Menurut sumber dari Berita Harian, pelakon Siti Elizad bakal melangsungkan perkahwianan jejaka pilihannya bernama Shamsul Baharin Rahman tidak lama lagi. Lelaki berstatus duda dua anak itu bertugas di sebuah syarikat permotoran terkenal.
Bagaimanapun atas permintaan bapanya, pelakon drama Teman Lelaki Upahan ini memilih untuk merahsiakan bila tarikh sebenar majlis pernikahannya itu.
“Ia sebagai menghormati permintaan bapa saya yang baru saja menjalani pembedahan mata. Majlis nikah pun akan dibuat kecil-kecilan saja dan membabitkan ahli keluarga terdekat saja. Bapa tak mahu uar-uar dulu bila tarikh nikah.
Bapa bimbang kalau beritahu tarikh nikah nanti pasti akan ada saudara mara yang jauh yang tak dijemput akan berkecil hati. Tetapi majlis resepsi pada April yang pastinya di Kuala Lumpur nanti akan diundang termasuk rakan media,” katanya.
Ditanya mengenai bakal suaminya, Elizad menjelaskan Shamsul diperkenalkan sendiri oleh kakak iparnya.
“Dulu hidup saya segala-galanya untuk keluarga dan sampai satu tahap saya tidak pernah memikirkan untuk berumah tangga. Tapi pada satu tahap saya mula berfikir tidak boleh selamanya begitu dan Alhamdulillah fasa baru akan bermula tak lama lagi,” katanya yang akan muncul dengan filem Coverina dan Harmonika pada tahun ini.
Mengenai majlis perkahwinan impian, Elizad mahupun bakal suaminya memilih untuk bersederhana saja.
sumber : Berita Harian