Drama Tanah Merah dihasilkan oleh pengarah dan penerbit terkenal, Kabir Bhatia disiarkan setiap hari Khamis jam 8.30 malam di ntv7.
Drama 13 episod itu membariskan pelakon muda berbakat, Aishah Hoo sebagai teraju utama serta barisan pelakon hebat lain seperti Wan Raja, Norman Hakim, Hakim Yazid, Nazeera Sardi, dan Zara Zya yang berkisar tentang misteri di sebalik sebuah tragedi dan cinta.
Hasil produksi Filmscape Sdn Bhd, penggambaran Tanah Merah yang diadakan di lokasi utamanya di Ayer Keroh Country Resort, Melaka diharapkan bakal menjadi sebuah lagi drama ikutan ramai penonton Malaysia yang tercari-cari drama yang sarat dengan elemen penyiasatan dan plot keberanian seorang wartawan gadis muda. Siri ini akan berakhir pada 27 Jun 2013.
EPISOD 1
Johanna, seorang wartawan di ibukota, yang hilang semangat bila kerap ditugaskan untuk melaporkan masalah persekitaran dan logistik seperti longkang tersumbat, sampah tak diangkat dan sebagainya.
Johanna ditarik masuk ke dalam misteri Tanah Merah apabila Maryam datang ke pejabat memberitahunya pasal kes bunuh diri bapanya Hassan 10 tahun lalu. Maryam tidak percaya yang bapanya membunuh diri. Dia ingin Johanna membantunya menyiasat perkara yang sebenar.
Sementara itu, di Tanah Merah, Hana, pekerja di Tanah Merah Resort, membantu siasatan Maryam dan cuba memecah masuk ke dalam rumah pemilik Tanah Merah Resort.
Johanna teruja dengan cerita Maryam tetapi Bos Johanna tidak mahu meletakkan cerita itu di akhbar untuk mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan ke atas akhbar mereka.
Bila Johanna membaca berita Maryam bunuh diri di akhbar, Johanna terkejut. Dia berasa serba salah dan merasa sedikit tanggungjawab atas kejadian yang menimpa Maryam. Johanna nekad untuk pergi menyiasat walaupun dia tahu dia akan kehilangan kerjanya sekiranya dia berbuat demikian.
Mampukah Johanna dan Hana – walaupun berada di dua lokasi berlainan – membantu Maryam menyelesaikan misteri?
EPISOD 2
Johanna tiba di resort Tanah Merah. Dia bertemu dengan Mak Hasni yang menguruskan penempahan biliknya. Kemudian Nik, pekerja resort membantu Johanna untuk mengangkat barangnya ke bilik.
Hana menghantar pencuci mulut ke bilik Johanna, Hana ternampak jurnal Maryam. Hana cuba bertanya tentang jurnal itu tetapi dimarahi oleh Johanna. Hana mula tertanya adakah Johanna wartawan yang disebutkan oleh Maryam sebelum dia mati?.
Sementara itu, Johanna pergi melawat seisi Tanah Merah Resort ditemani oleh Pak Jali. Pak Jali menerangkan kepada Johanna tentang penghuni Tanah Merah dan fasiliti yang terdapat di resort itu. Sementara itu, Hana yang memecah masuk ke bilik Johanna untuk mencari jurnal yang dilihatnya tadi, terganggu bila Shah datang ke bilik Johanna untuk memperbaiki katil yang berbunyi.
Johanna berkenalan dengan Ibrahim sewaktu makan tengah hari di kafe. Ibrahim berjanji untuk membawa Johanna pergi ke tepi laut. Johanna mengambil peluang itu untuk mengetahui lebih banyak cerita tentang Tanah Merah. Sewaktu di tepi laut, Johanna jatuh ke dalam laut.
EPISOD 3
Johanna jatuh. Ibrahim selamatkan Johanna dan bawa dia pulang ke resort. Johanna tuduh Ibrahim menolaknya tetapi Ibrahim menafikannya. Johanna pulang ke resort dan meneruskan pembacaan jurnal Maryam.
Keesokkan harinya, Johanna pergi berjumpa Ibrahim di tepi kolam renang. Dia menggunakan peluang itu untuk mengorek lebih banyak rahsia tentang Tanah Merah. Manakala Ibrahim telah menggunakan peluang itu untuk menunjukkan apa yang dia tahu tentang Johanna melalui cariannya di Google. Johanna tersinggung dengan kata-kata Ibrahim dan berlalu pergi. Dia terserempak dengan Jaafar.
