ADAPTASI NOVEL POPULAR SATUKAN IZZUE ISLAM & TIZ ZAQYAH
[dropcap]S[/dropcap]ememangnya perkahwinan itu sesuatu yang indah, apatah lagi jika disulami dengan sikap jujur, tanggungjawab dan saling menyayangi. Namun, bagi Syafa Aqira dan Firash Arshad yang ‘terpaksa’ berkahwin demi menjaga maruah keluarga, pelbagai dugaan menanti mereka berdua sebelum mengenali cinta dan mengecapi kebahagiaan.
Menyusuli ‘Hanya Pada Mu’, slot drama TV3 Zehra mempersembahkan sebuah drama bersiri yang diadaptasikan daripada novel popular ‘Sebenarnya Saya Isteri Dia’ nukilan Zura Asyfar bermula 29 Mac 2013, setiap hari Jumaat jam 9.00 malam.
Drama bersiri 13 episod terbitan Primeworks Studios ini diarahkan oleh Raja Ahmad Alaudin dengan barisan pelakon popular tanahair seperti Tiz Zaqyah (Syaf), Izzue Islam (Firash / Chad), Qi Qushairi (Haqimy), Uqasha Senrose (Rania), Azlee Khairi (Raimy), Fezrul Khan (Farish), Mustapha Kamal (Datuk Fakhrul), Wilma (Datin Farizah), Marisa Yasmin (Aida) dan ramai lagi.
Cinta pertama tidak semestinya akan bersatu. Syaf tidak pernah terfikir bahawa jodohnya tertulis dengan Firash, adik kepada kekasihnya, Farish walhal Syaf dan Farish sudah merancang untuk ke jinjang pelamin. Namun, satu peristiwa hitam telah mengubahkan segalanya.
Syaf, Farish dan Firash masing-masing dijemput hadir ke sebuah majlis sambutan harijadi oleh Raina dan Raimy. Raina dan Raimy telah merancangkan sesuatu untuk mendapatkan Syaf dan Firash tetapi akhirnya, Syaf dan Firash ditangkap tidur sebilik dalam keadaan yang mencurigakan.
Datin Farizah (Wilma) telah menasihati anaknya Firash untuk berkahwin dengan Syaf yang juga merupakan anak angkatnya. Farish amat kecewa dengan sikap Firash yang dituduh terlanjur dengan kekasihnya sehingga berlaku pergaduhan besar antara adik beradik. Firash pula menentang habis-habisan kerana tidak sanggup berkahwin pada usia 21 tahun tambahan pula Syaf lebih tua 4 tahun daripadanya.
Syaf bersetuju dengan cadangan ibu angkatnya demi menjaga maruah Datin Farizah dan tidak mahu hubungan dua adik beradik terjejas disebabkan oleh dia. Farish amat kecewa dengan keputusan Syaf yang bersetuju untuk berkahwin dengan Firash walaupun tidak ada rasa cinta. Syaf mengganggap dirinya sudah tidak suci dan tidak layak untuk Farish.
Perkahwinan antara Firash dan Syaf diteruskan juga tetapi dilakukan secara rahsia. Tiada ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai yang dikhabarkan dan dijemput termasuk ayah kandung Farish dan Firash, Datuk Fakhrul. Farish telah membawa diri kerana tidak sanggup kehilangan Syaf. Pada hari berlangsungnya akad nikah, Farish telah terlibat dengan kemalangan maut. Lebih memilukan hati Syaf apabila Firash telah melarang Syaf untuk datang ke majlis pengembumian Farish kerana tidak mahu status mereka diketahui ramai.
Kehidupan sebagai seorang isteri langsung tidak dipedulikan apatah lagi perkahwinan mereka dirahsiakan atas permintaan Firash. Firash dan Syaf tinggal berasingan di rumah bujang masing-masing. Firash yang lebih dikenali sebagai Chad di kalangan rakan-rakannya meneruskan kehidupannya sebagai seorang pelajar universiti dalam jurusan kejuruteraan. Datin Farizah terpaksa ikut kehendak anaknya yang kurang matang itu dan berusaha untuk menyatukan Firash dan Syaf di bawah satu bumbung satu hari nanti.
Syaf kembali bekerja sebagai jurutera. Jarang sekali Firash dan Syaf berjumpa. Kalau bertemu, Firash sering melemparkan kata-kata sinis untuk menyakitkan hati Syaf manakala Syaf hanya menelan dan memendamkan dalam hatinya.
Suatu hari, Datin Farizah telah merancang kenduri arwah buat Farish yang akan diadakan di kampung mereka di Terengganu. Syaf dipelawa ikut bersama. Syaf hanya dikenali sebagai anak angkat kepada Datin Farizah sahaja untuk mengelakkan sebarang kemusyikilan.
Di sana, Syaf bertemu dengan rakan universitinya, Haqimy yang juga merupakan abang sepupu kepada Firash. Pertemuan itu membawa kembali nostalgia mereka semasa belajar. Melihat kepada kemesraan Syaf dan Haqimy, Firash berasa cemburu.
Syaf telah ditugaskan ke Kerteh, Terengganu. Firash memberi persetujuan kerana dia juga bakal menjalani latihan pratikal di tempat Syaf bekerja. Syaf terkejut apabila berjumpa dengan Haqimy yang juga bekerja di situ. Bermulalah pelbagai insiden yang melucukan kerana Haqimy yang tidak mengetahui status sebenar Syaf dan Firash telah mula mengambil berat dan menyayangi Syaf.
Dalam marah dan cemburu kepada Haqimy, Firash mula mengambil hati Syaf. Apabila Syaf mula terharu dengan usaha Firash, dia menerima sepucuk surat misteri yang berbau ugutan beserta VCD yang menunjukkan kemesraan Rania dan Firash. Raina tidak pernah berputus asa untuk menggoda Firash walaupun mereka ialah adik-beradik tiri kerana Firash bakal menjadi waris tunggal harta Datuk Fakhrul.
Firash cuba memberi penjelasan tetapi keadaan bertambah rumit sehingga Syaf meletak jawatan dan menghilangkan diri. Sejak itu, baru Firash sedar akan ego dan sikap kurang matangnya telah mensia-siakan cinta Syaf kepadanya. Bagaimanakah Firash membuktikan kesungguhannya untuk menyayangi dan menjaga Syaf sebagai isterinya?
Teruskan menonton ‘Sebenarnya Saya Isteri Dia’ menerusi slot Zehra, setiap hari Jumaat jam 9.00 malam bermula 29 Mac 2013 di TV3. Penonton yang terlepas menyaksikan ‘Sebenarnya Saya Isteri Dia’ boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari laman sesawang www.tv3.com.my, Facebook & Twitter TV3MALAYSIA untuk mendapatkan berita terkini.