in , , , ,

Sinopsis Drama Dewi Cinta Lakonan Lisdawati & Fauzi Nawawi

Amaran! Sinopsis ini adalah 100% spoiler!

Kehidupan Dewi dari kecil begitu dimanjakan dengan kasih sayang oleh kedua ibu bapanya. Dia juga kurang bersosial dengan kanak kanak sebaya. Memang dari kecil Dewi anti sosial. Dia tidak boleh beralah dengan kanak kanak lain. Namun ketika dia dewasa sikapnya semakin menjadi jadi. Dewi bernasib baik kerana dia bijak dalam pelajaran hingga ke menara gading. Di kolej, dia punya pesaing yang amat rapat dengannya dalam pelajaran, Yusri. Antara mereka seperti “musuh” dalam senyap.

Setiap kali pulang dari rumah, Dewi akan mengadu hal pada ibu bapanya mengenai sikap orang lain di kampus. Ibunya, Asyira selama ini “tahan” dengan sikap anaknya terpaksa mendedahkan sesuatu; dia disahkan mengidap barah payu dara. Mulai saat itu, Dewi tertekan dan semakin taksub dengan perhatian pada ibunya. Dia tahu, dia tidak boleh kehilangan ibunya. Asyira perlukan sokongan dari keluarga dan masyarakat. Dia pergi ke “support group”. Di situ dia berkenalan dengan Maisarah. Maisarah pernah mengidap kanser rahim dan berjaya sembuh sepenuhnya. Maisarah menjadi mentor pada Dewi dan hubungan mereka makin rapat dan seperti adik beradik.

Asyira juga memperkenalkan Maisarah pada suaminya, Kasim. Kasim juga mudah rapat dengan Maisarah kerana selain Maisarah matang dan bijak, dia juga punya syarikat perabotnya sendiri dan Kasim merasakan mereka boleh bekerja sama dari sudut bisnes. Malah Asyira sangat bersetuju dengan hubungan mereka yang rapat itu. Perkembangan ini membuatkan Dewi kurang senang dengan apa yang berlaku. Dia anggap Maisarah punya “niat” yang tersembunyi. Perkara ini menjadi lebih buruk lagi apabila Dewi “terjumpa” dengan Tasha.

Tasha berpura pura menjadi “ibu angkat” pada Dewi. Mereka tinggal di rumah sewa yang berdekatan dengan kolej. Sifat Tasha yang sungguh licik membuatkan Dewi terlalu mempercayainya. Sebenarnya Tasha telah lama berdendam dengan Maisarah. 5 tahun lalu, Tasha pernah mencintai seorang lelaki kaya yang sering berkunjung di kelab tempat mereka bekerja. Maisarah tidak pernah berminat dengan lelaki itu (Hj Jaafar) hanya Tasha yang terkinja kinja. Namun Hj Jaafar tetap mahu Maisarah sehingga Maisarah berhenti kerja dan menghilangkan diri.

Terakhir, Tasha dapat tahu mereka bernikah di Siam dan Hj Jaafar banyak membantu Maisarah berdikari. Maisarah membuktikannya, dan ini membuatkan Tasha menaruh dendam padanya, baginya sepatutnya dia yang senang, bukan Maisarah. Dan dia mendakwa Maisarah merampas Hj Jaafar dari tangannya. Dewi berusaha macam macam cara untuk menjauhkan Maisarah dari keluarganya, namun, Asyira dan Kasim enggan terikut ikut dengan mainan Dewi.

Di kolej, Dewi tidak ramai kawan kerana sifatnya. Perang dingin antara Yusri dan Dewi semakin memuncak ketika Dewi terlanggar motor Yusri, dan Yusri terjatuh namun Dewi enggan bertanggung jawab dan meminta maaf. semenjak itu, Yusri membenci Dewi. Dalam masa yang sama, seorang pelajar yang opotunis, Nizam, muncul dan menawarkan persahabatan kepada Dewi. Dewi dengan gembira menerima kerana Nizam seorang yang ada rupa dan ramai pelajar perempuan minat padanya. Cuma yang Dewi tak tahu, Nizam berminat dengannya kerana bagi Nizam, Dewi anak orang kaya. Ketika mereka di kampus, hubungan cinta mereka kononnya berlandaskan pada persahabatan dan tempat mengadu hal; apa apa saja, termasuk kisah peribadi keluarga.

