in ,

Sinopsis Klip 3G, Sesuatu Yang Tertinggal dan Penunggu Istana

Primeworks Studios Lancar Program Layar Baru

Pada 14 Disember 2010 lalu, hari Selasa, jam 3 petang, Budiey sempat menghadirkan diri di Sidang Media & Pelancaran program ”Layar Baru”, satu majlis yang diadakan khas untuk memperkenalkan tiga pengarah baru yang baru sahaja siap menghasilkan tiga buah filem terbitan Primeworks Studios yang bakal menemui anda di pawagam pada tahun 2011.

3 PENGARAH GBSB

Tiga filem itu ialah Klip 3GP, Sesuatu Yang Tertinggal dan Penunggu Istana.

Pertamanya adalah sebuah filem yang dirumus khas untuk tatapan remaja dengan mesej yang berkesan. “KLIP 3GP” yang ditulis oleh Sofea Aliza di bawah arahan Aidilfitri Yunos. Kedua dan ketiganya adalah filem yang bergenre seram di mana pendekatann yang digunakan adalah sangat berbeza dari filem-filem seram sebelum ini.

“ADA SESUATU YANG TERTINGGAL” tajuk ceritanya, mempertaruhkan sebuah karya berunsurkan rasukan dan histeria hasil tulisan Eenas Mokhtar dan diarahkan oleh Asrulhisyam Ahmad atau Black.

Seterusnya filem bertajuk “PENUNGGU ISTANA” menyingkap misteri sebuah tinggalan Istana lama di Perak, di mana ia lebih berasaskan sebuah dokumentari. Menariknya, pengarah projek dan penulisnya adalah orang yang sama iaitu Wan Hasliza.

Berikut ini, Budiey siarkan dulu sinopsis kesemua filem yang akan ditayangkan pada tahun depan.

Klip_3GP

FILEM: 3GP
Arahan: Aidil Fitri
Penulis Skrip: Sofea Aliza
Pelakon: Zahiril Adzim, Mimie (One Nation Emcee), Fikhree Abu Bakar, Adeline Anthony, Amanda Misbun, Sara Ali.
Sinopsis:
Filem 3GP menggabungkan 4 penceritaan yang mempunyai kisah yang tersendiri:
– Eddie mengecapi kejayaan perniagaan internetnya pada usia seawal 20-an. Jejaka yang memiliki segala-galanya ini – tampan, hidup mewah dan juga teman wanita sekeliling pinggang tapi tiada sesiapa menduga bahawa dia sebenarnya meraih keuntungan melalui perniagaan membeli dan menjual klip-klip pornografi dan sensasi melalui internet.

– Maya Akhtar, seorang jurnalis yang komited terhadap kerjayanya menjadi mangsa ugutan Sunny yang memiliki rakaman video hubungan sulit mereka. Lebih mengejutkan, isteri Sunny, Rita turut bersekongkol. Inilah cara mereka membuat duit dengan memperdaya wanita untuk tidur dengan Sunny dan memeras ugut mereka kemudiannya.

– Suria, Mina dan Zakiah adalah tiga gadis remaja yang dalam perjalanan untuk mencari hiburan hujung minggu di Kuala Lumpur. Tanpa disangka, malam itu menjadi satu peristiwa yang menyeramkan apabila mereka diburu oleh satu makhluk yang mengerikan.

– Sandra adalah seorang pelajar yang menjadi mangsa deraan seksual oleh Jefri. Suatu hari, Sandra telah diperkosa beramai-ramai oleh satu geng motorsikal yang dianggotai oleh Jefri dan abang kandung Sandra sendiri iaitu Burn. Kejadian perkosaan itu telah dirakamkan oleh geng itu melalui kamera telefon bimbit Jefri.
Kehidupan watak-watak yang berbeza ini akhirnya bersulaman dan berkait melalui pembocoran klip-klip 3gp mereka kepada masyarakat melalui internet dan dunia mereka bertembung dalam satu kemuncak yang dramatik.

Full page photo print

FILEM: SESUATU YANG TERTINGGAL
Arahan: Black
Penulis Skrip: Ienas Mokhtar
Pelakon: Zahiril Adzim, Sara Ali, Nur Syahirah Aiyob, Ainur Syakina Azman, Daniel El Arash.

