Drama Vice Versa mengisahkan kehidupan Johanna (Umie Aida), seorang wanita yang mementingkan kerjaya sehingga mengabaikan tanggungjawab di rumah sementara suaminya, Rudi (Fahrin Ahmad) inginkan Johanna menjadi seorang isteri mithali. Memahami naluri suaminya, Johanna semakin rajin memasak dan melakukan kerja-kerja rumah serta cuba mengimbanginya dengan tugasan di pejabat. Malangnya dia gagal memberi fokus terhadap kedua-dua perkara serentak dan menyebabkan tugasan di pejabat terganggu.
Manakala Norin (Abby Abadi) dan Alex (Jason Chong) merupakan pasangan ideal dan contoh kepada rakan-rakan mereka. Akan tetapi di sebalik kehangatan rumah tangga mereka timbul konflik yang berpunca daripada ibu Alex. Isu ini berpunca apabila Alex memeluk agama Islam dan menukarkan namanya. Pengorbanan Alex menyebabkan ibunya membenci Norin. Masalah menjadi lebih besar apabila Nyonya Lee (ibu Alex) datang untuk bermalam di rumah mereka. Nyonya sengaja mencari masalah dan menyebabkan Norin tidak berpuas hati. Situasi itu menyebabkan Alex berada dalam dilema, memihak kepada ibu yang membesarkannya atau isteri yang dicintainya.
Mahligai yang dibina hancur di pertengahan jalan, menyebabkan Yusri (Aziz M. Osman) dan Misya (Nor Aliah Lee) memilih untuk mengikut haluan masing-masing. Akan tetapi, Yusri sukar mendapatkan tawaran berlakon dan terpaksa bergantung dengan bekas isterinya untuk hidup. Misya terkilan dengan sikap Yusri yang bukan sahaja tidak memberi nafkah kepadanya dan anak-anak tetapi turut membebankannya. Misya menjadi lebih tertekan apabila pembantu rumahnya yang bekerja di salon perusahaannya mahu berhenti kerja kerana sudah 3 bulan tidak dibayat gaji. Misya merujuk kepada Yusri dan meminta berkongsi masalah itu. Namun, pelbagai masalah lain pula timbul.
Apabila lelaki dan wanita bertemu dan jatuh cinta, hari-hari yang diharungi tidak semestinya diwarnai dengan gelak tawa sahaja. Dapatkah mereka mengharungi suka duka bersama sambil mengenali dan memahami pasangan masing-masing? Saksikan apa kesudahan cerita cinta mereka ini bermula 18 Mac 2008, setiap selasa jam 11 malam hanya di TV3.
[tags]drama vice versa, sinopsis drama vice versa, tv3, jason chong, abby abadi, ibu mithali, Nor Aliah Lee, Aziz M. Osman, blog budiey, pelajar af6, umie aida gossip, fahrin ahmad[/tags]