Asyira merasakan dirinya tidak akan hidup lama, dia mahu Maisarah terus berada di samping keluarganya, di samping Kasim dan Dewi sebagai suri rumah yang sah di situ. Maisarah terharu dan berjanji akan menjaga keluarganya. Ketika di tahun akhir universiti, Dewi dikejutkan dengan kematian ibunya. Belum sempat dia habis berkabung dengan kematian ibunya, ayahnya Kasim mengambil keputusan “sendiri” dengan mengumumkan dia akan berkahwin dengan seorang janda, Maisarah.

Keadaan bertambah kalut, apabila Tasha dengan sengaja membocorkan rahsia pada Dewi tentang “sejarah hitam” Maisarah untuk menggagalkan perkahwinan ayahnya dengan Maisarah. Dewi memberitahu pada Kasim dengan harapan Kasim tidak akan mengahwini Maisarah. Namun Kasim tidak peduli. Dewi kecewa. Kemudian, Maisarah pula berhadapan dengan masalah lain, walau pun selama ini, anaknya Yusri boleh menerima Kasim sebagai bakal bapa tirinya, namun di saat saat akhir, Tasha memainkan peranan, dia membocorkan rahsia bahawa Dewi, musuhnya adalah bakal adik tirinya jika Kasim dan Maisarah berkahwin. Yusri mula mendesak agar perkahwinan ibunya dan Kasim dibatalkan atas alasan tidak ingin bersaudarakan Dewi yang telah banyak menyakiti hatinya.

Maisarah enggan mengalah dengan desakan Yusri, dia tetap akan berkahwin dengan Kasim. Yusri enggan tinggal bersama Maisarah dan Kasim dan memilih untuk berdikari dari hidup ibunya. Walau pahit, Maisarah terpaksa menerimanya. Kerana tekanan emosi yang amat tinggi, Dewi terus terusan enggan menerima Maisarah dan menggelar Maisarah dengan pelbagai tohmahan yang tidak enak didengar. Segala rungutan, tuduhan dan prasangka buruk yang berlandaskan emosi dihambur pada Nizam yang berlagak sebagai “pendengar setia”. Tanpa mengetahui apa kesan perbuatannya kelak setelah bernikah dengan Nizam.

Walau pun pelbagai cara dilakukan Maisarah, Dewi tetap enggan menerimanya. Malah dia juga bersumpah di depan ayahnya bahawa dia tidak akan berharap dengan harta ayahnya, dia mahu berdikari dengan kekasihnya, Cuma satu dia mahu dari Kasim, walikan pernikahan mereka.

Nizam dan Dewi bernikah kecil kecilan. Maklum hubungan Dewi sebagai anak tunggal dengan ayah dan ibu tirinya semakin meruncing. Maisarah sebenarnya terlalu ingin meraikan perkahwinan anak tririnya. Dia membuat pelbagai persiapan dalam diam konon untuk memberi kejutan pada Dewi. Agar dia akan lembut hati terhadapnya. Bunga telur dan hantaran kepada pihak lelaki sengaja dibuat dengan cantik dan teliti dengan tangannya sendiri, namun semuanya ditolak mentah mentah oleh Dewi.malah Dewi bersumpah tidak akan pernah mengiktiraf Maisarah sebagai sebagian dari keluarganya. Dia berjanji tidak akan memanggil Maisarah dengan nama mak atau ibu seperti yang sering digalakkan oleh Kasim.

