Bersempena dengan sambutan Hari Guru yang akan diraikan oleh seluruh warga pendidik di Malaysia pada 16 Mei 2024, Tanah Merah Ventures Sdn. Bhd. dan KalamAriff Holdings Sdn. Bhd. tampil dengan sebuah filem berjudul MEMOIR SEORANG GURU.
Bukan sekadar naskhah biasa, filem ini juga adalah adaptasi daripada novel dengan judul yang sama hasil karya penulis popular, Allahyarham Azizi Haji Abdullah yang juga bekas seorang guru dan penerima Anugerah Penulis S.E.A. 1988 mewakili Malaysia.
Penerbitnya, Datuk Arisz Ab. Rahman berkata, pihaknya berminat untuk mengadaptasi novel berkenaan ke sebuah filem kerana karya Allahyarham itu cukup istimewa dan pernah menjadi bahan sastera pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) suatu ketika dahulu.
“Kami akui sudah banyak filem kisah guru dan pelajar diterbitkan, namun Memoir Seorang Guru ini mempunyai kelainan kerana ia bukan sahaja menceritakan tentang hubungan anak murid dan guru sahaja. Airmata akan mengalir tanpa disedari apabila mengikuti kisah Sunan sebagai guru dan penerimaan anak-anak muridnya terhadap beliau. Apabila Sunan ingin mula berubah, pelbagai kejadian menyedihkan berlaku menyebabkan dia bersara awal.
“la mengangkat mesej-mesej positif seperti nilai kasih sayang, mengenang budi dan kejayaan, kegagalan, penyesalan dan kisahnya begitu dekat dengan sesiapa sahaja yang pernah bergelar guru dan anak murid. Malah, penulis novel ini juga bekas seorang guru dan ia banyak mempengaruhi kisah dalam karya tersebut,” ujarnya.
Memoir Seorang Guru arahan Kyoll Hamzah mengisahkan tentang seorang guru bandar, Cikgu Sunan yang telah ditukarkan ke sebuah sekolah di pedalaman dan ditugaskan menjadi guru kelas di kelas paling corot.
Menariknya, Datuk Rosyam Noor telah diberi peranan utama sebagai Cikgu Sunan dan turut menampilkan barisan pelakon kanak-kanak serta pelakon popular lain seperti Nabila Huda, Johan As’ari, Zul Huzaimi, Hariz Hamdan dan Trisha Ooi.
Menurut Arisz, lebih istimewa lagi filem berkenaan juga mendapat kerjasama daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).
“Setakat ini YGMB yang mempunyai keahlian beratus ribu daripada kalangan guru-guru yang kami lihat mereka mampu memainkan peranan membantu mempromosikan filem ini ke sekolah-sekolah.
“Selain itu, mereka boleh menyarankan kepada guru-guru yang lain agar mengajak anak-anak murid menonton filem ini di pawagam nanti yang secara kebetulan ia ditayangkan dalam suasana semua pelajar merayakan sambutan Hari Guru,” ujarnya.
Sementara itu, Kyoll Hamzah berkata, dia bersetuju untuk mengarahkan filem Memoir Seorang Guru kerana melihat ia adalah sebuah naskhah yang sangat menarik apabila diadaptasi menjadi sebuah filem.
Ujarnya yang sebelum ini banyak mengarah drama, dia sendiri yang meminta kepada penerbit untuk memilih Rosyam memegang watak utama sebagai Cikgu Sunan.
“Apabila diberi peranan sebagai pengarah, saya terus mengusulkan supaya Rosyam diberi watak tersebut kerana melihat kriteria watak ‘Cikgu Sunan’ ini adalah dirinya.
“Lagipun Rosyam sendiri belum pernah lagi membawakan watak sebegini dalam mana-mana filem dan pastinya ia amat dinantikan penonton,” ujarnya.
Jelasnya, pemilihan pelakon-pelakon lain juga dibuat atas perbincangan bersama penerbit, malah mereka turut menjalankan sesi uji bakat untuk pelakon kanak-kanak di mana kelas lakonan kanak-kanak dikendalikan oleh pelakon ternama Elly Suriaty.
Menjalani penggambaran pada Disember tahun lalu di beberapa buah lokasi seperti Perlis, Kuala Kangsar dan Kuala Lumpur, pengarah itu mengakui berhadapan dengan beberapa cabaran.
Menurutnya, antara cabaran yang terpaksa ditempuhi adalah memilih lokasi yang terbaik serta keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Untuk menghasilkan filem ini tidak terlalu sukar, namun cabarannya tetap ada. Misalnya apabila membabitkan pelakon kanak-kanak dan kami telah menganjurkan sesi kelas lakonan untuk mereka bagi menghayati watak masing-masing,” ujarnya.
Pada masa sama, Kyoll meletakkan harapan yang cukup besar memandangkan Memoir Seorang Guru adalah filem pertama arahannya.
Memoir Seorang Guru bakal menemui penonton apabila ia mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Mei 2024.
SINOPSIS FILEM MEMOIR SEORANG GURU
Mengisahkan seorang guru panas baran berusia 40-an, Cikgu Sunan telah ditukarkan untuk mengajar di sebuah sekolah di pedalaman. Dia yang juga seorang duda kematian isteri telah membawa bersama anak perempuannya, Kamariah untuk belajar di sekolah berkenaan.
Lebih mencabar, guru besar telah memberinya tugas menjadi guru kelas di kelas paling corot dan tugas paling utamanya adalah untuk memastikan kelasnya itu mencatat keputusan UPSR lebih baik berbanding sebelumnya. Pada masa sama, terdapat tiga orang pelajar di kelasnya iaitu Alias, Midun dan Mat yang tidak menyukai Cikgu Sunan dan menganggap guru kelas mereka itu seorang cikgu bandar yang berlagak.
Namun Sunan yang mula berubah dalam melayan anak muridnya tetapi berlaku pelbagai peristiwa menyedihkannya dan menginsafkannya.