Menerusi filem tersebut juga kita dapat melihat betapa tingginya semangat jati diri kaum Melayu ketika itu. Penduduk Malaya yang inginkan kemerdekaan daripada British sanggup melucutkan barang kemas dan wang ringgit semata-mata untuk diberikan kepada Tunku sebagai perbelanjaan ke London. Senario itu ditunjukkan sewaktu Tunku berucap menjelaskan yang dia dan rakan-rakan kekurangan perbelanjaan untuk menuntut kemerdekaan di London. Kamarulzaman Taib yang memegang watak Tunku berjaya menggamit perhatian penonton. Lakonannya cukup berkesan dan begitu juga dengan watak Onn Jaafar yang diterajui oleh Zaefrul Nadzarine.
Filem arahan Shuhaimi Baba ini yang menampilkan pelakon seperti Rusdi Ramli, Maya Karin, Adlin Aman Ramli, Sharifah Amani, Kavita Sidhu, Nanu Baharuddin, Ida Nerina dan Douglas Lim itu turut menayangkan filem-filem lama yang mengimbau sejarah kemerdekaan negara.
Sinopsis 1957: HATI MALAYA
Semangat Merdeka – Ingatilah panorama penjuang bangsa yang telah memerdekakan kita dari penjajahan. Hari ini, kita harus pertahankan dan kekalkan negara yang diwarisi – dengan berpegang kepada intergriti Negara, kita punya tanggungjawab bersama untuk pastikan kehidupan lebih baik untuk setiap rakyat Malaysia. Kita harus membalas budi mereka dengan kekal bersatu dikukuhkan dengan bahasa kebangsaan dan warisan kita.
Hali, Salmi, Rafik, Ani dan Ang Lee, mewakili generasi muda Malaysia yang dating dari latarbelakang dan pemikiran berbeza, berusaha untuk menerbitkan sebuah buku bergambar ‘1957 – Hati Malaya’. Dalam pencarian itu, mereka menemui pencintaan, persahabatan, kesetiaan dan memahami perjuangan 1957.
Mereka betul-betul mendalami dan menjiwai karektor dan peristiwa yang begitu emosi dan membawa mereka pada era semangat rakyat tanah Melayu bangkit menuntut kemerdekaan – Rakyat biasa miskin dan mundur di era penjajahan British yang mahu menjadi bangsa kelas pertama di bumi mereka sendiri.
Mereka jatuh cinta dan bertemu cinta terhadap negara melangkaui perasaan emosi peribadi mereka. Watak kini menemui pengertian sebenar ‘pengorbanan’ dan ‘Merdeka”.
Filem memfokus kepada Tunku Abdul Rahman, pengasas kepada Kahayan Parti Perikatan, yang menjadi Perdana Menteri pertama Malaya pada tahun 1957, walaupun mendapat tentangan secara halus dari British yang mahu melambatkan kemerdekaan. Dan Datuk Onn Ja’afar, pengasas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang Berjaya membangkitkan semangat nasionalisme orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union yang dicadangkan oleh British pada tahun 1946.
Seringkali kita mendengar kata-kata yang mengatakan bahawa Malaysia sudah merdeka, namun masih dijajah. Persoalannya, apakah itu hakikatnya? Sejarah Malaysia, dapat diibaratkan seperti kehidupan seseorang. Ketika sudah mencapai kemuncaknya, namun adakah itu konotasi perjuangan sudah selesai?
Harus diakui lipatan sejarah menunjukkan Malaysia terbina atas roh dan semangat perpaduan serta sifat toleransi tinggi yang wujud dalam setiap warga Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu. Ditambah pula dengan penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia, sebuah negara Malaysia berdaulat berjaya dibentuk dan kita warisi hingga ke hari ini.
Dalam mengisi kemerdekaan dan mengekalkan perpaduan ini, peranan media menjadi signifikan. Kita menyaksikan pelbagai pementasan dan filem diketengahkan kepada masyarakat yang menjulang perjuangan menegakkan negara bangsa serta membawa kita kembali bertaut pada perpaduan yang semakin sunyi daripada masyarakat.
Filem Sarjan Hassan yang mengangkat perjuangan askar Melayu menentang penjajah, paparan filem Leftenan Adnan, menambahkan lagi semangat patriotisme dalam diri. 1957 Hati Malaya, Tanda Putera dan Kapsul mendokumentasikan perit jerih perjuangan pemimpin dalam menuntut kemerdekaan dan membawa hasrat anak watan untuk mewarisi negara berdaulat.
