Pada malam ini, bertempat di MMcineplexes, eCurve, Mutiara Damansara, akan berlangsung tayangan istimewa untuk filem dari Indonesia berjudul ROH YANG TAK TERLIHAT. Seramai 80 orang selebriti dan juga pembaca Budiey.com juga akan turut sama menonton. Khabarnya, ramai juga selebriti yang dijemput untuk menonton malam ini, termasuklah Aiman Tino, Danzrin dan ramai lagi.
Budiey tak sabar nak tengok filem seram yang memaparkan lebih 60 jenis hantu ni. Mesti menyeramkan jiwa dan raga kan?
‘Kisah Gadis Mampu Melihat Roh Manusia Yang Telah Mati’
Bagaimanakah perasaan seseorang itu memiliki kelebihan apabila mempunyai kemampuan melihat roh-roh manusia yang telah mati?
Adakah kehidupannya menjadi tidak tenteram apabila sering melihat roh yang menyeramkan atau kelebihan yang digunakan itu mampu menyelesaikan sebuah persoalan?
Itulah yang dipaparkan dalam filem bergenre seram berjudul Roh Yang Tak Terlihat, kisah seorang gadis yang mempunyai kelebihan tersendiri.
Bagaimanapun, kelebihan yang dimiliki itu ternyata agak sukar untuk dipercayai oleh orang sekeliling, terutama sekali ahli keluarga sendiri.
Pengarahnya, Billy Christian memberitahu antara salah satu sebab dia mahu terlibat dalam pembikinan filem ini kerana ia merupakan adaptasi daripada kisah benar.
“Dalam proses untuk menghasilkan filem ini, saya ada membuat satu sesi temu bual dengan individu yang dipercayai memiliki deria keenam.
“Individu itu dikatakan mampu melihat dan berkomunikasi dengan makhluk yang tidak mampu dlihat manusia biasa,” ujarnya.
Menurut Billy, semasa sesi temu bual berkenaan, dengan dibantu seorang ahli psikologi individu berkenaan turut berkomunikasi dengan roh orang yang telah meninggal dunia.
“Sebenarnya, intipati jalan cerita dalam filem ini juga adalah hasil penceritaan daripada roh yang telah berkomunikasi menerusi individu tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, bagi pelakon utamanya, Estelle Linden yang membawakan watak sebagai Saras, untuk filem ini dia banyak mendapatkan maklumat daripada beberapa individu yang memiliki deria ke-6.
“Saya sering bertanyakan soalan kepada mereka, terutama perasaan masing-masing apabila memiliki kelebihan sebegini.
“Ternyata cerita mengenai pengalaman yang dilalui mereka itu dengan keunikan yang dimiliki itu banyak membantu saya untuk menghayati watak yang diberikan,” ujarnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai pengalamannya bergandingan dengan artis senior seperti Sophia Latjuba, pelakon itu mengakui agak teruja dengan peluang tersebut.
“Sophia seorang pelakon yang sangat baik, cuma hubungan kami tidaklah terlalu akrab kerana jarang bertemu, terutamanya semasa sesi script reading,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pelakon iaitu Bianca Hello yang membawakan watak Laras iaitu adik kepada Saras dalam filem berkenaan memberitahu, terdapat beberapa pengalaman seram yang dilaluinya ketika penggambaran.
“Sepanjang penggambaran dilakukan, saya kerap dihantui dengan suara-suara aneh yang agak menakutkan.
“Misalnya, ketika adegan untuk babak permainan jelangkung, saya terdengar suara aneh seperti orang menangis,” ungkapnya sambil mengakui dia merupakan seorang yang penakut.
Biarpun mengalami kejadian sedemikian, namun pelakon berkenaan mengakui ia merupakan satu pengalaman yang menarik untuk terlibat dalam filem ini.
Filem seram dari Indonesia ini menceritakan kisah sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ibu tunggal iaitu Lidya (Sophia Latjuba) bersama dua anak perempuannya, Saras (Estelle Linden) dan Laras (Bianca Hello). Saras, sejak zaman kanak-kanak yang berbeza daripada kanak-kanak lain umumnya kerana mempunyai kemampuan deria keenam atau disebut anak indigo.
Sebenarnya, Saras dapat melihat makhluk yang tidak mampu dilihat orang lain seperti roh orang yanh sudah meninggal dunia. Bagaimanapun, keupayaan Saras dianggap tidak munasabah oleh ibu, Lidya sehingga menimbulkan konflik antara mereka.