Sekian lama mereka bersama sebagai suami isteri, “warna” sebenar Nizam semakin tampak. Sementelah dia mempunyai pendirian yang semakin berbeza pada Dewi, kalau dulu Dewi adalah wanita yang paling patut dipuja dan dibelai, namun kini Dewi menjadi sebaliknya; dialah wanita paling layak dikeji dan dibuli secara emosi oleh Nizam. Pendek kata Nizam mendera Dewi secara emosi dan tidak menghormatinya lagi.

Hubungan Nizam dan Dewi yang dianggap pada mulanya oleh rakan sepejabat sebagai pasangan yang paling secocok, rupanya hanya cantik di luar. Pulang ke rumah, Dewi sering dikritik dan dicaci walau kesilapan yang sebesar kuman. Ini kerana Nizam menganggap Dewi bukan perempuan yang sebenarnya baik luar dan dalam. Alasan kutukan Dewi terhadap Maisarah adalah yang paling utama. Katanya kalau benar Dewi perempuan yang baik, masakan dia boleh mengata dan mengutuk Maisarah.

Kata kata hinaan yang sering keluar dari mulut Nizam adalah :”Kalau aku tak kawin dengan kau, ntah sapa yang nak dengan kau”, “kau ingat kau baik sangat ?” dan macam macam lagi kritikan. Nizam juga tidak pernah menghargai apa saja yang dilakukan oleh Dewi di rumah. Keadaan bertambah buruk ketika Dewi mengandung anak pertama. Dia tidak pernah dilayan istimewa oleh Nizam. Malah dilayan sebagai warga kelas dua oleh Nizam.

Dewi tak ada tempat nak mengadu. Dia mengadu pada rakan sekerja, rata rata tidak percaya dengan ceritanya kerana apa yang jelas, di pejabat, mereka nampak Nizam adalah seorang lelaki “gentleman” yang kalau boleh semua wanita ingin menjadikannya teman hidup. Kasim diberitakan sakit. Dewi, Nizam dan anak pertamanya balik ke rumah Kasim setelah menziarahi. Nizam menunjukkan sikap hipokrit di depan mertua. Namun Maisarah berjaya menghidu sesuatu yang tak kena pada Dewi. Satu hari dia sendiri terlihat bagaimana kasarnya Nizam melayan Dewi.

Semenjak itu, Maisarah adalah tempat Dewi mencurah rasa. Hubungan mereka pulih. Dewi memanggil Maisarah dengan nama “Ibu”, ini membuatkan Maisarah amat terharu. Musuh lama mereka, Tasha tidak senang dengan perkembangan ini. Tasha mencari jalan macam mana untuk memporak perandakan rumahtangga Dewi pula.

Tasha dapat tahu di tempat kerja Dewi ada kerja kosong. Dia mahu anak didiknya, Linda pergi memohon kerja di sana. Tujuannya satu, dapatkan Nizam. Lagi pun khabarnya kini Nizam sudah naik pangkat. Keadaan turun naik hubungan Nizam dan Dewi berterusan sehingga mereka punya dua anak. Linda masuk di antara celah celah dunia mereka yang semakin menyempit. Memainkan peran lakonan perempuan Melayu lemah lembut dan naif; racun yang amat berbisa.

Dewi semakin tertekan dengan keadaan. Emosinya amat terganggu, Nizam semakin jauh dengannya. Pendek kata apa saja yang dibuat Nizam kini bagai minyak yang akan memarakkan lagi api kebosanan Nizam. Dewi dinaikkan pangkat dan perlu bertugas bahagian lain di luar Kuala Lumpur. Nizam makin suka dan hanya kata “Kalau itu yang kau nak, kau pergi!”. Dengan peranan yang dimainkan Linda, Nizam buat syarat: hanya seorang anak yang boleh dibawa Dewi, yang bongsu. Manakala yang sulong di bawah jagaannya.

