakan undang-undang itu diambil bagi membersihkan nama dan imejnya yang sudah tercalar.
Terdahulu, Nana memberi tempoh 24 jam kepada lima individu ini untuk memohon maaf dan membersihkan namanya selepas dikatakan difitnah di laman sosial.
Lan Solo dan isterinya serta Syura bersama dua lagi individu telah membuat siaran langsung di Instagram pada 20 Julai lalu jam 11:58 malam. Dalam siaran itu, mereka dikatakan secara terbuka membincangkan isu mengenai sikap Nana yang sehinggakan mencetus perbalahan di antara peminat Nana.
“Saya terpaksa mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama dan imej saya yang sudah dicalarkan oleh kenyataan-kenyataan sedemikian sama ada secara langsung atau tidak langsung akibat daripada siaran di Instagram Live itu,”
– Siti Nordiana
Insiden pada 20 Julai lalu jam 11.58 malam menerusi siaran Instagram Live yang tular itu dikendalikan Sheila Razlan dan disertai Lan Solo, Syura, Sam Samin dan Aida G. ‘
Ia didakwa menyiar, mengeluar dan menerbitkan kenyataan-kenyataan secara umum yang berunsur fitnah dan tidak benar (false statement) terhadap Siti Nordiana.
“Atas nasihat peguam, saya sudah membuat satu laporan polis berbentuk penafian di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Cheras pada 23 Julai lalu dan seterusnya membuat kenyataan media bagi menjelaskan perkara sebenar kepada umum,”
– Siti Nordiana
Siti Nordiana berkata, selanjutnya atas nasihat peguam, pihaknya menghantar Notis Tuntutan Permohonan Maaf kepada lima individu terbabit kelmarin yang antara lain menuntut permohonan maaf di dalam tempoh 24 jam.
“Memandangkan tiada permohonan maaf selepas tamatnya tempoh 24 jam itu, saya sudah mengarahkan peguam untuk meneruskan dengan tindakan saman terhadap mereka yang akan difailkan selewat-lewatnya Isnin ini,”
– Siti Nordiana
Bagi menjalankan tindakan undang-undang diambilnya, Siti Nordiana melantik firma guaman dari Tetuan Abang Azlan & Associates yang diwakili peguamnya, Abang Azlan Abang Ariffin.
Nana yang ketika itu tidak menonton siaran langsung itu kerana sudah sampai waktu tidurnya terkejut apabila peminat-peminatnya berkongsi video keesokan hari.
Mengakui terkilan dengan tindakan mereka yang disifatkan kenalan rapat, Nana kemudian membuat laporan polis dan melantik peguam untuk mengendalikan kes ini.
Sementara itu, hantaran terbaru Lan Solo dilihat sedang sibuk menguruskan bapanya yang sedang sakit. Manakala Syura lebih fokus mengemas kini perniagaan online nya seperti tiada apa yang berlaku.