Slot Cerekarama yang bersiaran pada setiap hari Sabtu, jam 9 malam mengangkat tema kekeluargaan pada 2 dan 9 April ini.
Telefilem Fatin, mengisahkan mengenai seorang ibu muda masih tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu manakala telefilem Karlisa, berkisarkan mengenai seorang adik yang ingin dirinya disayangi oleh kakak kandungnya. Telefilem Fatin adalah karya arahan Razaisyam Rashid di bawah terbitan rumah produksi Balang Rimbun manakala telefilem Karlisa merupakan hasil arahan Dato Ahmad Tarmimi Siregar di bawah terbitan Jutaan Ringgit Sdn. Bhd.
Telefilem Fatin dilakonkan oleh pelakon versatil Sharifah Amani, Pekin Ibrahim, Nadia Aqilah, dan adik Yuyun. Faz (Sharifah Amani), gadis yang berkahwin di usia muda namun mengalami kegagalan rumah tangga.
Setelah mahligai cinta yang dibina bersama suaminya akhirnya retak kerana tiada kesefahaman, Faz nekad membuat keputusan untuk berpisah. Manakala tanggungjawab untuk membesarkan anak mereka iaitu Fatin (adik Yuyun) jatuh di bawah jagaan suaminya.
Setelah sekian lama hidup bebas tanpa sebarang tanggungjawab, kematian bekas suaminya kembali menemukan Faz dengan satu-satunya zuriat mereka. Faz menganggap Fatin sebagai satu beban dan dia sendiri tidak yakin dia akan menjadi seorang ibu yang baik bagi Fatin. Fatin sebelum ini dibesarkan dengan kemewahan dan hidup selesa bersama arwah bapanya, namun apabila bersama Faz, dia perlu membiasakan diri dengan kehidupan Faz yang sederhana.
Disebabkan tidak sanggup untuk membesarkan Fatin dan tidak mahu terbeban, Faz membuat keputusan untuk menyerahkan Fatin kepada bekas ibu mertuanya. Faz merasakan ibu mertuanya itu dapat menjaga Fatin dengan baik daripadanya. Namun semasa ibu mertuanya pergi menunaikan umrah Faz terpaksa menjaga Fatin buat seketika. Adakah Faz bersedia untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu seperti yang didambakan oleh Fatin atau hanya membiarkan Fatin tanpa kasih sayang? Ikuti kesudahan telefilem Fatin pada 2 April ini.