Rupa rupanya itulah yang ditunggu tunggu Nizam. Dia telah punya kekasih hatinya sendiri, Linda, yang lama mengintai peluang menjadi permaisuri hati Nizam. Nizam mengugut kalau Dewi tak benarkan dia bernikah baru, dia tak akan dapat berjumpa dengan anak sulongnya lagi. Dewi terpaksa akur dengan desakan itu. Kini dia telah dimadukan. Dan hubungan dia dan Nizam semakin menjarak. Pernah berlaku anak bongsunya tercedera kerana terjatuh bermain, Dewi meminta Nizam menjengah anaknya di hospital. Sesampai di situ, Dewi ditempelak lebih hebat lagi oleh Nizam. Ini disaksikan sendiri oleh Ramli, ketua jabatan tempat Dewi bertugas.

Ramli yang telah lima tahun kematian isteri amat kasihan dengan nasib Dewi. Dia banyak menyejukkan hati Dewi selepas itu. Mereka menjadi intim. Dewi yang sering terhimpit dengan emosi sendiri dilihat terlalu rendah diri dan kurang keyakinan diri. Bagi Ramli, tugas utamanya adalah untuk mengembalikan kualiti Dewi yang menghilang itu. Sementara di rumah Nizam, dia baru kena buku dengan ruas. Linda yang selama ini berlagak baik, pula mula mengeluarkan warnanya sedikit demi sedikit. Mula mula anak sulongnya menjadi mangsa, walau mengadu pada Nizam, Nizam memekakkan telinga dan anggap anaknya itu terikut perangai Dewi.

Namun akhirnya simpanan Nizam semakin susut dan berhutang sana sini. Linda punya cita rasa yang amat tinggi mengalahkan pendapatan dan kemampuan Nizam. Nizam tidak mampu lagi memenuhi kehendak Linda. Anak menjadi mangsa dan Nizam sendiri menjadi saksi bagaimana anaknya didera oleh Linda. Ironinya lagi, kini Nizam disahkan pula mengidap kanser otak dan dia tidak dapat hidup lama. linda terlalu bijak, dia segera meninggalkan Nizam terkontang kanting sendirian melawan penyakit. Nizam sendiri malu untuk berbaik semula dengan Dewi kerana sedar kesilapan dirinya.

Sementara Dewi semakin kuat semangat dan sedar akan nasib dirinya yang selama ini tertekan emosi yang maha berat. Dewi bersetuju untuk merujuk kesnya pada mahkamah kerana Nizam sudah sekian lama tidak memberi nafkah zahir batin yang melayakkan taklik berlaku. Pendorong utama yang jujur: Ramli.

Suatu hari, Maisarah dan Kasim melawat Nizam dengan harapan Dewi di situ. Namun hampa, sebaliknya terkejut dengan keadaan Nizam. Maisarah pergi memujuk Dewi supaya kembali memelihara Nizam. Dia sedikit goyah namun tidak dapat memberikan jawapan. Mungkin serik diperlakukan Nizam. Namun dengan kata kata semangat dari Ramli, Dewi menerima kembali Nizam dalam hidupnya. Dia mahu benar benar kecapi kebahagiaan suami isteri yang sekian lama tercicir antara mereka.

Dewi melayan Nizam di hospital sepenuh hati. Dia juga meyakinkan Nizam bahawa Nizam akan berjaya melawan kanser yang dihidapinya. Sementara itu, Tasha kecewa dengan Linda kerana terlalu awal meninggalkan Nizam sehingga tak sempat nak mewarisi hartanya. Linda kata, dia tak punya kesabaran. Sedangkan Tasha sedang dalam rencana membesarkan perniagaan salonnya.

Tasha dapat tahu Maisarah masih lagi sesekali berhubungan dengan hj Jaafar, dan ini peluang terbaik untuknya mengugut Maisarah untuk mendapatkan wang. Dia mencari punca kenapa Maisarah enggan mendedahkan pada Hj Jaafar bahawa dia punya anak. Dia tahu punca sebenarnya adalah; rahsia hubungan sulit mereka tidak pernah diketahui isteri Hj Jaafar dan keluarganya. Maisarah sendiri enggan memberitahu hj Jaafar tentang Yusri, kerana enggan menyusahkannya.

