Versi baharunya dijelmakan dalam sebuah drama bersiri terbaharu disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang cuti persekolah ini bertajuk “Waliuddin Dua Ringgit” mulai 26 November ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 2.30 petang di TV2.
Dijayakan watak utamanya oleh pelakon Rykarl Iskandar, dan dibantu oleh Syafie Naswip, Aishah Azman, Fathil Dani, Lisdawati, dan Anne Abdullah, drama bersiri 13 episod ini mengajak penonton mengenali kebaikan watak Waliuddin yang rajin membantu orang lain walaupun mengenakan bayaran dua ringgit setiap kali menghulurkan pertolongan.
WALIUDDIN DUA RINGGIT Lakonan Rykarl Iskandar, Syafie Naswip dan Aishah Azman Cuti Sekolah Ini di TV2
Kisahnya berkembang dengan watak remaja bernama Waliuddin (Wali) tinggal dengan ibu dan kakaknya setelah kematian ayahnya. Wali seorang budak yang pintar dan sangat manja dengan ibu dan kakaknya tetapi perangainya agak sedikit nakal yang kadangkadang menjadi keluhan beberapa orang penduduk kampung itu.
Dalam pada itu, muncul Aziz yang sampai ke kampung Wali untuk bermusafir. Aziz dibenarkan tinggal di masjid kampung tersebut dan mula berkawan rapat dengan Wali. Wali sangat gemar membantu orang-orang kampung seperti membelikan barang-barang di kedai atau menunjukkan jalan di kampung itu tetapi mengenakan syarat bahawa mereka perlu membayar upah dua ringgit kepadanya.
Satu hari Wali dituduh mencuri buah betik kepunyaan Makcik Suraya. Namun Wali memberikan alasan munasabah dia mengambil buah itu di tanah dan jika tak diambil ia dikira membazir. Pada masa sama duit tabung masjid didapati hilang dan Pak Mat menuduh Wali yang mencurinya. Akhirnya Wali berpakat dengan Tok Imam untuk berbuat sesuatu. Akhirnya si pencuri tertangkap melalui bukti dalam CCTV yang dipasang, dan pencuri tersebut ialah Mak Gayah seorang perempuan miskin di kampung itu.
Kenakalan Wali berterusan bila dia berani mengambil basikal kakaknya Jannah tanpa meminta kebenaran, dan melarikan diri dari masjid dan tidak mahu mengaji. Namun Wali juga melakukan kebaikan kepada keluarga kawannya Aminah supaya menggunakan perkhidmatan bank secara ‘online’.
Wali dan kawannya telah mengambil upah memetik buah-buah cili api kepunyaan Pak Latif dan dia dibayar upah sebanyak dua ringgit. Manakala di rumah, kakaknya Jannah menjumpai kotak simpanan kepunyaan Wali yang mengandungi banyak wang. Selain itu, Wali dan Aziz telah membantu Pak Latif mula membaca Al-Quran kerana dia tidak pandai membaca Al-Quran, walhal dia akan mengerjakan Umrah tidak lama lagi. Seterusnya Wali mengambil upah dua ringgit dengan membantu Makcik Normah membeli barang-barang dapur di kedai runcit, dan mengejutkan Pak Imam yang tertidur di bawah pohon mangga.
Persahabatan antara Jannah dan Aziz semakin erat. Hal ini membawa keuntungan kepada Wali. Wali akan meminta dua ringgit daripada Aziz setiap kali Aziz memintanya menghantarkan suratnya kepada Jannah. Selain itu Wali juga dapat mengumpulkan wang upah sebanyak dua ringgit setiap hari daripada Kak Bibah yang berniaga nasi lemak. Sambal nasi lemak Kak Bibah berdasarkan resepi Jannah. Tetapi Wali yang menuntut upahnya daripada Kak Bibah, kononnya bagi pihak Jannah. Wang simpanan Wali semakin bertambah.
Sementara itu Pak Ali tuan punya warong nasi lemak di kampung mereka terkenal dengan sikap pemarahnya telah memarahi pekerjanya, Leman. Sejak itu Leman berdendam dan memasak sambal masam dengan harapan pelanggan di kedai Pak Ali makin merosot. Pak Ali pula menuduh Bibah dengkikannya namun apabila situasi sebenar terbongkar, Pak Ali membenarkan Bibah menjual nasi lemak di hadapan warungnya.
Wali terus mendapat keuntungan menjadi pengintip Kak Ina yang sentiasa cemburukan kesenangan orang lain. Sikap Kak Ina gemar berhutang itu menyusahakan suaminya, Razif yang terpaksa meniaga burger waktu malam. Wali mendapat komisyen dua ringgit atas pertolongannya kepada Abang Razif.
Jannah pula semakin menjalin hubungan rapat dengan Aziz. Pada suatu hari Jannah mendengar Aziz berbual melalui telefon dengan kawannya tentang tidak cukup wang. Akhirnya Jannah bersetuju meminjamkan sedikit wang kepada Aziz. Mereka berjanji akan merahsiakan perkara itu tetapi telah dapat didengari oleh Wali. Mereka memberikan dua ringgit kepada Wali dan Wali sangat gembira.
Muncul watak Mak Timah yang menabur fitnah kepada orang kampung kononnya Jannah dan Aziz sering bertemu berdua-duaan di bangsal kampung itu. Orang kampung hampir mempercayainya. Tetapi sebenarnya bangsal itu dibuat menggunakan wang yang dihimpun oleh Wali sebagai menunaikan hasrat bapanya yang mahu bangsal itu digunakan oleh orang kampung untuk bertemu dan bermusyawarah.
Aziz yang dituduh bukan-bukan oleh Mak Timah terus menghilangkan diri daripada kampung itu. Jannah sangat susah hati. Tetapi dua minggu kemudian Aziz datang menemui Jannah. Apakah yang terjadi kepada Aziz?
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.