Menghiasi slot Akasia di TV3 menggantikan drama Rindu Awak 200 % yang bakal tamat tayangannya pada Isnin ini, 1 September 2014 adalah sebuah drama yang juga diangkat dari novel. Novel Maaf Jika Aku Tak Sempurna terbitan KakiNovel dan ditulis oleh novelis popular, Acik Lana akan dipersembahkan di kaca TV3 dengan judul sama.
Drama siri 32 episod ini bakal menampilkan Sara Ali bergandingan bersama Fahrin Ahmad sebagai teraju utama. Turut membintangi drama ini adalah Tasha Shilla, Ika Nabella, Hefny Sahad, Amy Mastura, Reza Hasbi, Azri AF9 serta bintang baru Shella Faeiz, Marr Mohamad dan Sabreena Ibrahim.
Istimewanya, ini adalah pertama kali Sara Ali bergandingan bersama Fahrin Ahmad. Malah, drama ini juga membawa kemunculan semula penyanyi hebat, Liza Hanim yang menyanyikan lagu tema berjudul ‘Egoismu’ ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya. Bakal bersiaran di TV3 pada 2 September nanti, drama ini menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur, Cameron Highland, Pulau Sipadan Sabah serta Perth, Australia.
Maaf Jika Aku Tak Sempurna mengisahkan Melina, anak gadis Datuk Zakri yang hanyut dalam keseronokan hidup sebagai anak muda ibukota. Pergaulan bebas dan sikap yang suka berlibur di kelab-kelab malam membuatkan Datuk Zakri dan Datin Maziah berasa risau. Pembelajaran dan kuliah-kuliah juga sering diabaikan gadis berusia 23 tahun itu.
Melina berubah menjadi anak gadis yang angkuh, sombong, lepas laku dan sering melawan apabila dinasihati. Atas sebab itu, Datuk Zakri terpaksa meminta pertolongan anak lelaki sahabat baiknya iaitu Luqman Haqeem untuk menjaga Melina. Luqman Haqeem adalah anak tunggal kepada Rashid dan Aliah yang tinggal di Cameron Highlands. Sekembalinya dari UK selepas menamatkan pembelajaran, Luqman bekerja sementara di kebun sayur milik keluarganya di tanah tinggi tersebut.
Atas rasa serba salah kerana jasa yang pernah diberikan oleh Datuk Zakri, Luqman akhirnya akur menerima tugas barunya sebagai penjaga Melina. Dia diarahkan menjadi pemandu dan juga pengawal peribadi bagi mengekang kebebasan terlampau yang selama ini dimiliki gadis itu. Pertelingkahan tercetus dan pergaduhan sering mewarnai pertemuan mereka berdua.
Bagi Melina, Luqman memang lelaki penyibuk yang diupah oleh ayahnya untuk mengongkongnya. Dia ke kelab malam, Luqman akan datang mengheretnya pulang. Dia berpeleseran dengan kawan-kawan, Luqman akan muncul menariknya pergi. Dia benar-benar bencikan Luqman!
Biarpun lelaki kacak itu menjadi rebutan gadis-gadis di kolejnya, semua itu belum mampu mengubah perasaan Melina. Baginya Luqman hanyalah seorang lelaki kampung yang tidak berpelajaran, berfikiran tertutup dan ketinggalan zaman. Biarlah setampan mana pun lelaki itu, Luqman tetap menjadi manusia paling dibencinya. Lebih-lebih lagi dengan sikap Luqman yang sering lantang mempersoalkan gaya hidupnya yang bebas. Dia sering cuba membebaskan diri dari kawalan Luqman namun seringkali gagal kerana lelaki itu lebih pantas menghidu niatnya.
Semuanya berubah apabila bapa Melina meninggal dunia dalam kemalangan. Dan kerana terpaksa, Melina dikahwinkan dengan Luqman. Apakah kesinambungan kisah mereka apabila Luqman dipaksa berkahwin dengan Melina?
Sama-sama kita saksikan Maaf Jika Aku Tak Sempurna bermula 2 September ini.