Sementara itu, kita lihat kemesraan dan hubungan rapat Hana dengan Shah. Jelas Hana ada menaruh hati pada Shah tanpa Shah mengetahui tentang perasaannya.
Johanna bertanya kepada Mak Hasni tentang Jaafar. Mak Hasni menceritakan perihal Jaafar yang merupakan orang kanan Hasan 10 tahun dulu. Johanna pergi mencari Jaafar untuk bertanyakan dia tentang Hassan. Ketika mencari, Johanna terserempak dengan Pak Jali yang sedang bercakap dengan Jaafar. Johanna mencuri dengar perbualan itu. Malangnya dia telah ditangkap oleh Ibrahim. Ibrahim memberitahu Johanna yang dia tahu tentang penyiasatan Johanna. Ibrahim mengajak Johanna untuk makan bersama.
Pada masa yang sama, Jaafar pergi berehat ke bangsal. Kemudian kelibat misteri datang mendekati Jaafar. Jaafar terkejut melihat kelibat itu. Kelibat itu kemudian membunuh Jaafar.
Ibrahim dan Johanna sedang makan apabila mereka mendengar jeritan Hana.
EPISOD 4
Semua orang bergegas ke bangsal dan mendapati Jaafar telah dibunuh. Pihak polis tiba dan semua orang diarahkan berkumpul di kafe untuk sesi soal-siasat. Inspektor Karim mula menyoal siasat semua orang. Semua orang mula bercerita tentang apa yang mereka lakukan sebelum mayat Jaafar ditemui.
Hana bercerita tentang bagaimana dia terjumpa mayat Jaafar. Dia memberitahu polis yang dia ternampak Makcik Ani di bangsal sebelum terjumpa mayat Jaafar. Pak Halim marah apabila mengetahui yang ada orang menuduh isterinya sebagai pembunuh Jaafar.
Pihak polis pergi ke rumah Pak Halim untuk menyoal siasat Makcik Ani dan menyuruh semua orang tunggu di kafe. Mak Hasni menyuruh Hana ambil cuti untuk menenangkan fikiran tetapi ditolak oleh Hana.
Hana mengambil kesempatan untuk memberitahu Johanna yang dia kenal Maryam dan dia lah yang mengeposkan jurnal Maryam kepada Johanna. Johanna mahu berbual panjang tetapi Hana terpaksa pergi dan berjanji akan bertemu Johanna keesokan harinya.
Johanna akhirnya dapat bertemu di pemilik resort, Amran apabila dia datang ke resort untuk di soal siasat. Johanna dapat melihat ketegangan antara Ibrahim, Shah dan Amran. Johanna juga terkejut bila dia mengetahui pekerja resort, Shah itu rupanya anak Amran.
Johanna pulang ke biliknya ditemani Shah dan Mak Hasni. Apabila dia masuk ke bilik, Johanna terkejut.
EPISOD 5
Bilik Johanna telah digeledah dan pakaiannya banyak yang dikoyakkan. Mak Hasni meminjamkan Johanna pakaian baru. Shah yang ternampak Johanna memakai baju itu terus berang. Apakah motif di sebalik kemarahannya? Siapakah orang yang telah meninggal dunia, 10 tahun lepas, selain Hassan?
Sementara itu, Ibrahim mencetus konfrontasi dengan Amran pasal Tanah Merah. Ibrahim mahu Amran kembalikan Tanah Merah Resort itu kepadanya. Perniagaan Tanah Merah Resort jatuh merundum sejak 10 tahun lepas menyebabkan Ibrahim tidak dapat mengutip keuntungan yang dijanjikan oleh Amran kepada arwah bapanya, Datuk Iskandar, pemilik tanah di mana terletaknya resort tersebut.
EPISOD 6
Seorang yang baru telah muncul di Tanah Merah. Johanna melihat Ibrahim bersama-sama dengan Farhan. Johanna sedikit terasa tapi dia tak pasti mengapa dia perlu berasa cemburu melihat Ibrahim dengan wanita lain? Ibrahim bukan teman lelakinya.
Johanna mula menghabiskan masanya dengan Shah. Dia suka dengan lelaki itu. Rendah diri tapi sangat protektif terhadap keluarganya. Johanna juga simpati dengan nasib Shah lebih-lebih lagi bila dia mula mengetahui sedikit sebanyak tentang sejarah penduduk Tanah Merah.
Semasa membaca jurnal Maryam, seseorang sedang memerhatikan Johanna. Ibrahim sedang memandang Johanna di luar biliknya. Ada sesuatu yang Johanna tidak memberitahunya tapi pada masa yang sama, Ibrahim merasa sesuatu dihatinya apabila dia memandang wanita yang degil itu.
