in

Sinopsis Telemovie Bejat Lakonan Nur Fathia

Penuh dengan babak-babak suspen dan mendebarkan, telemovie bertajuk “Bejat” mengisi slot Citra di TV2 mengajak anda berkongsi kisah yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita bila mana dua beradik bermusuhan hingga membenarkan orang luar mengambil kesempatan menambah burukkan lagi keadaan.

Menampilkan pelakon hebat Nur Fathia, Pekin Ibrahim, Tasha Shila, Balkish Semundur Khan dan Wan Shades, telemovie terbitan Zeel Production yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 6 Mei nanti, pukul 10.00 malam di TV2 ini mengetengahkan watak adik beradik, Sarah dan Samira membesar sebagai pendendam dan saling benci membenci sesama sendiri. Puncanya kerana cemburu, dengki dan sering berburuk sangka.

pekin ibrahim dan tasha shila

Kesal Seorang Adik Dalam Telemovie “Bejat” Lakonan Nur Fathia, Tasha Shila dan Pekin Ibrahim Di TV2

Sarah, anak sulung yang mewarisi sikap ayahnya seorang pembengis, dominan dan suka menguasai. Lebih lagi apabila dengan tanggungjawab sebagai anak sulung yang harus menjaga rumah dan adiknya Samira, membuatkan dia bersikap sangat keras. Malah, Sarah sering mencemburui Samira, dek kerana paras tubuhnya (bahagian tangan dan kaki) cacat akibat terkena air panas sewaktu kecil. Ditambah pula memakai cermin mata tebal kerana rabun serta sedikit gagap. Berbanding adiknya, Samira yang lebih sempurna, genit, bijak dan rupawan. Sarah juga akan dipukul atau dimarahi Hamzah dan Salina (ibu bapa) sekiranya gagal melaksanakan tugas di rumah dengan baik. Ini tidak berlaku pada Samira yang sering dipertahankan walau berbuat salah. Dek kerana itu juga, Sarah berdendam dan menjadikan Samira alat pelepas kemarahan. Mereka saling membenci.

Walaupun begitu, mereka berdua punya minat yang sama iaitu mengumpul haiwan peliharaan. Bezanya, Sarah meminati labah-labah hitam (tarantula). Manakala Samira meminati Hamster. Namun, seringkali hamster mati disengat labah-labah yang sengaja dimasukkan oleh Sarah ke dalam sangkar labah-labahnya. Dan kerana itu, Samira semakin membenci kakaknya.

Suatu ketika mereka bercuti di air terjun bersama keluarga. Sarah hampir lemas tetapi cuba dibantu oleh Samira dengan menghulurkan tangan kepada Sarah. Tetapi Sarah mengambil kesempatan itu untuk membalas dendam lalu menarik tangan Samira hingga Samira terjatuh ke dalam air. Sarah membiarkan Samira terkapai-kapai lemas. Namun ketika melaporkan kejadian pada kedua ibubapanya, Sarah terkejut apabila melihat Samira berjaya pulang ke pangkalan tanpa lemas sedikitpun. Sejak itu, dari remaja hingga dewasa, Samira enggan bercakap dengan Sarah lagi. Samira menggangap kakaknya seorang pembunuh kejam yang cemburu dengan kecantikan adik sendiri. Samira berpindah ke asrama dan menjalinkan hubungan cinta dengan Hairi, yang menyelamatkannya ketika lemas itu.

10 tahun kemudian, Hamzah dan Salina mati akibat kemalangan setelah kereta terjunam ke dalam gaung. Sarah masih andartu kerana terlalu keras kepala hingga sering gagal dalam cinta. Sementara Samira telahpun mengahwini Hairi, yang juga merupakan seorang akauntan yang kelihatan `nerd’. Tanpa diduga, Sarah ingin merebut Hairi dari Samira hingga sanggup berkerja di pejabat yang sama dengan Hairi. Sarah dilihat seolah cemburu dengan kebahagiaan Samira itu.

Maka, berlaku adegan menggoda antara Sarah dan Hairi, pertelingkahan antara Sarah dan Samira serta pergaduhan besar antara mereka bertiga hingga peristiwa ugutan bunuh diri oleh Sarah dan sebagainya. Hairi cuba mengawal keadaan, walaupun pada mulanya dia telah cair dengan godaan Sarah. Kerana rasa bersalah pada isteri, Hairi menafikan cinta Sarah. Sarah semakin marah, lalu menculik Ana, 2 tahun, untuk dijadikan anaknya sendiri. Apatah lagi Sarah merasakan dia lebih berpengalaman menjaga keluarga seperti dulu, dan layak menjaga anak itu berbanding Samira yang dianggap bermasalah sejak dulu. Dan di rumahnya, Ana diperkenalkan pada neneknya, Salina, yang sebenarnya hanyalah sebuah patung. Baru diketahui bahawa Sarah mengalami masalah mental obsesif dan mengandaikan ibunya masih hidup.

Lalu bagaimanakah kesudahan drama ini? Adakah Sarah yang sememangnya bermasalah atau ada pihak ketiga yang wujud dalam diam menghancurkan hubungan mereka? Saksikan kesudahannya dalam telemovie ini di TV2.

babak mencemaskan

babak kematian ayah dan ibu

watak utama

Pekin Ibrahim pegang watak Hairi

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

The Jespers Pertaruh Lagu BANGKIT

Senarai Pemenang Peraduan Stay Fresh With Lisa Surihani