Luncai Emas Sdn Bhd dengan kerjasama SND Soul Entertainment melancarkan single terbaru bertajuk HASBI RABBI oleh Siti Nordiana dan berkolaborasi dengan Ustaz Sharizan.
Lagu ini adalah salah satu single dari album terbaru dan merupakan album ke-2 iaitu – album Zikir Ketuhanan dari Siti Nordiana selepas album Anakku Sayang. Istimewanya album kali ini ialah zikir atau selawat yang dialunkan merupakan munajat harian yang selalu didengari atau dibaca namun telah diolah dlm melodi yang lebih indah dan mampu membuat pendengar menginsafi diri dengan alunan indah kalimah-kalimah suci dan mulia.
Selain ia menerapkan elemen mengingati Allah & Rasul, lagu2 zikir di dalam album ini juga berbeza dengan album zikir yang lain, dimana alunan zikir bukan sahaja di dalam Bahasa Arab malah disertai dengan terjemahan makna dalam Bahasa Melayu agar para pendengar dapat lebih memahami dan menghayati maksud zikir tersebut disamping memudahkan untuk dihafal dan diamalkan
Lagu ‘Hasbi Rabbi’ menjanjikan kelainan apabila melodinya juga digubah dari melodi yang biasa didengari kepada sesuatu yang lebih baharu dan segar untuk halwa telinga dan semestinya untuk pengisian rohani para pendengar.
TEMUBUAL EKSLUSIF & SOAL JAWAB SITI NORDIANA MENGENAI HASBI RABBI
- Ceritakan pengalaman memasuki studio bersama Ustaz Sharizan
Pengalamannya Alhamdulillah. Ia merupakan sebuah pengalaman yang banyak mengajar saya. Ustaz Sharizan juga banyak me’monitor’ nyanyian dan sebutan Nana . Malah sewaktu melakukan rakaman, Ustaz banyak memberikan ilmu dan tunjuk ajar. Contohnya ada tentang nyanyian dan maksud selawat yang kurang pasti, Ustaz akan jawab dan memberikan pengisian rohani sewaktu merakamkan lagu Hasbi Rabbi.
- Kalau dalam kehidupan seharian, zikir munajat manakah yang diamalkan oleh Siti Nordiana?
Kalau dalam kehidupan seharian, Nana mengamalkan Al Mathurat iaitu Al Mathurat Sughra dan zikir-zikir yang lain.
- Pernah tak menangis sewaktu berzikir ? Bila dan kenapa pada momen tersebut?
Sudah tentu kalau Nana berzikir, saya akan menangis. Ada masa-masa yang Nana akan menangis mengenangkan dosa-dosa kita. Kita manusia tidak sempurna, pasti ada dosa dan kesilapan yang kita lakukan. Waktu itu Nana akan menangis. Nana juga mudah tersentuh bila dengar selawat dan zikir dalam bentuk lagu/ melodi. Nana sukakan muzik jadi ia dekat dengan Nana. Apabila melodi dan lagu itu kena dengan situasi atau liriknya mengena, Nana akan mudah menitiskan air mata.
- Pendapat Nana tentang lagu-lagu ketuhanan dan kerohanian di Malaysia.
Bagi Nana, lagu kerohanian sudah banyak dikeluarkan. Alhamdulillah bukan sekadar melodi dan ia tidak terbatas.Malah kini lagu rap dan pop juga menjentik lirik kerohanian. Sangat bagus bila anak-anak muda turut dengar malah hafal. Ia dapat memberikan manfaat dengan mengamalkan lirik-lirik lagu kerohanian tersebut. Malah langkah membuat lagu-lagu yang dekat dengan anak muda, sangat bagus. Lagu pop dan balada tapi berlirikkan kerohanian. Sangat digalakkan untuk buat banyak lagi kerana akan ada orang yang tersentuh bila mendengar. Macam Nana, kerap tersentuh bila dengar lagu-lagu Maher Zain dan Opick. Lagu-lagu yang banyak beri ketenangan pada jiwa yang tengah ‘down’. Bila dengar, ia seperti memberi semangat balik kepada Nana.
- Apakah feedback peminat apabila Nana menyanyikan lagu ketuhanan dan mengalunkan zikir?
Peminat sangat suka bila Nana nyanyi lagu keroanian dan zikir. Nana pernah ada album zikir yang dicampur dengan lagu-lagu lullaby untuk anak-anak. Kini, kali kedua Nana rakamkan lagu kerohanian, peminat sangat menyokong dan suka. Malah ada yang berterima kasih kerana waktu PKP, Nana keluarkan lagu begini, ia dapat memberi ketenangan pada jiwa dan mereka dapat alunkan zikir dan selawat bersama Nana. Masing-masing dapatlah pahala.
- Ada keinginan untuk muncul dengan album zikir sepenuhnya?
Insya Allah kalau ada peluang untuk buat album zikir sepenuhnya. Kerana bagi saya, lagu-lagu zikir ini akan memberikan ketenangan hati kepada kita. Di samping itu akan dapat meberikan manfaat kepada pendengar dan berkongsi bakat yang Allah Taala bagi untuk menenangkan hati peminat. Juga memberikan kegembiraan kepada mereka dengan alunan zikir. Semoga bermanfaat kepada pendengar.
- Ada kolaborasi dengan Ustaz Sharizan selepas ini?
Insyaa Allah kalau ustaz sudi untuk berkolaborasi lagi dengan Nana. Bila Nana beritahu rakan-rakan artis yang lain dan memberikan CD nyanyian zikir Nana, mereka tanya, kalau-kalau di waktu akan datang, bolehkah mereka ikut serta kerana mahu juga membuat saham akhirat. Ada juga artis yang mahu featuring Nana kalau ada lagu kerohanian begini. InsyaAllah.
- Momen Raya Haji yang paling dirindui
Momen raja haji yang dirindui apabila buat korban dan dapat bersama-sama melakukan ibadah korban dengan keluarga di Senayan. Macam biasa dapat bertemu sanak saudara dan berkongsi rezeki. Tetapi sekarang dalam keadan PKP dan pandemik Covid 19, kita hanya mampu dari jauh sahaja. Nana ada buat korban dengan Ustaz Sharizan, itu sahaja yang dapat buat sementara waktu.
- Aktiviti sepanjang PKP
Macam biasa, Nana sibuk di rumah. Kadang-kadang rekod video, buat Live di IG dan FB kerana ada tuntutan kerja yang membuatkan Nana perlu buat video yang banyak. Di samping itu Nana banyak buat cover lagu, menyanyi di IG dan Tiktok. Ada juga buat kerja-kerja rumah kerana banyak waktu dan masa lapang, jadi rajin kemas rumah.
Lagu ‘Hasbi Rabbi’ mula dilancarkan di semua laman strim (Spotify, JOOX, Apple Music dan lain – lain ) mulai 1 Mei 2021 ini. Secara fizikal album yang memuatkan 5 lagu keseluruhannya termasuk single ‘Hasbi Rabbi’ juga mula dijual di platform online – Shoppee.