Sempena Perayaan Deepavali 2013, PETRONAS akan membawa rakyat Malaysia menyelami dengan lebih mendalam aspek-aspek dalam perayaan Deepavali yang disambut setiap tahun di negara ini.
Tahun ini, PETRONAS menghasilkan video web yang terdiri daripada empat episod merakamkan kehidupan masyarakat Malaysia yang menyambut Deepavali sekaligus memaparkan kemeriahan serta makna keakraban dari perayaan yang kaya dengan nilai-nilai tradisi ini.
“Deepavali adalah satu perayaan bagi meraikan kemenangan atas terhapusnya kejahatan oleh kebaikan. Dengan siri terbaru video web ini, PETRONAS berharap dapat meningkatkan kefahaman mengenai makna perayaan ini, dan pada masa yang sama mengeratkan hubungan di kalangan rakyat Malaysia,” kata Anita Azrina Abdul Aziz, Pemangku Ketua, Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan PETRONAS.
Lima hos telah dipilih untuk menjayakan siri video web ini iaitu, penyampai radio popular, DJ Aanantha bersama-sama dengan abangnya, DJ Ram; penyanyi hip hop Altimet; pengacara televisyen, Megan Tan; dan juara Astro Vaanavil Superstar, Alinda. Mereka akan menjadi hos dalam episod yang berbeza dan akan berkongsi makna di sebalik perayaan Deepavali dari pelbagai perspektif.
Penonton akan dapat menyaksikan pembuatan pelita di Parit Buntar, Perak dan juga upacara menyalakan pelita dan upacara mandi minyak bijan.
Rancangan ini juga akan memaparkan proses menyiapkan hiasan kolam iaitu lakaran hiasan yang dibuat di atas lantai dan makna di sebaliknya serta proses menyiapkan makanan vegetarian.
Selain daripada melawat kuil-kuil, hos-hos rancangan ini juga akan menyertai sebuah keluarga di Pulau Pinang dalam menyediakan rempah kari serta membuat manisan tradisional seperti athirasam dan kal urundai.
Episod-episod web ini dapat ditonton di laman YouTube rasmi PETRONAS bermula dari 12 November di .
Sinopsis Episod Rancangan Web Deepavali PETRONAS
Episod 1: Kisah Deepavali
Perjalanan rancangan ini bermula dengan DJ Aanantha melawat kuil-kuil terkenal di Seremban dan Pulau Pinang. Di Pulau Pinang, DJ Aanantha bersama Alinda membeli-belah di Little India yang menawarkan pelbagai kain sari yang beraneka warna. Mereka juga melawat kilang membuat manisan tradisional.
Episod 2: Budaya dan Tradisi
DJ Aanantha bersama artis hip hop tanahair, Altimet melawat kilang pembuatan pelita di Parit Buntar, Perak. Mereka juga melawat sebuah keluarga di Seremban untuk melihat penyediaan sambutan Deepavali termasuk menghiaskan rumah dan juga penggubahan kolam
Episod 3: Makanan Tradisional
Hari Perayaan di Malaysia tidak lengkap tanpa hidangan yang lazat. DJ Aanantha dan Megan akan menyertai aktiviti dua keluarga di Pulau Pinang dan Seremban dalam penyediaan hidangan lazat seperti manisan tradisional.
Episod 4: Hari Deepavali
DJ Aanantha dan DJ Ram menyertai Pesta Cahaya di KL dan turut bersama mereka adalah sebuah keluarga dari Sungai Petani, Kedah. Hari mereka bermula dengan upacara mandian minyak bijan, diikuti dengan sembahyang di kuil. Ikuti pengalaman mereka meraikan hari istimewa ini sambil menyingkap budaya dan amalan yang telah dipraktikkan selama beribu-ribu tahun oleh penganut beragama Hindu di Malaysia.