Sebuah kisah berbentuk komedi mengenai Harley Rider. Empat rider dari geng KASSEM SELAMAT merancang untuk bercuti di Cowboy Town bagi meraikan kemenangan Abang Pen di pertandingan “motor-cross†baru-baru ini.
Keesokan harinya, Motor Harley-Davidson Abang Pen telah hilang. Dengan perasaan marah yang meluap-luap dia bertekad untuk mencari sendiri pencuri dan motornya. Maka dia tidak melaporkan perkara ini pada pihak polis. Atas dasar persahabatan, rakan-rakan yang lain turut membantu dalam misi pencarian ini.
Maka, bermulalah pengembaraan mereka mencari motor Abang Pen yang hilang. Seorang demi seorang mereka jumpa dan bertanyakan tentang motor tersebut. Jawapan setiap seorang membawa mereka kepada seorang lagi. Akhirnya mereka letih dan bermalam di sebuah tempat yang terpencil untuk hari itu. Tanpa mereka sedari, pencuri itu pun bermalam di sana.
Pagi keesokannya, mereka memulakan kembali misi pencarian motor Abang Pen. Satu demi satu masalah mereka tempuhi. Dalam perjalanan mereka pelbagai pengalaman pelik, lucu dan ngeri telah mereka tempuhi. Setiap seorang yang mereka jumpa mengatakan mereka baru sahaja melihat motor itu yang sering berada selangkah ke hadapan daripada geng Kassem Selamat. Mereka juga telah berdepan dengan pengalaman menyeramkan apabila dikejar oleh kereta Volkswagen lama yang tidak mempunyai pemandu, bertemu dengan gadis-gadis cantik di kawasan sunyi yang akhirnya membawa mereka ke tanah perkuburan mahupun rumah yang jauh terpencil di dalam hutan.
Akhirnya mereka mengalah dan berpatah balik ke chalet di Cowboy Town. Alangkah terkejutnya mereka apabila melihatkan motor Abang Pen elok terletak di hadapan chalet mereka. Lebih memeranjatkan lagi kerana motor Abang Pen tidak berganjak walaupun satu inci. Enjin motornya pun masih sejuk seolah-olah tidak berjalan. Abang Pen mengambil telefon bimbitnya di mana dia merekodkan perjalanan motornya itu. Dia hairan melihat rekod terakhirnya sama seperti rekod di motor itu sekarang. Ini bermakna motor Abang Pen tidak pernah disentuh, tidak bergerak dan ada di situ saja.
Mereka runsing, siapakah pencuri yang mereka kejar? Adakah mereka bermimpi? Tetapi perjalanan mereka dan orang-orang yang mereka jumpa adalah benar. Ini menimbulkan keraguan pada mereka bahawa adakah selama ini motor itu dicuri hantu?