Bagaikan kisah dalam sebuah drama pulak rasanya apabila Budiey membaca berita yang disiarkan di Harian Metro semalam berkenaan dengan isu kontroversi pelakon Siti Fazurina Mohd Famir yang kahwin lari tanpa restu ibunya. Mati-mati Budiey ingat ia satu gimik untuk pelancaran drama. Maklumlah, terlalu banyak sangat disogokkan dengan gimik pelancaran sebelum ini. Tapi memang bukan gimik ya, ia sebenarnya satu realiti yang berlaku.
[dropcap]U[/dropcap]ntuk menjernihkan keadaan dan membersihkan namanya, pelakon yang kini bertudung telah mengadakan satu majlis sidang media pada 23 Disember 2012 lalu di Bayan Baru, Georgetown, Pulau Pinang dan turut menjemput keluarga serta ibunya di majlis itu.
Namun, apa yang berlaku sebaliknya selepas ahli keluarga Fazurina seolah-olah tidak membenarkan pelakon ini bertemu dengan ibunya. Namun, Fazurina hanya sempat memohon ampun dan maaf daripada ibunya.
[pullquote]”Maafkan saya, Ampunkan saya” – Siti Fazurina[/pullquote]
Pelakon drama bersiri Trilogi Cinta, Siti Fazurina hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sebelum ibunya itu ditarik ahli keluarganya yang lain meninggalkan sidang media.
Ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 60, hadir pada sidang media itu bersama abang tiri Fazurina, Shahzuri Shaharudin, 36, serta adik-beradiknya yang lain, Mohd Fauzi Mohd Famir, 24, dan Mohd Firdaus Mohd Famir, 22.
Bagaimanapun, mereka hanya berdiri berhampiran kumpulan media dan hanya mendengar sidang media tanpa berkata apa-apa.
Siti Fazurina atau lebih mesra dipanggil Nina kelihatan tersentak dan menangis apabila ibunya mengikut saudara-maranya yang lain selepas dia berkejar mendapatkan Zubaidah berhampiran tangga selepas ibunya bergegas meninggalkan sidang akhbarnya.
BERLALU PERGI…ahli keluarga lain membawa ibu Siti Fazurina keluar dari hotel.
Bagaimanapun, dia hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sambil meminta ampun manakala Zubaidah didengar meluahkan kekesalannya dengan tindakan Siti Fazurina (berkahwin secara senyap) sebelum dia ditarik adik-beradiknya meninggalkan tempat itu.
Usaha Harian Metro untuk mendapatkan penjelasan Zubaidah mengenai perkahwinan anaknya itu gagal kerana dia enggan ditemu ramah media, termasuk ketika dihubungi melalui telefon, malam tadi.
[pullquote align=”right”]Siti Fazurina hanya sempat memeluk ibunya di luar sidang media.[/pullquote]
Semasa sidang media itu, Fazurina menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan dia ‘kahwin lari’ di Thailand dengan Muhammad Hykal Zulkifli setelah tidak mendapat restu keluarga.
Menurut Nina, 30, dia dan suaminya, Muhammad Hykal, 31, sebenarnya selamat melangsungkan majlis pernikahan di Masjid Jamek Sungai Pinang di sini pada 20 Disember lalu dan bukannya di negara jiran seperti yang digembar-gemburkan.
“Majlis pernikahan saya berlangsung secara sah dan saya tak sangka perkara ini boleh timbul apatah lagi membabitkan ahli keluarga saya sendiri. Saya sebenarnya banyak berkecil hati. Mereka tidak pernah merasai apa yang saya rasa. Kalau ahli keluarga saya dapat menerima Hykal perkara sebegini akan selesai. Kami berdua sudah lama merancang untuk berkahwin dan kali ini Tuhan telah memakbulkan doa kami. Hykal adalah pilihan terbaik untuk saya.”
Siti Fazurina Mohd Famir bersama suaminya Muhammad Hykal Zulkifli menunjukkan surat akuan pernikahan mereka bagi menjawab kontroversi di mana mereka kahwin lari.
Budiey pun tidak faham kenapa Fazurina kena buat majlis sidang media ini sedangkan apa salahnya jika beliau bertemu sendiri dengan ibu dan ahli keluarganya yang lain secara personal di rumah ibunya?
Sebelum ini, Budiey ada siarkan tentang berita Siti Fazurina telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Haikal, 30-an tanpa pengetahuan keluarganya.
Sumber terdekat keluarganya mendedahkan, Fazurina atau nama sebenarnya Siti Fazurina Mohd Famir, 30, pernikahan tersebut berlangsung di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada kira-kira pukul 3.30 petang Khamis berwalikan bapa saudaranya.
Paling Budiey rasa kasihan apabila Fazurina tidak bertemu langsung dengan ibunya untuk mendapat restu. Fazurina pastinya ada alasan sendiri mengapa ini berlaku. Namun, apa-apa pun, segala apa yang kita buat perlu mendapatkan restu dari ibu terlebih dahulu. Bukankah syurga itu di bawah telapak kaki ibu?