Sinopsis:
Filem seram ini mengisahkan enam orang penghuni rumah anak yatim, Arshad (16), Mona (15), Zakiah (15), Ashraf (11), Daud (10) dan Murni (9) yang melalui satu pengalaman yang menghantui mereka ketika menetap di sebuah rumah lama.

Cerita bermula apabila mereka dan penghuni-penghuni Rumah Anak Yatim Setia harus berpindah ke sebuah rumah yang telah diwakafkan oleh seorang lelaki. Rumah itu adalah milik arwah datuknya. Sebuah almari antik telah dijumpai oleh anak-anak yatim tersebut semasa proses pembersihan dan mereka mengambil keputusan untuk mengalihkan almari itu ke bilik yang lain.

Semasa mereka memindahkan almari tersebut, ia tergelincir dan menyebabkan lantai kayu usang terkopak. Arshad menjumpai sebuah cermin muka tua melalui celahan bahagian yang terkopak dan menghadiahkan kepada Mona tanpa mengetahui bahawa cermin itu bakal menjerumuskan mereka ke ambang kemisterian.
Mona berubah sikap.

Bella, pelajar yang sering memperlekehkan Mona di sekolah dan seorang pengawas sekolah yang menyukai Mona telah dikejutkan dengan peristiwa ngeri yang menimpa mereka. Daud pula cuba meyakinkan Arshad bahawa Mona telah dirasuk melalui penelitiannya terhadap komik-komik seramnya. Akhirnya mereka merancang sesuatu untuk memerangkap kuasa yang telah mendampingi Mona.

Berjayakah mereka? Apakah sebenarnya yang mengganggu hidup Mona? Adakah cermin lama dan almari antik yang berada di dalam rumah lama itu saling bersangkut paut?

Microsoft PowerPoint - pengu1.ppt

FILEM: PENUNGGU ISTANA
Arahan: Wan Hasliza
Penulis Skrip: Wan Hasliza
Pelakon: Sara Ali, Nadzirah Ahmad Nadzri, Nor Zafirah Abd. Rahim, Mustaqim Mohamed Zaki, Amar Asyraf dan Kumpulan SEEKERS.

Sinopsis:
Penunggu Istana adalah sebuah dokumentari yang mengikuti sebuah kumpulan paranormal iaitu “The Seekers Team” yang cuba menjejaki misteri yang terdapat di dalam Istana Bilah, istana tua yang terbiar di Perak.

Pada Feb 2009, krew sebuah TV produksi yang menjalani penggambaran untuk siri drama ‘Warkah Terakhir’ telah mengalami satu pengalaman yang ngeri dan dasyat. Mendengar cerita ini, kumpulan Seekers membuat keputusan untuk kembali ke tempat misteri tersebut bagi menyiasat perkara sebenarnya yang telah berlaku dan bekerjasama dengan Wan Hasliza (pengarah ‘Warkah Terakhir’).

Mereka bermalam di istana yang sunyi dan menyeramkan itu selama 7 hari berturut-turut dengan harapan dapat menemui bukti-bukti kewujudan kuasa misteri. Segala tindakbalas atau perkara yang berlaku semasa penyiasatan ini dirakamkan sendiri oleh Wan Hasliza.

Sesetengah kejadian yang berlaku boleh diklasifikasikan sebagai gangguan biasa seperti keadaan istana yang sudah begitu usang menghasilkan gema yang menyeramkan atau bunyi angin melalui atap bumbung yang sudah rosak. Tetapi mereka akhirnya menyedari bahawa mereka tidak berseorangan malah ditemani oleh ‘penghuni-penghuni’ yang telah menetap di istana itu – sejak hari pertama lagi mereka di situ.

Melalui temubual, kamera-kamera yang digunakan dalam penyiasatan dan alat-alat khas yang lain, terdapat imej-imej yang ganjil dan menyeramkan telah ditemui disebalik misteri tinggalan istana lama ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Jom Menonton Filem Gulliver’s Travels

TAMBAH BILANGAN PEMBACA BLOG ANDA DENGAN NOKIA OVI APPS