Penyanyi Siti Nordiana memberi tempoh selama 48 jam kepada lima individu untuk membuat permohonan maaf berhubung isu tuduhan fitnah yang dilemparkan kepadanya menerusi satu sesi siaran langsung dalam Instagram melibatkan beberapa selebriti, termasuk Lan Solo dan Syura Badron baru-baru ini.
Jika kelima-lima individu terbabit gagal berbuat demikian, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana tidak teragak-agak untuk memfailkan tuntutan saman.
Selain Lan Solo dan Syura, penyanyi berusia 36 tahun itu menuntut isteri Lan ,Nur Sheila Hassim, jurusolek Aida G dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin untuk tampil membuat permohonan maaf kepadanya.
Nana melalui peguamnya, Abang Azlan Abang Ariffin juga membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras sekitar pukul 9.42 pagi hari ini berhubung isu tuduhan fitnah yang dilemparkan kepadanya.
Laporan polis berkenaan dibuat bagi membersihkan namanya daripada tuduhan berunsur fitnah yang boleh menjejaskan nama dan reputasinya sebagai artis.
“Laporan polis ini berbentuk satu penafian untuk melindungi Nana daripada menjadi mangsa tohmahan dan fitnah. Pihak kami masih lagi berbincang mengenai notis tuntutan maaf dan akan dihantar kepada lima individu terbabit pada hari Isnin minggu hadapan.
“Menerusi notis itu juga, kelima-lima individu terbabit juga diberi tempoh selama 48 jam untuk mengemukakan permohonan maaf kepada Nana.
“Menerusi sesi siaran langsung tersebut, memang jelas segala perbualan itu merujuk kepada Nana dan kenyataan berbaur fitnah itu ternyata boleh memberi gambaran buruk kepadanya,”.
– Azlan
Tambah Abang Azlan lagi, jika tiada sebarang maklum balas diterima daripada kelima-lima pihak tersebut, maka tindakan saman akan diambil ke atas mereka.
Sementara itu, Nana sebelum ini meluahkan rasa kesal dan terkilan apabila masalah tersebut yang boleh dibincang secara baik dibawa kepada pengetahuan khalayak.
“Saya malas nak ambil tahu sebenarnya. Sebelum ini pun saya sudah dengar ura-ura mengenai diri saya diperkatakan. Saya cuma mahu fokus kepada kerjaya saya.
“Apa yang saya ralat adalah apabila perbincangan itu dibuat menerusi siaran langsung dalam Instagram. Saya tidak pasti kenapa, tapi kalau ada yang tidak puas hati, kenapa perlu dibuat secara siaran langsung?”
– Azlan
Disebabkan perkara itu, pelantun lagu Cukup Derita Itu mengakui terkejut dan sedih sehingga perlu mendapatkan nasihat pakar iaitu peguamnya dalam hal tersebut.
Terdahulu, nama Nana telah disebut-sebuh dalam satu sesi siaran langsung dalam Instagram yang disertai oleh penyanyi, Lan Solo bersama isterinya, Shiela, Syura, jurusolek Aida G dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin pada 20 Julai lalu.
Dalam sesi siaran langsung tersebut, Shiela meluahkan rasa tidak puas hati dan terkilan apabila suaminya, Lan Solo dikatakan menumpang populariti Siti Nordiana. Sheila bahkan memaklumkan dia dan suami tidak lagi mengikuti pelantun lagu Cinta Hanya Sandaran itu di Instagram.
Bahkan Sheila berkata, tindakan itu dibuat kerana terkejut apabila Siti Nordiana mendakwa Lan mahu menumpang populariti dan tidak membayar duit makanan sekiranya mereka keluar bersama.
Malah, sesi siaran langsung itu juga menjadi medan kelima-lima mereka meluahkan apa yang terbuku dalam hati mereka selama ini terhadap Nana termasuk rasa terkilan Syura apabila mendakwa sesetengah pihak produksi enggan menawarkan pekerjaan kepadanya berpunca daripada ‘mulut’ Nana. –
*Sumber: K! ONLINE