Seperti mana jodoh dan rezeki, kematian, ajal dan kelahiran adalah rahsia Allah. Setiap manusia yang hidup, wajib untuk terus beriman dan berikhtiar hingga ke akhir usia tanpa wujudnya putus asa. Itulah yang dilalui oleh Ilham. Ilham kebelakangan ini seringkali merasa putus asa dan mahu mengalah kepada kehidupan. Apatah lagi, dia kini tiada tempat bermanja dan mengadu setelah kematian abang tercinta.
Terbaru di Slot TELE JUMAAT, sebuah telefilem ‘CAHAYA CINTA’ bakal disiarkan pada Jumaat, 11 September 2015, jam 10 malam. Telefilem ini membariskan bintang-bintang terkenal Malaysia seperti Qi Razali, Nisha Dirr, Hafizul Kamal dan ramai lagi.
Kisah Ilham bermula apabila dia yang baru sahaja kehilangan abang tercinta telah disahkan menghidap kanser usus. Dunianya bertambah kelam. Hanya kesakitan dan kematian sahaja menjadi bayangan Ilham setiap hari.
Zahir, selaku kawan terdekat Ilham merasa sedih dan bimbang dengan perubahan Ilham. Zahir dapat merasakan bahawa kanser yang dihidapi Ilham bukan sahaja meragut kesihatannya malahan ia turut meragut semangat dan daya juang Ilham. Sebagai ikhtiar, Zahir mempelawa Ilham ke kampung halamannya bagi menenangkan fikiran.
Ikhtiar Zahir membuahkan hasil. Di kampung halamannya, Ilham kelihatan sedikit ceria dan bersemangat dalam menempuh kehidupan seharian.Tiada lagi keluh kesah dan cerita derita. Semangat juang Ilham makin utuh setelah dipertemukan dengan Zahira.
Zahira adalah ibu tunggal dan juga kakak kepada Zahir. Saban hari Zahira hidup dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Jarang sekali kedengaran keluh kesah dari bibirnya walau dia menjalani kehidupan seharian cukup besederhana.
Dalam diam, Ilham kagum dan menjadikan Zahira sebagai pembakar semangatnya untuk meneruskan rawatan dan kehidupan. Dengan melihat ketabahan Zahira, Ilham merasakan dia juga tidak harus putus harapan.
Lama kelamaan, hubungan yang terbina atas dasar sahabat bertukar kepada bibit percintaan. Ilham jatuh hati dan mahu menjadikan Zahira sebagai suri hidupnya walau dia tahu status zahira dan kekurangannya.
Dengan Izin yang Maha Kuasa, Zahira dan Ilham disatukan dalam suasana penuh sederhana namun meriah.
Langit tidak selalu cerah.
Sangka Zahira rawatan yang dijalani oleh Ilham membuahkan hasil, Namun, sebaliknya yang terjadi. Pada suatu hari yang tenang, Ilham jatuh sakit dan keadaanya bertukar kritikal. Dia tidak sedarkan diri dan diberikan perhatian menyeluruh oleh pihak hospital.
Pada masa yang sama, Zahira diberitakan dengan khabar gembira. Dia kini hamil dan mereka bakal menimang cahaya mata.
Suka dan duka bercampur aduk dalam satu masa. Pelbagai persoalan bermain di benak Zahira. Adakah bayi yang dikandungnya berpeluang untuk merasai kasih sayang Ilham? Mampukah dia terus tabah seandainya dia ditakdirkan untuk kehilangan lelaki bernama suami buat kali kedua?
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan kesudahan CAHAYA CINTA hanya di TV AlHijrah jumaat ini. Untuk mendapatkan perkembangan terkini, penonton juga boleh melayari laman sesawang TV AlHijrah di www.tvalhijrah.com.
TELEFILEM : CAHAYA CINTA
TARIKH TAYANGAN : JUMAAT, 11/9/2015
WAKTU SIARAN : 10 MALAM
PENGARAH : AZELI MOHAMMAD (ANJELLI)
TERBITAN : OVM HOLDING SDN BHD
PELAKON : QI RAZALI, NISHA DIRR, HAFIZUL KAMAL