Tasha mengugut Maisarah dengan perkara itu. Kalau Maisarah tidak memberikan dia duit, dia akan memberitahu isteri Hj Jaafar. Maisarah terperangkap dan berjanji akan memberi Tasha wang yang diperlukan. Yusri terlihat Maisarah dan Tasha bercakap dan dia mulai curiga. Yusri pula kini telah bekerja dan mempunyai perniagaan sendiri dalam bidang landskaping. Salah seorang pelanggannya adalah Hj Jaafar sendiri.

Isteri Hj Jaafar begitu sayang padanya kerana kedua dua anak perempuannya sudah bernikah dengan orang asing dan berhijrah ke sana. Jadi mereka mahu jadikan Yusri anak angkatnya. Mereka mengaku saudara dan tiba masanya Yusri memperkenalkan ibunya pada keluarga Hj Jaafar.

Tasha yang terlalu ghairah dengan duit yang akan diterima oleh Maisarah terlebih dahulu meminjam duit dengan Along, dengan seribu janji termasuk nyawanya. Dia terlalu yakin Maisarah akan menjadi pembiayanya. Sementara itu, Nizam tidak dapat bertahan lagi, dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Dewi dan memohon maaf padanya. Di perkuburan, Ramli juga muncul dan berkata dia tetap setia menanti Dewi.

Di pertemuan antara hj Jaafar, Maisarah dan isterinya bersama Yusri, Maisarah tidak dapat menahan rasa yang ditanggung selama ini, dia bertawakkal dan akhirnya terus menceritakan perkara yang sebenarnya di hadapan isteri Hj Jaafar. Allah bersama orang orang yang ikhlas. Isteri Hj Jaafar menerima semuanya sebagai sebuah takdir Allah. dan berbangga dengan suaminya yang telah menyelamatkan seorang wanita dari lembah hina. Yusri bersyukur kini dia telah menemui ayah kandungnya sendiri. Dewi pula kini bahagia di samping Ramli.

TAMAT

Senarai Pelakon

1. Lisdawati sebagai Dewi
2. Fauzi Nawawi sebagai Nizam
3. Shahruddin Thamby sebagai Kasim
4. Fadilah Mansor sebagai Maisarah
5. Rozie Rashid sebagai Asyira
6. Rosnah Mat Aris sebagai Tasha
7. Linda Hashim sebagai Linda
8. Badrul Muhayat sebagai Ramli
9. Kencana Devi sebagai Sri Devi
10. Arman Yadi sebagai Hj Jaafar

Pengarah : Hazali Hj Ramli
Penulis Skrip : Nazli Jaafar (Che Li)
Penerbit : Raja Alawiah
Terbitan : Bright Network Sdn. Bhd.
Tayangan : RTM1
Tahun : Awal tahun 2008

[tags]gambar Lisdawati, profile Fauzi Nawawi, gambar kahwin lisdawati dan fauzi nawawi, penaja kahwin, wedding sponsor, drama anak pontianak, gambar Daphne Iking Playboy Mansion, theme birthday party, gossip Dr Sheikh Muszaphar Chef Ismail, girlfriend dr sheikh muzaffar, azwana cabar wartawan, sinopsis drama anak pontianak, gambar siti nurhaliza dalam iklan pantene, ezad dezid, diari ramadan rafique sinopsis, sheera gossip, Shahruddin Thamby, Fadilah Mansor, Rozie Rashid, Linda Hashim, Kencana Devi, Arman Yadi, Hazali Hj Ramli, Bright Network Sdn. Bhd, sinopsis drama dewi cinta, blog spoiler sinopsis filem, spoiler drama[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Lisdawati Fauzi Nawawi Bersanding Perkahwinan RM1 juta

Gambar Erra Fazira Engku Emran Kahwin & Sekitar Wedding Erra Fazira