Drama bersiri ‘Suara Hati’ merupakan sebuah lagi naskah adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan novelis Anis Ayuni yang mengangkat genre kekeluargaan terbitan Astro Prima dan syarikat produksi Global Film Station Sdn. Bhd.
Drama 13 episod arahan sutradara Emy Suffian atau lebih dikenali dengan nama panggilan Pyan Screw ini turut menampilkan Zetty Alia Dato’ Ramly sebagai penerbit eksekutif, Dato’ Zaiton Muhd Jiwa selaku penerbit serta Farah Alya As’ari sebagai penulis skrip.
Kisah ‘Suara Hati’ dibintangi oleh Hanna Aqeela, Syafiq Kyle dan Aidil Aziz selaku teraju utama serta turut dijayakan oleh barisan pelakon seperti Zeera Hariz, Afzan A Rahman, Qistina Khaled, Syahir Shafein, Liza Rafar, Fazlina Ahmad Daud dan YM Dato’ Sri Rezza Shah.
‘Suara Hati’ bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 19 Julai 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusiaplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Prima:
“Melalui pengalaman kami, kekuatan sesebuah drama dinilai berdasarkan kualiti keseluruhan produksi, naratif penceritaan dan skrip yang mantap serta lakonan yang bermutu. Kesemua elemen tersebut perlu seimbang untuk memikat hati audiens.
Selain itu, jika dilihat berdasarkan kejayaan drama-drama terbitan Astro sebelum ini, format adaptasi sering mendapat perhatian dan diterima baik sehingga mencetuskan fenomena tersendiri di kalangan peminat drama Melayu.
Menyuntik strategi yang sama, kami dengan berbesar hati membawakan sebuah lagi naskhah adaptasi novel menerusi drama bersiri ‘Suara Hati’. Pemilihan karya novelis terkenal Anis Ayuni terbitan Alaf 21 ini untuk diangkat ke dalam bentuk drama adalah berasaskan jalan ceritanya yang unik dan tersendiri serta dilihat dekat dengan masyarakat kita.
Syabas kami ucapkan kepada semua yang terlibat dengan pembikinan drama ini terutamanya kepada produksi Global Film Station kerana berjaya menterjemahkan karya tersebut dalam bentuk visual dengan baik sekali.
Kami berharap gabungan kesemua elemen-elemen ini mampu meletakkan ‘Suara Hati’ sebagai sebuah drama yang paling ditunggu oleh para penonton sekaligus mengumpul kelompok peminatnya yang tersendiri. Selamat menonton.”
Zetty Alia Dato Ramly, Penerbit Eksekutif ‘Suara Hati’
“Buat pertama kalinya, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada FINAS dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di atas bantuan yang ditawarkan kepada syarikat produksi dan pemain industri kreatif menerusi inisiatif PELAKSANA Dana Kandungan Digital (DKD). Tidak lupa juga kepada Astro di atas kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk menerbitkan karya menarik bagi mengisi slot Tiara di saluran Astro Prima.
Besar harapan saya agar para penonton dapat memberikan sokongan padu dan menerima hasil karya terbaharu terbitan Global Film Station pada kali ini berjudul ‘Suara Hati’ yang akan bersiaran selama 13 buah episod sahaja. Mesej utama yang ingin disampaikan menerusi drama ini ialah tentang kebangkitan wanita setelah kehilangan seseorang yang dikasihi. Ia juga turut berkisarkan pengorbanan seorang abang, suami dan kekasih. Semoga terhibur!”
TRIVIA MENARIK DRAMA ‘SUARA HATI’
- Keseluruhan penggambaran drama ‘Suara Hati’ mengambil masa lebih kurang sebulan di sekitar Kuala Lumpur.
- Ini merupakan penglibatan pertama pelakon Syafiq Kyle dalam projek drama bersiri untuk slot Tiara di Astro Prima.
