in

Sinopsis Telemovie Yassin Terakhir Lakonan Watie Elite

Konflik Anak Berebutkan Harta Dalam Telemovie “Yassin Terakhir” Di TV1

[dropcap]K[/dropcap]isah konflik anak yang berebutkan harta peninggalan keluarga bukanlah isu baru yang timbul dalam masyarakat kita. Dek kerana berebutkan harta ada yang sanggup melakukan apa sahaja hingga mengetepikan ikatan kekeluargaan sesama mereka.

Cuba mengajak penonton turut sama berkongsi pengajaran kisah sama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan drama penuh keinsafan bertajuk “Yassin Terakhir” pada 12 April 2013, jam 10.30 pagi mengisi slot Nurani di TV1.

drama Yassin Terakhir

[dropcap]M[/dropcap]enampilkan gandingan pelakon utama Kazaruddin Saisi, Allana Amir, Hairi Safwan Aznan dan Watie Elite, Hayati bersama babak-babak mengisahkan watak utamanya Pak Wan, hidup senang dengan hartanah dan kebun-kebun yang maju namun tinggal sendirian di kampung walau dia mempunyai 3 orang anak. Anak-anaknya Arman, Kassim dan Murni tinggal di Kuala Lumpur dan jarang sekali pulang menjenguknya. Kassim dan Murni hanya pulang apabila mereka kesempitan wang. Namun Pak Wan kecewa kerana anak sulungnya Arman tidak pulang langsung sejak terjadi salah faham antara mereka.

Arman berkecil hati kerana tatkala dia mahu meminjam wang untuk perubatan isterinya, Pak Wan tidak punya wang yang cukup kerana telah memberikannya kepada Murni. Isteri Arman tidak sempat menerima rawatan lalu meninggal dunia. Sejak itu Arman berasa jauh hati terhadap keluarganya.

Kassim adalah anak lelaki kedua dan Murni adalah anak bongsu. Kassim tidak pernah berjaya mengusahakan apa-apa perniagaan sekalipun kerana dia dan isterinya boros berbelanja manakala Murni yang masih belum berumahtangga walau sudah lewat usia juga jenis yang boros dan terlalu mengikut rentak mewah kota.

Beberapa tahun berlalu, Arman berjaya didalam perniagaannya dari modalnya sendiri dan Kassim mula mendekatkan diri pada Arman. Tanpa mengetahui bahawa Kassim juga salah satu penyebab Pak Wan tidak cukup wang untuk membantu kos perbelanjaan arwah isteri Arman, Arman menerima Kassim menjadi pembantunya didalam syarikat.

Kassim berjaya membelit Arman didalam perniagaan dan tanpa diketahui oleh sesiapa, Kassim telah berjaya mendapatkan tanda tangan Arman untuk pertukaran hakmilik harta dan syarikat Arman lalu kemudian Kassim meracun makanan Arman. Selepas Arman meninggal dunia, Aisyah satu-satunya anak Arman yang kini remaja berusia 17 tahun, dicampakkannya ke bawah penjagaan Pak Wan manakala Kassim dan isterinya hidup bersenang lenang dengan harta anak yatim itu.

Pak Wan menerima kehadiran Aisyah dengan gembira. Oleh kerana terlalu kesal dengan apa yang telah berlaku diantara dia dengan Arman, Pak Wan menatang Aisyah bagai menatang minyak yang penuh. Aisyah, remaja kota yang tidak begitu tahu tentang agama Islam, dididik oleh Pak Wan. Aisyah dapat menyesuaikan dirinya dikampung dengan mudah sekali kerana Aisyah mahu membuang kenangan di ibukota setelah dia sudah tidak ada ayah dan ibu.

Sambil membuat persiapan untuk SPM, Aisyah membantu datuknya menguruskan perniagaan hasil tanaman malah lebih sistematik. Aisyah perolehi keputusan SPM yang baik tetapi dia memilih untuk berada di sisi datuknya, menguruskan perniagaan sambil menjaga Pak Wan yang sering uzur. Pak Wan pada mulanya membantah tetapi apabila Aisyah berkeras, Pak Wan akur kerana tidak mahu kehilangan Aisyah sepertimana dia kehilangan ayah Aisyah.

Masa berlalu. Kini usia Aisyah sudah 21 tahun dan sudah tiba untuk Pak Wan menyerahkan segala hartanya pada Aisyah kerana Aisyah tidak boros dan tidak mengambil kesempatan seperti Kassim dan Murni. Pak Wan mahu Aisyah tanda tangan dokumen pemindahan hak milik hartanya. Aisyah jelaskan ibubapa saudaranya lebih berhak kerana mereka anak. Pak Wan beritahu bahagian mereka sudah ada lalu Aisyah menandatangani borang pemindahan hak milik itu.

Tidak lama kemudian, Pak Wan jatuh sakit yang kritikal dan dirawat di hospital. Aisyah hubungi Kassim dan Murni. Pada malam itu, Pak Wan seolah-olah tahu dia akan pulang ke rahmatullah. Pak Wan meminta Aisyah membacakan Yassin untuknya. Aisyah mula membaca Yassin. Tangan Aisyah digenggam erat oleh datuknya. Pak Wan dilihatnya tenang. Selesai membaca Yassin, Aisyah mendapati datuknya sudah tiada lagi. Sebak tangis Aisyah mengiringi pemergian Pak Wan namun Aisyah bersyukur datuknya begitu senang pergi.

Ketika jenazah sedang diuruskan untuk pengkebumian, Kassim dan isterinya sudah berangan-angan dengan kehidupan mewah dimasa akan datang. Kassim mahu Murni membawa Aisyah tinggal dengannya kerana Kassim sebagai satu-satunya anak lelaki akan menguruskan segala harta peninggalan arwah ayah mereka.

Malang buat Kassim dan isterinya, Hamid orang yang dipercayai Pak Wan yang ada disitu tegaskan bahawa semua harta yang ditinggalkan oleh Pak Wan telah ditukar hakmilik ke atas nama Aisyah. Kassim naik angin lalu menjerit-jerit dan menuduh Aisyah telah manupulasi fikiran Pak Wan. Kassim yang tidak menghormati jenazah masih ada di dalam rumah, terus keluar untuk pulang ke ibukota dengan isterinya. Malang buat mereka, sebaik tiba di simpang untuk keluar dari kampung, mereka terlibat dalam kemalangan. Lalu apakah kesudahannya?

Kaza dan Hairi ... watak ayah dan anak

babak dalam Yassin Terakhir

konflik dalam drama ini

kasih anak dan ayah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Maxis Telco Pertama Mengaktifkan 4G LTE Bagi Peranti Apple

Portal TONTON Lancar Saluran Tonton News