Ketika fanatik politik saling salah menyalahkan tidak mahu bersatu wira-wira kita berjuang mempertahankan negara walaupun sentiasa dikutuk bagaikan tiada baiknya.
Wira-wira negara kita yang bersengkang mata bermandi keringat memastikan Malaysia sentiasa terpelihara kedaulatannya dan pengorbanan ini mesti dihargai dan diingati. Malah ternyata perjuangan mereka tiada galang gantinya apatahlagi dalam menghayati sambutan kemerdekaan ke-57 pada 31 Ogos depan.
Turut menyelitkan plot kisah mengenang pengorbanan antara pejuang yang ‘gugur’ semasa bertugas di Lahad Datu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan drama khas bertajuk “Abangku Patriot” pada 31 Ogos, pukul 9.00 malam di TVi.
Drama ini disiarkan sempena mengenang kembali jasa pejuang yang telah gugur ketika bertugas di Lahat Datu.
Kisahnya berlatarkan watak Zaharin, pelajar yang cemerlang dalam pelajaran. Dia mempunyai cita-cita menjadi seorang jurutera yang berjaya. Berbeza dengan abangnya Zaimi, yang tidak begitu minat dengan pelajaran, dan apabila tamat SPM beliau telah menyertai Askar DiRaja Malaysia sebagai seorang Prebet. Kini Zaimi sudah mencapat pangkat Kopral.
Zaharin anggap abangnya telah mensia-siakan dirinya kerana tidak perlu menjadi seorang askar. Zaharin menganggap pekerjaan itu hanya untuk mereka yang tidak pandai dan cerdik dan hanya untuk mereka yang gagal dalam pendidikan. Situasi itu membuatkan hubungan antara mereka dua beradik menjadi renggang kerana Zaharin asyik mengutuk kerjayanya. Zaharin kata negara Malaysia terlalu aman dan tiada perang, dan kerja askar tidak membawa apa apa erti pada zaman moden ini.
Tragedi menimpa keluarga mereka apabila kedua-dua ibubapa mereka telah maut dalam satu kemalangan. Zaharin terpaksa tinggal bersama Zaimi dan isterinya Rashidah di kawasan perumahan askar.
Zaimi menanggung persekolahan Zaharin sehingga Zaharin menerima biasiswa untuk masuk ke Universiti.
Empat tahun kemudian di upacara graduan Zaharin, Zaimi mengejutkan adiknya apabila muncul dengan Rashidah untuk menghadiri upacara itu. Zaharin malu kerana kawan-kawannya kini tahu beliau ada seorang abang yang berpangkat Sarjan dalam askar.
Zaharin marah Zaimi dan menyuruh abangnya jangan campur lagi dalam halnya. Zaimi terkilan dan terus pergi daripada upacara konvokesyen tersebut.
Tiga tahun kemudian, Zaharin sudah dapat kerja sebagai jurutera disebuah syarikat terkenal.
Kini bulan April 2013. Insiden Lahad Datu mendapat perhatian dunia. Zaharin tidak ambil kisah. Tetapi apabila Zaimi terbunuh dalam satu operasi Zaharin terkejut. Zaimi telah mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan rakan rakannya daripada serangan hendap puak Sulu.
Jenazah Zaimi dibawa pulang. Zaharin menyesal kerana menganggap kerjaya abangnya tidak penting untuk dirinya dan negara. Apabila berada di rumah arwah abangnya, Zaharin rasa sedih kerana gambarnya memenuhi dinding rumah abangnya.
Rashidah memberitahunya bahawa Zaimi begitu bangga dengan kejayaan adiknya dan bangga sangat bercerita tentang adik nya yang begitu pandai apabila kawan dan sahabat handai datang melihat gambarnya di dinding.
Di malam tahlil itu, ramai kawan arwa datang dan mereka semua bangga dengan kejayaan Zaharin. Walaupun Zaharin selalu mengutukan dan merendahkan diri abangnya di khalayak ramai, abangnya tak pernah kutuk dan marah adiknya. Zaharin rasa begitu terkilan. Abangnya seorang patriot dan hanya dia sahaja yang tidak sedar.
Zaharin meletak jawatan dan telah mengambil keputusan masuk askar sebagai jurutera askar.