- Drama ‘Suara Hati’ menyaksikan pelakon Hanna Aqeela kembali bekerjasama dengan Syafiq Kyle buat kali kedua. Hanna juga turut dikenali sebagai antara pelakon wanita yang aktif bermain bola sepak dan futsal. Oleh itu, kesemua babak futsal yang ditampilkan dalam drama ini dilakonkan sendiri oleh Hanna.
- Buat pertama kalinya juga, Syafiq dan Hanna diketengahkan sebagai pasangan hero dan heroin menerusi drama ‘Suara Hati’. Mereka memegang watak sebagai Harris dan Hani.
- Pengarah Emi Suffian berpendapat gandingan Syafiq dan Hanna mudah mencipta keserasian sebagai teraju utama dalam drama ini kerana kedua-dua mereka mempunyai minat yang sama iaitu aktif bersukan serta turut mempunyai jarak usia yang tidak jauh berbeza. Mereka juga saling mengambil berat dan memahami satu sama lain sebagai pelakon sekaligus memudahkan lagi proses penggambaran di set.
- Selain itu, pelbagai babak menarik juga dapat dijayakan dengan penuh bersahaja kerana keharmonian yang terjalin di antara Syafiq dan Hanna.
- Antara momen menarik yang bakal meninggalkan impak mendalam kepada penonton adalah adegan ketika pertembungan watak Harris, Hani dan Naim (lakonan Aidil Aziz) di sebuah kedai kek. Ketiga-tiga pelakon tersebut saling memberi reaksi yang berbeza perasaan sehingga membuatkan pengarah berasa terkesan dengan babak itu.
- Antara babak mencabar dalam drama ini adalah sewaktu penggambaran di set lokasi gelanggang futsal. Situasi agak sukar dikawal pada ketika itu kerana ramai pengunjung yang berada di premis futsal tersebut. Namun cabaran tersebut dapat diatasi kerana Syafiq dan Hanna memang mahir bermain futsal lantas penggambaran menjadi mudah dan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.
- Single ‘Biar Aku Simpan’ nyanyian Bimasakti featuring Oktovia Manrose diangkat sebagai lagu tema untuk drama bersiri ini.
PECAHAN WATAK DRAMA ‘SUARA HATI’
Syafiq Kyle sebagai HARRIS
Hanna Aqeela sebagai HANI
Aidil Aziz sebagai NAIM
Zeera Hariz sebagai SURAYA
Afzan A Rahman sebagai AMIR
Qistina Khaled sebagai SARAH
Syahir Shafein sebagai RAMZI
Liza Rafar sebagai SHA
Fazlina Ahmad Daud sebagai KHATY
YM Dato’ Sri Rezza Shah sebagai JO
SINOPSIS DRAMA ‘SUARA HATI’
Mengisahkan Hani, seorang pelajar universiti bercinta dengan Harris yang juga aktif dalam aktiviti sukan. Hani kemudian diperkenalkan ibu bapanya dengan Naim, seorang pensyarah sambilan di universitinya. Hani dan Naim mula mesra apabila Naim mula menolong Hani untuk projek universiti Hani. Tetapi Hani hanya menganggap Amirul Naim hanyalah kawan biasa kerana Hani tahu, Naim dalam ada cita-cita untuk melamar teman wanitanya sebagai isteri.
Kebahagian Hani dengan Harris tidak berpanjangan apabila Harris dengan tiba-tiba menghilangkan diri tanpa khabar berita, dan terus membuatkan Hani kecewa. Hani yang kesedihan kerana kecewa dengan Harris, kemudian mula membuka pintu hatinya kepada Naim, yang juga baru gagal dalam percintaan.
Harris muncul semula, tetapi sudah terlewat kerana Hani sudah pun menerima cinta Naim. Perkahwinan Hani dan Naim bahagia untuk beberapa ketika, namun tragedi yang menimpa perkahwinan Hani dan Naim telah mula mematahkan semangat Hani untuk terus hidup. Di saat itu, Harris tiba-tiba muncul semula di dalam hidup Hani.