Ayu Izhani dan Hattin Isabella adalah dua pupu yang bersahabat baik sehingga mereka jatuh cinta dengan lelaki yang sama tetapi nama yang berbeza. Adakah persahabatan akan digadaikan demi cinta? Â
Menyusuli 3 Nota Cinta di slot Akasia, saksikan gandingan Fadlan Hazim, Ruhainies dan Ezzanie Jasny menerusi drama bersiri baharu ‘Sayang Tak Dikenang’ yang diadaptasikan daripada novel karya Wazrul Shah bermula 4 Mac 2022, setiap hari Isnin hingga Ahad pada pukul 7.00 malam.
Drama bersiri 28 episod ini diterbitkan oleh FJ Pictures, diarahkan oleh Feroz Kader, nukilan skrip oleh Shida Zali, Amin Shakib dan Mia Marziah serta menampilkan pelakon – pelakon popular Malaysia seperti Fadlan Hazim, Ruhainies, Ezzanie Jasny, Syafnida Shuhaimi, Andy Teh, Riz Amin, Meor Mohd, dan ramai lagi.
Sayang Tak Dikenang mengisahkan Ayu Izhani (Ruhainies) dan Hattin Isabella (Ezzanie Jasny), dua pupu yang bersahabat baik walaupun keluarga mereka tidak rapat. Mereka belajar di kolej yang sama. Setelah mendapat kerja, mereka tinggal di rumah sewa yang sama.
Ayu dan Hattin berkenalan dengan lelaki yang sama tetapi nama yang berbeza. Raqib Tafzani (Fadlan Hazim) memperkenalkan dirinya sebagai Raqib kepada Ayu manakala Hattin mengenalinya sebagai Tafzani. Ayu mula terbuka hati untuk menerima Raqib yang rajin melayan keluarganya. Ibu Ayu mendesak Ayu supaya menerima Raqib sebagai suami.
Hattin mendapat berita bahawa tunangnya, Omar curang dengan perempuan lain. Lebih teruk, Omar bertukar menjadi panas baran dan bersikap kasar dengan Hattin. Hattin merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan Ayu. Tafzani cuba menggoda Hattin selepas mendapat tahu dia telah putus tunang. Hattin mula dibuai dengan perasaan bahagia ketika bersama dengan Tafzani.
Raqib ingin membatalkan perkahwinan dengan Ayu tetapi majlis terpaksa diteruskan apabila keluarga Raqib yang menetap di luar negara telah sampai di Malaysia. Di majlis perkahwinan itu, Hattin terkejut melihat Tafzani adalah suami kepada Ayu. Lantas, Hattin terus meninggalkan majlis tersebut. Selepas berkahwin, sikap Raqib berubah dari seorang penyayang menjadi suami yang dingin kepada Ayu. Raqib tidak menyentuh Ayu dan mula menunjukkan kebencian.
Pada masa yang sama, Raqib masih tidak berputus asa untuk memikat hati Hattin. Selepas mengetahui tentang kisah silam keluarga mereka, Hattin mengambil kesempatan ini untuk menyakitkan hati Ayu kerana mahu membalas dendam untuk neneknya.
Ingin tahu apakah yang bakal berlaku seterusnya? Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menonton Sayang Tak Dikenang menerusi slot Akasia, bermula 4 Mac 2022, setiap hari Isnin hingga Ahad, pukul 7.00 malam.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.