November ini, TV3 membawakan dua drama terbaharu menerusi slot Akasia SERIBU RINDU. Drama yang tengah trending ini, sudah pun mula bersiaran di slot Akasia pada 12 November setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 7.00 malam ini menampillkan pelakon Zul Ariffin, Azira Shafinaz, Fadlan Hazim, Mona Allen, Ku Faridah, Harris Baba, Fazlina Ahmad Daud, Hafizuddin Fadzil dan ramai lagi.
Jangan lupa untuk saksikan kesudahan dua drama penuh dilema cinta ini dalam Seribu Rindu dan Terbaik Dariku hanya di TV3! Drama ini turut boleh ditonton di www.tonton.com.my dan youtube TV3Malaysia.
Sinopsis Drama SERIBU RINDU
Dalam dilema dek kerana kekasihnya dipaksa untuk berkahwin dengan orang lain, Azira Shafinaz akhirnya memilih Zul Ariffin sebagai calon suami. Azira tertarik dengan sikap Zul yang sentiasa mengambil berat terhadap dirinya. Setelah membuat solat istikharah, Azira yakin Zul adalah jodohnya. Mesti semua tak sangka kan?
Apabila Cinta Tak Berbalas
Jangan terkejut… Memang mereka akan berkahwin, tetapi sekadar menjayakan watak terbaharu mereka dalam drama Seribu Rindu yang sudahpun mula bersiaran di slot Akasia pada 12 November. Selain Zul Ariffin dan Azira Shafinaz, Seribu Rindu turut dibarisi oleh pelakon Fadlan Hazim, Mona Allen, Ku Faridah, Harris Baba, Fazlina Ahmad Daud, Hafizuddin Fadzil dan ramai lagi.
Drama terbitan Orangetree Production Sdn. Bhd ini mengisahkan mengenai konflik cinta Maisarah dan Airel yang terhenti atas desakan bapa Airel iaitu Datuk Muiz. Datuk Muiz mahu menyatukan Airel dengan Damia, anak kepada rakan perniagaannya Datuk Sri Johari. Walaupun mencintai Maisarah, Airel tunduk dengan kehendak bapanya. Maisarah kecewa lalu pulang ke kampung dan meluahkan rasa sedihnya kepada Irfan (Zul Ariffin), rakan baiknya yang juga seorang cef. Mereka memang rapat sejak kecil, kerana Maisarah dibesarkan oleh neneknya yang mesra dipanggil Tokma tanpa kehadiran seorang ayah dan Irfanlah menjadi tempat luahan perasaannya selama ini.
Tidak mahu kehilangan Maisarah yang terus bersedih, Irfan membuat keputusan untuk melamar Maisarah di saat hubungan Maisarah dan Airel berantakan. Maisarah terkejut kerana dia tidak pernah menyangka Irfan yang sudah dianggap abang telah lama menaruh perasaannya.
Akhirnya, Maisarah menerima lamaran Irfan setelah membuat solat istikharah. Airel kecewa dengan keputusan Maisarah. Dia sakit hati kerana sebelum ini Maisarah sering menafikan dia juga sukakan Irfan dan mengatakan mereka sekadar kawan baik sahaja.
Zul Ariffin Pilihan Kedua Azira Shafinaz
Sepanjang perkahwinan mereka, Irfan menjaga Maisarah bagai seorang permaisuri. Semua permintaan Maisarah akan dituruti. Suatu hari ketika ingin membeli makanan yang diidamkan oleh Maisarah yang sedang hamil, Irfan ditimpa kemalangan dan disahkan lumpuh. Walaubagaimanapun, Irfan masih boleh dirawat dengan penjagaan rapi oleh doktor pakar di hospital.
Konflik tercetus, apabila Airel adalah doktor yang bertanggungjawab bagi membantu proses penyembuhan Irfan. Irfan merasakan masih ada sisa cinta di hati Maisarah buat Airel. Irfan mula menjauhkan diri kerana beranggapan Maisarah hanya bersimpati dengan keadaanya yang lumpuh.
Adakah Maisarah akan kembali dibuai perasaan cintanya terhadap Airel atau tetap memilih Irfan yang setia? Ketahui kesudahannya drama 28 episod arahan Zamri Zakaria ini di slot Akasia, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam.