Tajuk filem ini sendiri memberi sesuatu mesej kepada manusia bahawa untuk hidup, kekadang kita terlupa dengan sejarah yang telah kita lalui. Kata ahli sejarah, kalau mahu mengenal diri, belajarlah melalui sejarah. Kalau mahu mencari jalur sinar bahagia di masa depan, belajarlah menilai sejarah.
Filem Jangan Pandang Belakang mungkin mahu menceritakan kepada penonton, gambaran sebenar apabila yang mati bertemu dengan yang hidup.
Persepsi Awal Budiey
Dari lain sudut, kehidupan yang ‘mati’ dikaitkan dengan sekeping jiwa yang sudah tidak mempunyai ‘nyawa’. Jiwa yang mati sukar untuk menemui jalan kehidupan yang sejahtera. Seterusnya, hidup akan jadi kacau bilau setelah diporak-perandakan oleh jiwa-jiwa yang sudah mati. Maaf, andanya bahasa digunakan agak sukar difahami.
Jangan Pandang Belakang seolah melarang kita mengimbas kembali sejarah-sejarah yang telah berlaku. Namun, kalau difikirkan untuk terus cemerlang meniti kehidupan, apa salahnya sekali sekala kita menoleh ke belakang.
Walaupun perit untuk menoleh ke belakang, namun itulah ubat yang mujarab bagi jiwa yang sedang mati.
Dari sudut yang lain, filem ini sebenarnya mempunyai interpretasi tersendiri ketika kita melalui tempat-tempat yang menyeramkan. Contohnya, saya dulu pernah melalui jalan-jalan yang sunyi setiap kali pulang dari mengaji Quran setiap malam.
Biasanya, bulu roma akan meremang dan berdiri menandakan ada sesuatu di belakang kita… dan nasihat orang tua… jangan pandang belakang. Berjalanlah terus ke depan. Jangan hiraukan gangguan dari belakang.
Saya terasa teruja untuk menonton filem ini kerana jalan ceritanya agak unik. Selain daripada watak Darma yang dipegang oleh Pierre Andre di mana ini adalah filem seram pertama lakonan beliau.
Sinopsis Filem Jangan Pandang Belakang:
Kisah misteri yang cukup menyeramkan ini mengisahkan seorang pemuda bernama Darma (Pierre Andre) yang cuba mencari kepastian tentang sebab kematian tunangnya, Rose (Intan Ladynana). Rose telah didapati mati tanpa diketahui punca sebenar. Darma bersama adik kembar Rose bernama Seri (juga lakonan Intan Ladyana) yang cukup mengenali keperibadian Rose cuba mencari jawapannya. Rose yang mereka kenali adalah seorang yang periang dan ceria.
Mereka telah pergi ke rumah Rose untuk memulakan siasatan dan di sana Darma telah menemui sebiji botol. Darma mengambilnya dan membawa pulang botol tersebut. Darma dan Seri mengesyaki sesuatu perkara yang pelik dan aneh berlaku di sebalik kematian Rose. Ramalan mereka dikukuhkan dengan beberapa perkara yang berlaku dan ditemui termasuk imej pada kamera digital Rose yang mereka temui.
Selepas itu, hidup Darma tidak lagi tenteram. Setiap hari dia diganggu oleh ‘sesuatu’ dengan gangguan yang amat dahsyat. Pelbagai peristiwa pelik dan menyeramkan berlaku ke atas Darma. Hidup Darma berubah kepada seorang yang tidak terurus dan menjejaskan prestasi kerjanya.
Mendengar nasihat Daim (Jalaluddin Hassan) iaitu bos di tempat kerjanya, Darma mengambil cuti selama seminggu untuk menenangkan jiwanya. Peluang itu digunakan oleh Darma untuk berubat di kampung. Di sana, Darma meminta pertolongan ibu saudaranya iaitu Mak Lang (Khatijah Tan). Mak Lang tinggal di kampung bersama anaknya, Lin (Rio Elani) dan ibunya yang juga Opah kepada Darma (Rusminah Sidek) yang sudah nyanyok.
Di kampung, Darma semakin hampir menemui punca kematian Rose tetapi dia dikejutkan dengan satu perkara yang susah untuk diterima oleh akalnya mahu pun Seri. Apakah perkara tersebut dan mampukah Darma keluar dari belengu yang menganggu hidupnya setiap hari?
Segalanya akan terjawab dalam filem ini. Kepada anda semua, walau apapun yang terjadi, sesekali pun JANGAN PANDANG BELAKANG kerana apabila yang mati bertemu yang hidup, segala kemungkinan pasti berlaku!
Info Filem Jangan Pandang Belakang:
1. Filem ini akan menemui penonton di pawagam pada 4 April. Namun, promosi filem ini dibuat 2 bulan sebelum itu.
2. Ramai penggemar filem tertanya-tanya tentang filem ini. termasuklah pengurus panggung yang menganggap filem arahan Ahmad Idham ini sebuah filem seram yang menarik. unik dan menghiburkan berbanding filem seram tempatan lain yang sering menemui penonton.
3. Pengurusan Metrowealth Movies Production (MMP) yang menerbitkan filem itu sudah mengeluarkan kos tambahan untuk membuat sari kata berbahasa Cina dan Inggeris dalam usaha mereka untuk menarik penonton daripada semua kaum.
4. Jangan Pandang Belakang filem ketiga arahan Ahmad Idham bersama MMP, membariskan pelakon seperti Mohd Pierre Andre, Intan Ladyana, Ruminah Sidek, Rio Elani, Khatijah Tan dan Hafizuddin Fadzil.
Nantikan filem Jangan Pandang Belakang yang ditayangkan pada 5 April 2007. Lambat lagi kan?
Mesti Baca: Jangan Pandang Belakang – Apabila Yang Mati Bertemu Yang Hidup