Bulan Ogos ini, filem arahan Raja Ahmad Alaudin, KAYANGAN akan memasuki pawagam. Beza filem Kayangan dengan arahannya sebelum ini seperti Hati Bukan Kristal, Sempadan Kasih, Qaisy & Laila serta Miftahul Jamilah adalah filem Kayangan ini lebih ringan iaitu komedi romantik.
Bukan senang untuk membuat penonton ketawa. Namun, dengan plot yang menarik ala Hindustandan, lawak yang tidak slapstik, pengarah prolifik ini yakin filem Kayangan akan mendapat sambutan. Kayangan merupakan ‘kelahiran’ sulung Raden Pictures milik Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Ibni Tuanku Jaafar. Lokasi pengambaran dibuat di Negeri Sembilan dan menggunakan loghat daerah.
Selain pelakon sinetron Indonesia, Teuku Zacky filem Kayangan ini juga mempertaruhkan bakat Nur Fazura, Eja, Nazril Idrus, Dynaz, Bienda, Puan Sri Ziela Jalil, Jalil Hamid, Dee, Opie Zami, Louisa Chong dan Mustafa Kamal. Teuku Zacky adalah bintang drama Perkahwinan Sedarah, Cowok-Cowok Keren dan Udin Pe-ak. Beliau pernah memenangi Pelakon Drama Lelaki Terbaik untuk Anugerah Televisyen Asia (ATA).
Filem yang menelan belanja RM1.4 juta ini mengutarakan tema cinta berlainan kasta, antara golongan kerabat diraja dengan orang kebanyakan.
Berdasarkan cerita asal oleh Tunku Datuk Seri Mimi Wahida Wahman, idea itu dikembangkan penulis skrip Wan Hasliza Wan Zainuddin dan Noor Baizura Baharuddin.
SINOPSIS KAYANGAN
Kayangan bermula apabila dua dunia menemukan seorang gadis desa bernama Maseira (Nur Fazura Sharifuddin) dan seorang putera raja bernama Tengku Amir (lakonan pelakon Indonesia, Teuku Zacky). Melalui satu kejadian di luar jangkaan, takdir menduga dua insan berlainan darjat dan kedudukan.
Maseira, seorang gadis kampung dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan merupakan graduan jurusan Sains Kemanusiaan. Sangat idealistik dan sinikal, dia lebih rela bekerja di bengkel ayahnya daripada menjadi mangsa kapitalisme. Sementara itu, Tengku Amir berasal dari golongan kerabat diraja. Berpangkat Ketua Pegawai Eksekutif untuk Regalia Sdn. Bhd., dia bukan saja tampan dan bijak, malah mempunyai kekasih yang rupawan iaitu Erina, seorang peragawati terkenal. Tengku Amir menerajui dunia karporat di Kuala Lumpur.
Akibat cuai ketika memandu, Tengku Amir berjumpa dengan Maseira secara tidak sengaja. Maseira didedahkan dengan dunia metropolitan yang serba mencabar apabila menerima tawaran bekerja di syarikat keluarga Tengku Amir.
Pertemuan pertama itu bagaimanapun menimbulkan suasana yang tegang kerana perselisihan pendapat dan latar belakang kehidupan yang berbeza.
Walaupun bibit-bibit cinta mula menular, tetapi Tengku Amir dan Maseira terpaksa memendam perasaan tetapi kerana apa? Adakah taraf kehidupan menjadi satu halangan? Atau mampukah cinta membawa ke ‘sana’?
Menjanjikan sebuah sketsa percintaan yang diuji tragedi dan kesedihan, serta adegan lucu yang menghiburkan, Kayangan akan menguja imaginasi penonton. Terbanglah ke alam Kayangan bermula Ogos 2007 di pawagam-pawagam terdekat anda!