in , ,

Sinopsis Filem Kala Malam Bulan Mengambang Arahan Mamat Khalid

Budiey setuju sangat dengan usaha pengarah yang mahu membuat kelainan dalam filem arahan mereka.

Jarang kita jumpa pengarah yang mahu mencuba genre yang lebih unik dan lain dari yang lain. Asyik sangat kita tengok filem cinta yang terlalu tipikal dan super streotype. Saya memuji usaha Mamat Khalid dalam filem terbarunya, Kala Malam Bulan Mengambang yang menggunakan noir sebagai latar dan konsep. Di tengah-tengah zaman yang mengagungkan penggunaan CGI (Imej Janaan Komputer), Mamat Khalid ingin kembali ke zaman hitam putih. Selain mahu generasi baru menghargai filem-filem noir, filem Kala Malam Bulan Mengambang bakal mengembalikan nostalgia bagi golongan lama.

Antara para pelakon Kala Malam Bulan Mengambang terbitan Tayangan Unggul ini adalah Rosyam Nor, Umie Aida, Farid Kamil, Corrine Adrienne, David Teo, Avaa Vanja dan Kuswadinata. 

SINOPSIS FILEM KALA BULAN MENGAMBANG

Demi cinta Saleh sanggup buat apa sahaja, walaupun mengurung cintanya itu.

“Kala Malam Bulan Mengambang’ sebuah filem komedi hitam putih mengisahkan Saleh, seorang wartawan berupaya merungkai sebuah misteri di pekan Senduduk Rimbun. Setiap purnama pasti sekurang-kurangnya seorang jejaka akan hilang tanpa khabar berita. Misteri bermula apabila tayar kereta Saleh ditusuk sesuatu yang menyerupai rangka tangan sedang memegang ukiran lama berbentuk keris. Tayar kereta yang rosak menyebabkan Saleh terpaksa bermalam di Senduduk Rimbun. Saleh menghantar keretanya di bengkel milik Jongkidin. Ketika di situ, Saleh terpandang seorang gadis jelita. Saleh kemudiannya berjalan-jalan mengelilingi pekan. Saleh mendapati penduduk pekan itu seakan-akan menghalaunya dari situ. Semakin lama Saleh di situ, semakin banyak benda misteri berlaku. Ada orang tangan merah! Ada pontianak! Naluri kewartawanannya menyebabkan Saleh mahu menyelesaikan misteri tersebut. Saleh ke Jubilee Park Cabaret mencari maklumat. Di sana, dia bertemu dengan Doreen Chua (tauke Jubilee Park Cabaret) dan Miss Rogayah (penyanyi kelab malam). Melalui Miss Rogayah, Saleh mengetahui bahawa kehilangan jejaka-jejaka tersebut angkara pontianak. Tetapi masih belum berpuas hati.

Kereta Saleh sudah siap dibaiki. Jongkidin mahu Saleh mengambil kunci keretanya di sebuah padang lumba kuda. Malangnya ketika di padang lumba kuda, Saleh dipukul dan diletakkan ke dalam keretapi untuk dihantar pulang. Setelah sedar, Saleh nekad dan kembali semula ke Senduduk Rimbun. Saleh mencari Jongkidin, tetapi tidak ditemui. Yang ada hanyalah gadis jelita tempohari, iaitu Cik Putih. Cik Putih memberitahu Saleh, Jongkidin adalah abang kandungnya.

Saleh sekali lagi pergi ke Jubilee Park Cabaret. Kali ini dia mendapat maklumat baru. Ramai orang hilang berdekatan dengan sebuah banglo lama di pekan itu. Saleh kemudiannya beberapa kali ke banglo itu untuk menyiasat. Malang sekali lagi bagi Saleh apabila beliau ditawan oleh komunis, iaitu orang tangan merah. Ketika dalam tawanan, Saleh cuba dipukau untuk menyertai Parti Komunis tersebut bersama dengan beberapa orang lelaki, antaranya Jongkidin dan Joki Ismadi. Tetapi kegiatan itu dapat dihidu dan diserbu oleh pihak berkuasa. Rupa-rupanya orang-orang yang Saleh temui di Jubilee Park Cabaret adalah agen-agen perisikan Kerajaan. Tujuan mereka adalah untuk menghapuskan Parti Komunis tersebut.

Tetapi misteri Senduduk Rimbun belum selesai. Muncul seorang Profesor Sejarah (Dr. Rusdi) mahukan rangka keris yang ada pada Saleh. Tetapi keris itu telah dicuri oleh satu lembaga…. Mereka berdua ke banglo lama itu untuk merungkai satu lagi misteri. Dr. Rusdi menceritakan yang keris itu berkuasa untuk mengembalikan kuasa-kuasa alam jahat yang sekian lama terkunci. Jongkidin dan Cik Putih adalah keturunan kuasa jahat tersebut. Mereka mahu mengembalikan kuasa mereka. Tetapi masalahnya sekarang, Cik Putih sudah jatuh cinta dengan Saleh. Cik Putih perlu membuat pilihan samada menyertai abangnya menjadi hantu buat selama-lamanya atau mengikut Saleh, cinta hatinya. Waktu sudah terlambat kerana Cik Putih disinari cahaya bulan mengambang dan perlahan-lahan bertukar menjadi jembalang. Namun cinta itu buta, apabila Saleh masih sudi menerima Cik Putih, biarpun rupanya hodoh sebagai jembalang.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gossip Aida Aris Cinta Zul Handy Black

Music is Magic: Tema AJL22 Yang Luar Biasa?