Apabila menginjak usia 17 tahun, Saras telah dirasuk sebanyak dua kali dan ia membuat Lidya bimbang dan meminta pertolongan daripada kakaknya, Rima (Roweina Umboh), seorang ahli psikologi.
Pada suatu hari, Saras didatangi oleh roh seorang gadis yang bernama Dinda (Frisly Balqis) pelajar sekolah menengah yang meninggal dunia kerana dibuli oleh seorang pelajar bernama Citra (Aliyah Faizah). Roh Dinda datang menemui Saras untuk memberitahu sesuatu kepada ibu Dinda.
Setelah ditayangkan di Indonesia, filem terbitan Skylar Pictures ini akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 12 April 2018.
Untuk pasaran di negara ini, Empire Film Solution Sdn. Bhd. dan Cashmere Studios bertindak selaku pihak pengedaran dan pemasaran untuk filem Roh Yang Tak Terlihat.
Link Trailer
Barisan Pelakon Roh Yang Tak Terlihat
Sophia Latjuba – Lidya
Estelle Linden – Saras
Bianca Hello – Laras
Roweina Umboh – Rima
Dayu Wijanto – Dayu
Frisly Herlind – Dinda
Aliyah Faizah – Citra
Sharon Sahertian – Saras (remaja)
Yova Gracia – Yova
Rorencya – Irina
Roh Yang Tak Terlihat Cipta Rekod Perfileman Indonesia
Filem seram Indonesia, Roh Yang Tak Terlihat (judul asal Mereka Yang Tak Terlihat) mencipta rekod tersendiri apabila mendapat pengiktirafan Museum Rekor Indonesia (MURI).
Pengarahnya, Billy Christian berkata, pengiktirafan oleh MURI itu diberikan apabila filem itu mencipta rekod penampilan makhluk halus paling banyak dalam sebuah filem.
“Pada awalnya saya tidak menyangka akan menampilkan sebanyak 67 roh dan hantu sewaktu menghasilkan filem ini.
“Secara jujurnya, sewaktu menghasilkan lakon layar untuk filem ini saya tidak mengira jumlah roh dan hantu yang akan ditampilkan,” ujarnya.
Menurutnya, untuk kebanyakan babak dalam filem arahannya itu menampilkan banyak makhluk halus, sehinggalah dia diberitahu tentang jumlahnya oleh pihak penerbit.
Bagaimanapun, rekod berkenaan bukanlah menjadi sasaran utama kerana kemunculan begitu banyak makhluk halus itu lebih kepada memperkuatkan jalan ceritanya.
“Apa yang ingin dipaparkan adalah tentang keistimewaan watak utamanya yang mempunyai deria ke-6 dengan mampu melihat roh dan hantu di sekelilingnya.
“Itulah yang terpaksa dilalui oleh Saraswati sepanjang kehidupannya apabila sering berhadapan dengan makhluk halus,” jelasnya.
Filem ini menceritakan kisah sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ibu tunggal iaitu Lidya (Sophia Latjuba) bersama dua anak perempuannya, Saras (Estelle Linden) dan Laras (Bianca Hello). Saras, sejak zaman kanak-kanak yang berbeza daripada kanak-kanak lain umumnya kerana mempunyai kemampuan deria keenam atau disebut anak indigo.
Setelah ditayangkan di Indonesia pada tahun lalu dengan judul Mereka Yang Tak Terlihat, filem tersebut akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 12 April 2018.
Roh Yang Tak Terlihat turut membariskan beberapa pelakon popular seperti Sophia Latjuba, Estelle Linden, Bianca Hello, Roweina Umboh, Dayu Wijanto, Frisly Herlind dan Aliyah Faizah.
SKYLAR PICTURES
Syarikat Skylar Pictures merupakan sebuah syarikat penerbitan dan produksi dari Indonesia yang ditubuhkan pada tahun 2008 di bawah Stro World Entertainment Holding. Sepanjang penubuhannya, syarikat berkenaan telah menerbitkan banyak filem-filem tempatan dan antarabangsa Jinx, Tebus, Surat Kecil Untuk Tuhan, Guardian, dan The Witness. Menariknya, kebanyakan filem-filem yang diterbitkan oleh Skylar Pictures ini turut dipasarkan di luar negara seperti Filipina, Jepun dan Amerika Syarikat. Selepas filem Roh Yang Tak Terlihat, syarikat berkenaan akan tampil dengan sebuah filem tentang Super Hero wanita berjudul Valentine.