Ibrahim terkejut bila dia ternampak kelibat yang cuba masuk ke bilik Johanna. Sempatkah Ibrahim menghalang apa-apa yang buruk terjadi kepada Johanna sebelum terlambat?
EPISOD 7
Rupa-rupanya Anis, pekerja resort yang mula bekerja setelah mengambil cuti untuk ke Kuala Lumpur, adalah orang yang menyelinap masuk ke bilik Johanna. Ibrahim memarahi Anis kerana masuk ke bilik tanpa memaklumkan Johanna terlebih dahulu.
Selepas membaca jurnal Maryam, Johanna membuat keputusan untuk pergi semula ke bangsal tempat Jaafar dibunuh. Dia mahu memeriksa tempat itu kalau ada barang-barang bukti yang polis tidak jumpa.
Johanna menemui sebentuk subang dalam bangsal itu. Malangnya dia telah diserang oleh kelibat misteri yang merampas subang itu dan melarikan diri. Peristiwa ini telah menimbulkan kerisauan kepada seisi penghuni Tanah Merah. Pak Jali semakin risau dengan keagresifan Johanna menyiasat kes ini meminta Pak Halim memantau pergerakan Johanna. Pak Jali juga meminta Pak Halim menanam sesuatu. Sesuatu yang patutnya disembunyikan 10 tahun yang lalu.
Hubungan Hana dan Johanna pula semakin rapat selepas kejadian serangan di bangsal. Hana memberitahu Johanna yang selama Maryam di situ, dia banyak membantu Maryam. Hana menawarkan diri untuk membantu Johanna dalam apa jua keadaan.
Sementara itu, Amran meminta Shah mengajak Johanna makan malam di rumah mereka. Johanna bersetuju untuk hadir. Ketika makan malam di rumah Amran, Johanna mengorek lebih banyak rahsia tentang Tanah Merah terutamanya yang berkaitan dengan Shahila, anak perempuan Amran yang kemalangan 10 tahun lalu. Amran menegur sikap agresif Johanna dalam penyiasatannya yang mungkin akan mengguris perasaan penduduk Tanah Merah. Johanna meminta maaf dan mula menghormati Amran.
Johanna balik ke resort dan mendapati Ibrahim sedang menunggunya. Ibrahim membelikan baju baru untuk Johanna kerana tidak mahu Johanna terus memakai baju Shahila. Ibrahim bengang dan cemburu bila mengetahui Johanna telah pergi ke rumah Amran.
Johanna bertanya tentang hubungan Ibrahim dan Shahila. Ibrahim marah dan terus tinggalkan Johanna.
Dalam perjalanan pulang ke bilik, Johanna ternampak Pak Halim. Dia mula mengekori orang tua itu. Dia nampak Pak Halim sedang menanam sesuatu. Dia musykil.
EPISOD 8
Hana dan Anis mahu pergi memancing. Mereka mengajak Johanna untuk turut serta atas cadangan Mak Hasni. Johanna yang ingin pergi memeriksa apa yang ditanam oleh Pak Halim semalam menunda hasratnya. Ketiga-tiga mereka pergi memancing di tengah laut.
Sementara itu, Farhan cuba menjadi anak yang baik dengan menjaga ibunya, Mak Ani. Farhan melepaskan rantai kaki Mak Ani kerana kasihankan ibunya yang dirantai sepanjang hari. Kemudian Farhan membawa Mak Ani keluar berjalan-jalan. Malangnya Mak Ani hilang sewaktu berjalan dengan Farhan. Farhan panik. Dia meminta bantuan Mak Hasni dan akhirnya Shah datang membantu. Farhan dan Shah pergi mencari Mak Hasni dan akhirnya berjumpa Mak Hasni di kubur Shahila.
Sementara itu, Johanna berjaya mengatasi ketakutannya terhadap air dan pergi memancing dengan menaiki bot di tengah laut bersama-sama Hana dan Anis. Di sana, Johanna cuba mencungkil lebih banyak rahsia tentang Shah. Ternyata Shah adalah pemuda yang baik, tidak seperti yang diterangkan Maryam dalam jurnalnya.
Farhan dan Shah membawa Mak Ani pulang ke rumah. Farhan mahu merantai Mak Ani tetapi ditegah oleh Shah. Bagi Shah, memandangkan Farhan dah ada bersama ibunya, buat apa Mak Ani perlu dirantai? Bukankah Farhan boleh menjaga ibunya. Malangnya Mak Ani hilang sekali lagi bila Farhan alpa.
