Bersedia untuk menyelami dunia kelam dan berbahaya sekali lagi? Siri hit Netflix Wednesday bakal kembali pada 6 Ogos dan 3 September 2025 untuk Musim Kedua yang dijangka lebih gelap, lebih dramatik dan lebih mengejutkandaripada musim terdahulu. Kali ini, kita akan menyaksikan lebih banyak aksi berdarah, rahsia yang terbongkar dan karakter baharu yang menyengat, termasuk ahli keluarga Addams sendiri yang kini turut serta secara aktif di akademi misteri Nevermore.
Wednesday Kembali Dengan Karakter Lebih Tajam Dan Penuh Aura
Jenna Ortega kembali menggalas watak utama sebagai Wednesday Addams, si remaja eksentrik dengan kecerdasan tajam dan jiwa detektif yang sukar dijangka. Ortega turut menjawat tugas sebagai penerbit kali ini dan menyifatkan peluang menyarung watak Wednesday buat kali kedua sebagai pengalaman yang “menyeronokkan, pelik dan sangat lucu.” Menurutnya, “Dia berlari pusing keliling semua orang dalam setiap perbualan. Sangat menyeronokkan untuk jadi seseorang yang lebih bijak dari kita sendiri.”
Pugsley Addams Sertai Nevermore – Sekolah Kini Jadi Panggung Keluarga
Satu kejutan besar musim ini ialah kehadiran Pugsley Addams (lakonan Isaac Ordonez) yang kini menjadi pelajar baharu di Nevermore. Ini menambah satu lagi beban emosi kepada Wednesday yang sebelum ini cukup menjaga ruang peribadinya. Tambah mencabar, ibu bapa mereka, Morticia (Catherine Zeta-Jones) dan Gomez Addams (Luis Guzmán) turut sering berada di kampus, menjadikan situasi lebih “mencabar dan menyakitkan” untuk Wednesday.
Plot Makin Luas, Karakter Sokongan Diberi Nafas Baharu
Menurut pencipta siri Alfred Gough, “Musim pertama banyak tertumpu kepada Wednesday, tetapi sekarang kami mahu kembangkan cerita karakter lain juga.” Penonton bakal menyaksikan perkembangan watak Enid (Emma Myers), Bianca (Joy Sunday) dan juga Tyler (Hunter Doohan), si barista berwajah manis yang sebenarnya seorang Hyde pembunuhdari musim lalu.
Namun begitu, jangan terlalu yakin anda tahu arah tuju siri ini. “Tiada apa yang seperti disangka,” ujar pencipta bersama Miles Millar. “Wednesday sangka dia tahu semua tentang Nevermore, tapi sebaik dia kembali, segalanya berubah.”
Watak Baharu Menggegarkan – Grandmama Dan Pengetua Misteri
Pelakon lagenda Joanna Lumley menyertai barisan pelakon sebagai Hester Frump, nenek kepada Wednesday dan ibu kepada Morticia. Millar menyifatkan kehadiran Lumley sebagai “sempurna dan menggoda” serta menambah, “Dia dan Wednesday ada hubungan yang istimewa di layar, penuh dengan sinar jenaka dan keunikan.”
Tak cukup dengan itu, Nevermore juga memperkenalkan pengetua baharu, Barry Dort lakonan Steve Buscemi, menggantikan Weems yang gugur dalam musim lalu. Tim Burton menyifatkan Buscemi sebagai seorang yang bertenaga dan dihormati, dan wataknya sebagai Barry Dort adalah “penuh misteri dan semangat juang outcast yang sejati.”
Kehadiran Semula Watak Ikonik Yang Dinanti-Nanti
- Uncle Fester kembali dengan gaya jenaka uniknya, kali ini dengan peranan yang lebih besar.
- Thing, si tangan ajaib, dikatakan membawa “trauma dan beban emosi yang lebih mendalam”, menurut Ortega.
- Dan hubungan Wednesday–Morticia dijadikan pusat emosi siri kali ini — sebuah konfrontasi klasik antara ibu dan anak perempuan yang penuh konflik.
Penuh Kejutan, Sarat Dengan Kuasa Baharu
Pugsley pula, bukan sekadar budak mentah. Dia kini mula meneroka kuasa baharunya sebagai remaja Nevermore dan secara simbolik, kelibatnya yang menghancurkan papan tanda Jericho dalam teaser adalah petanda bahawa zaman baharu sudah bermula.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, siri Wednesday musim kedua ini bukan sekadar sambungan cerita, tetapi satu evolusi penceritaan yang lebih matang, lebih kompleks dan lebih menggoda untuk ditonton. Kehadiran ahli keluarga Addams secara aktif menjanjikan konflik yang lebih menghiburkan dan dinamik, manakala wajah baharu seperti Hester dan Barry Dort membawa angin segar yang menjanjikan kekeliruan dan kejutan.
Musim ini lebih dari sekadar ‘sambungan’ — ia adalah pembaharuan total yang masih berpaksikan kepada keunikan watak Wednesday yang penuh enigma. Jadi, kalau anda peminat misteri yang kelam dan pelik, sediakan hati dan minda— kerana Nevermore bakal menghantui anda sekali lagi.
Jangan lupa saksikan Musim Kedua Wednesday di Netflix bermula 6 Ogos dan 3 September 2025.