in ,

Sinopsis Teater BAHARA EMAS

Si Kitol berhutang sekati emas dengan orang kaya Raja Mendeliar dan sukar untuk membayar semula. Kekayaan Raja Mendeliar hanya kurang sebahara emas daripada kekayaan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, (satu bahara adalah 205 kati). Raja Mendeliar adalah orang yang sangat rapat dengan Laksamana Khoja Hassan. Manakala Laksamana Khoja Hassan pula rapat dan amat dikasihi oleh Sultan Mahmud Syah. Adapun Sultan Mahmud Syah sedang berdendam dengan Bendahara Seri Maharaja kerana tidak menunjukkan anak perempuan Bendahara, Tun Fatimah kepada baginda sebelum dikahwinkan dengan Tun Ali.

A (Group) DSC_9095

Pada masa yang sama rombongan Portugis yang diketuai oleh De Sequeira berada di Melaka. De Sequeire minta bantuan Bendahara mendapatkan izin berniaga di Melaka dan sebagai tanda persahabatan Bendahara telah dihadiahkan dengan seutas kalong emas. Manakala Raja Mendeliar juga memdapat emas daripada De Sequeira apabila mengatakan dialah yang menyebabkan Sultan memberi izin Portugis berniaga di Melaka. Situasi ini memberi jalan kepada Si Kitul mengambil kesempatan menyelamatkan diri dari hutang.

Suatu hari, Kitul telah mengkhabarkan kepada Raja Mendeliar tentang kedai Nina Sura Dewana tidak dirobohkan oleh Laksamana Khoja Hassan sedangkan kedai Mutu dirobohkan. Berlaku salah faham dan dakwa-dakwi antara keduanya lalu pergi berjumpa dengan Bendahara untuk menyelesaikan perbalahan.

Oleh kerana hari sudah magrib, Bendahara meminta mereka bertemu semula pada keesokan hari.

Pada malam itu, Nina Sura Dewana telah datang semula ke rumah Bendahara dengan membawa sejumlah emas dengan harapan keesokan harinya Bendahara Seri Maharaja akan menyebelahinya. Kata Nina Sura Dewana, pemberian itu sebagai penghargaan kepada orang yang berurusan perniagaan dengan beliau. Tanpa berfikir panjang lagi Bendahara pun menerima pemberian daripada Nina Sura Dewana. Urusan ini telah diintip oleh Si Kitul lalu memberitahu Raja Mendeliar.

Raja Mendeliar merasakan Si Kitul telah membantu menyelamatkan kedudukannya lalu hutang Si Kitul dihalalkan serta dengan segera mengambil sejumlah emasnya lalu pergi pula ke rumah Laksamana Khoja Hassan. Raja Mendeliar memberitahu Laksamana Khoja Hassan bahawa Bendahara sedang merancang untuk menjadi raja di Melaka dan telah menempah beberapa alat kebesaran daripada emas. Gelap mata oleh harta yang dihulur, Laksamana Khoja Hassan pun segera mengadap Sultan Mahmud lalu menyampaikan berita tersebut.

Tindakan Laksamana Khoja Hassan sebenarnya tak ubah bagai mencurah minyak ke dalam api. Sultan Mahmud dengan tanpa usul periksa telah menitahkan supaya Bendahara Seri Maharaja dan seluruh keluarganya dihukum bunuh. Tun Fatimah dan Tun Busu dapat diselamatkan oleh Tengku Zainal. Tun Fatimah kemudiannya berkahwin dengan Sultan setelah dipujuk oleh Tun Busu sebagai satu cara untuk menuntut bela.

Akhirnya dengan bantuan Raja Ahmad anakanda Sultan sendiri, angkara Si Kitul dan Raja Mendeliar terbongkar. Mereka serta keluarga dihukum bunuh dengan mayat serta tapak rumahnya dibuang ke laut. Laksamana Khoja Hassan dilucutkan jawatan dan dibuang negeri.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem BLOOD DIAMOND Lakonan Leonardo DiCaprio

SPRM Terbitkan Teater Bahara Emas