in

Sinopsis Drama Trilogi Cinta 2

Sinopsis Drama Trilogi Cinta 2. DRAMA 4O episod, Trilogi Cinta 2 terus meruntun perasaan penonton dengan perbalahan dua beradik, Norjinah (Fouziah Gous) dan Norseha (Siti Fazurina).

Pergeseran mereka berdua berterusan selepas Norseha melahirkan anaknya. Drama arahan Amie Maziah itu mampu membuatkan penonton untuk terus mengikuti apa kesudahan di antara Norjinah, Norseha dan ibu mereka, Mak Nab yang fikirannya asyik terganggu selepas bapa mereka meninggal dunia dan susah hatinya melihatkan perbalahan dua anaknya itu.

Drama Trilogi Cinta 2

Drama berdurasi selama 60 minit setiap kali bersiaran itu disiarkan di TV1, setiap Khamis dan Jumaat, jam 10 malam. Drama hebat itu turut dilakonkan Rosyam Nor (sebagai Razif), Rita Rudaini (Suraya), Yuswaisar (Badrul), Rabecca Nur Al Islam (Sharifah Yasmin), Saiful Ghaz (Anuar), Zulin Aziz (Kartini), Aida Khalida (Aida), Raissuddin Hamzah (Taufik), Syazana Firas (Amira) dan Fureena (Balkis).

Kisah baru musim kedua bermula selepas setahun Norseha melahirkan anaknya.

Sengketa Norjinah dengan Norseha terus berpanjangan kerana Norjinah masih belum dapat memaafkan adiknya. Setiap kali bersemuka dengan Norseha kebencian dan kemarahannya muncul. Dia tidak mahu berjumpa Norseha langsung dan setiap kali Norseha datang ke rumahnya dia tidak mahu keluar bilik. Kesedihan Norseha terhadap sikap Norjinah bertukar menjadi benci dan marah.

Bukan itu saja, malah Badrul dengan anaknya juga menjadi mangsa kemarahannya. Badrul dengan Razif cuba mendamaikan kedua-duanya, tetapi jalan perdamaian seperti tidak ada.

Permusuhan kedua-duanya sampai ke kemuncak apabila pada majlis perkahwinan Anuar dengan Kartini menjadi kecoh gara-gara pertengkaran mereka. Ketika pengantin bersanding, mereka bertengkar kerana Norseha merungut Amirul asyik menangis dan mengganggu tidur anaknya, Lukman.

Majlis menjadi kecoh dan pertengkaran mereka menjadi tontonan tetamu. Anuar yang sedang bersanding meninggalkan pelamin dan terus menampar kedua-dua adiknya. Mak Nab menanggung malu kepada tetamu yang datang dan Anuar sedih dengan sikap mereka. Bagi Norjinah apa yang berlaku satu tamparan kepadanya dan keluarganya. Bagi Razif pula Norjinah patut memaafkan Norseha kerana apa yang berlaku bukan salahnya seorang. Norjinah sentiasa menjawab kata-kata Razif dan membuatkan Razif hilang sabar. Pertengkaran Razif dengan Norjinah membuat anak-anaknya ketakutan dan lari ke rumah datuk mereka.

Dalam pada itu, Razif mahu Norjinah menerima takdir Allah dengan sabar, tetapi Norjinah tetap tidak boleh menerima apa yang berlaku. Norseha sudah berzina dan melakukan dosa besar. Razif bimbang jika Norjinah terus bersikap begitu, rahsia Norseha akan terbongkar dan Mak Nab serta Anuar akan mengetahuinya.

Mak Nab mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku lalu dia datang bermalam di rumah Norseha dan dapat tahu yang Norseha serta Badrul tidur di bilik berasingan.
Segala yang berlaku sangat merunsingkan Mak Nab dan dia senyap-senyap balik ke kampung.

Norseha pula mulai trauma dengan keadaan yang dilaluinya dan dia ingin kembali bekerja, tetapi anaknya dianggap sebagai penghalang pula, lalu dia meminta Mak Nab menjaganya. Badrul pula tertekan kerana Norseha tidak dapat menerimanya dan bercadang menceraikannya.

Dalam kekalutannya, Badrul terserempak dengan Sharifah Yasmin dan dia meluahkan masalahnya kepada Sharifah Yasmin atas dasar sahabat. Sharifah Yasmin bersedia membahagiakan Badrul kerana dia memang cintakan Badrul dan bukannya Razif.

Sementara itu Norjinah yang kembali belajar, diminati seniornya Fazli dan Shah yang menghidap barah hati. Mereka berdua tidak tahu Norjinah sudah bekahwin.
Banyak pergolakan yang berlaku sehingga Norjinah mahu bercerai dengan Razif dan Badrul pula akan mengahwini Sharifah Yasmin. Apakah yang berlaku dengan rumah tangga Norjinah dan apa perasaan Norseha terhadap Badrul, jangan lepaskan setiap episod Trilogi Cinta 2, setiap minggu di TV1.

Drama Trilogi Cinta 2

Drama Trilogi Cinta 2

Drama Trilogi Cinta 2

Drama Trilogi Cinta 2

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Golden Awards Winners 2012 List of Winners

Nadia Penyanyi Salam Untuk Kekasih Buat Comeback