Mercu tanda perpaduan
Terbaru, filem Ola Bola menjadi mercu tanda yang dicipta melalui sukan bola sepak yang menyatupadukan seluruh negara ketika itu tanpa mengenal warna kulit, kaum dan asal-usul serta berdiri teguh di bawah bendera yang sama. Ola Bola, akhirnya cerita mengenai kita.
Filem inilah yang perlu dihasilkan setiap penerbit untuk mengisi kemerdekaan serta membina jati diri cintakan Malaysia kerana filem dan pementasan begitu rapat dengan anak muda.
Negara sudah lama mengimpikan perfileman seperti ini dihasilkan penggiat seni tanah air. Filem kita semakin ketandusan moral dan nilai. Namun, ada sebahagian filem dan tayangan pada hari ini hanya memenuhi kehendak kehidupan yang fana tanpa menghiraukan apa yang sebenarnya masyarakat perlukan.
Segelintir karya perfileman yang dihasilkan banyak mempengaruhi masyarakat, terutama golongan muda, seolah-olah mereka hidup dalam dunia khayalan semata-mata tanpa berpijak di bumi realiti. Paparan cerita mengenai percintaan kaya dan miskin, konflik rumah tangga pasangan muda, cerita cinta yang tiada kesudahan serta pelbagai hikayat kayangan yang diolah moden menepati kehendak penonton, sudah tidak relevan.
Ini sedikit sebanyak menghasilkan generasi yang dihinggapi Fairy Tale Syndrome atau dikenali sindrom dongengan. Fairy Tale Syndrome boleh diklasifikasikan kepada dua keadaan, iaitu Cinderella Complex dan Peterpan Syndorome. Peterpan Syndrome dikaitkan dengan sifat golongan yang tidak matang dan sentiasa inginkan hiburan dalam hidupnya.
Semuanya dianggap permainan dan tidak serius. Cinderella Complex pula diertikan sebagai sifat yang tidak boleh berdikari dan sentiasa mengharapkan agar suatu hari nanti seorang putera idaman akan menyelamatkannya sehingga menjadikan dia seorang yang lemah dan tidak punya jati diri. Islam juga menganjurkan supaya setiap penganutnya punya jati diri serta kecintaan yang tinggi terhadap negara watan.
Kekal jiwa merdeka
Justeru, dalam usaha merealisasikan semangat perpaduan yang lebih utuh dan mantap, karyawan dan seniman seharusnya mengambil inisiatif memperbanyakkan lagi filem yang mampu membina jiwa bangsa dan semangat patriotisme dalam diri setiap penontonnya. Biar seni yang dipersembahkan menjadi karya agung yang diulang-ulang setiap zaman. Sebuah karya yang mampu mencipta fenomena dalam mengekalkan roh dan semangat jiwa merdeka.
Karya yang dihasilkan seharusnya mempunyai nilai mendidik masyarakat mengenai ke mana seharusnya mereka berada, bukannya memenuhi kehendak mereka secara total dan menenggelamkan mereka dalam kehidupan dongengan ciptaan mereka. Juga disarankan agar setiap kepemimpinan mahasiswa institusi pengajian tinggi baik awam mahupun swasta, menganjurkan aktiviti yang mampu meningkatkan semangat patriotisme dalam diri setiap warga di institusi itu.
Pihak kerajaan sepatutnya mewujudkan garis panduan etika penerbitan filem yang fokusnya menggalakkan penerbitan filem bersifat kenegaraan dan memiliki nilai moral tinggi. Ganjaran dan insentif harus diberikan kepada penerbit yang menerbitkan filem patriotik. Semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam menerapkan nilai kecintaan terhadap pertiwi.
Malaysia yang genap 59 tahun merdeka, menjadi saksi jatuh bangun negara dalam mencorak warna kebangsaan. Namun, perjuangan ini belum selesai, kerana bangsa ini sejak dahulu telah pincang melangkah, pada saat bertingkahnya janji Jebat dan setia Tuah.
Maka gerak perlu diatur, langkah perlu disusun, biar bangun negara watan, biar mekar bunga bangsa. Cukup Fathul Mekah menjadi suri teladan, bukti utuh pembebasan jiwa menuju Tuhan. Lebur kalungan taghut, hancur rencana kezaliman. Moga Malaysia kekal Merdeka. Pertahankan negara jadi bekalan masa hadapan.
‘Biar Retak Kota Melaka, Jangan Tergadai Negara Bangsa’. Penulis berharap agar puncak perpaduan yang dicapai pada 16 September 1963, mampu dikekalkan selama-lamanya agar kita menjadi contoh negara terbilang, bukti kesatuan bangsa. Selamat menyambut Hari Malaysia.