Hana, Anis dan Johanna mahu pulang ke darat selepas selesai memancing. Mereka terkejut bila nampak Mak Ani berjalan hingga ke hujung jeti ke arah mereka hingga dia jatuh ke laut.
EPISOD 9
Johanna panik selepas bot yang mereka naiki terbalik akibat terkejut selepas melihat Mak Ani jatuh ke dalam laut. Anis membantunya ke darat. Hana mula menyelam mencari Mak Ani. Berita tentang Mak Ani jatuh ke dalam laut tersebar. Pak Halim, Shah dan orang-orang kampong pergi mencari Mak Ani tetapi terlambat.
Seluruh ahli keluarga Tanah Merah Resort melalui keperitan kehilangan Mak Ani. Terutama sekali Shah yang hilang harapan untuk terus hidup. Shah menganggap Mak Ani seperti ibunya sendiri. Ibu kandung Shah telah meninggal dunia sewaktu melahirkannya. Mak Ani dan Mak Hasni yang telah membesarkan Shah. Shah mula sugul dan murung.
Farhan diselubungi perasaan bersalah.
Kesedihan mula menyelubungi Tanah Merah Resort. Johanna simpati tetapi dia tidak boleh berdiam diri tanpa berbuat apa-apa. Dia teringat tentang Pak Halim yang telah menanam sesuatu di hujung resort. Johanna pergi menyiasat ke tempat itu. Dia terkejut apabila melihat apa yang telah ditanam. Namun, sebelum Johanna dapat berbuat apa-apa, seseorang telah memukul Johanna sampai pengsan.
EPISOD 10
Johanna terkejut bila dia sedar dan Ibrahim bersama dengannya di biliknya. Ibrahim memberitahu Johanna bagaiman dia menjumpai Johanna yang terbaring. Dia terkejut dan risau. Ibrahim tidak mahu apa-apa berlaku pada Johanna lagi. Hubungan mereka mula erat.
Farhan bertegang urat dengan Shah kerana Shah menyalahkan Farhan atas kematian Mak Ani. Farhan lebih tertekan bila bapanya sendiri, Pak Halim tidak mahu bercakap dengannya. Farhan teringat kisah pahit dirinya dengan Mak Ani dan Pak Halim dan sebab mengapa dia meninggalkan Tanah Merah itu sekian lama.
Tapi kepulangannya hanya mengeruhkan lagi keadaan bila ibunya mati bawah jagaannya.
Amran yang tidak puas hati atas kemurungan Shah mula mengambil alih tugas Shah dengan menyelenggarakan benda yang rosak di resort. Mak Hasni cuba memujuk Amran bahawa bukan salah Shah dia jadi begitu. Banyak sangat yang terjadi dan Shah masih muda.
Johanna memberitahu Amran dia dipukul dan dia mengesyaki Pak Halim ada kena mengena dengan kejadian itu. Amran menegaskan untuk Johanna hentikan penyiasatannya. Sudah cukup kejadian yang menyakitkan berlaku di resortnya. Dia tidak mahu Johanna menyukarkan lagi keadaan yang sedia ada itu.
Farhan ambil keputusan untuk meninggalkan Tanah Merah Resort itu selama-lamanya dan tiada siapa yang menghalang dia termasuk Pak Halim sendiri.
Johanna terdengar Amran bercakap dengan Pak Halim dan Johanna mula hilang kepercayaan kepada Amran yang telah dianggap seperti arwah bapanya.
Diari Mariam hilang. Johanna panic. Dia mendapat nota untuk pergi menemui orang yang mencuri diari Maryam di tepi laut.
EPISOD 11
Johanna pergi ke tepi laut dan mendapati Ibrahim di situ. Johanna terkejut apabila mendapati jurnal Maryam ada di tangan Ibrahim. Ibrahim yang telah mencuri diari itu. Ibrahim tahu tujuan sebenar Johanna datang ke Tanah Merah dan meminta Johanna menghentikan penyiasatannya. Johanna enggan. Ibrahim meminta Johanna menjaga diri demi keselamatannya. Banyak perkara yang Johanna tak boleh tahu. Kebenaran yang Johanna cari itu amat memeritkan.
Johanna yang tidak puas hati mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Inspektor Karim. Johanna memberitahu Inspektor Karim tentang pertembungannya dengan pembunuh Tanah Merah. Inspektor Karim meminta Johanna berhati-hati sementara dia meneruskan penyiasatannya.
Sementara itu Shah masih lagi bersedih dengan kematian Mak Ani. Dia berkurung dalam rumah sehingga jatuh sakit. Amran meminta Hana tolong menasihatkan Shah. Hana dengan rela hati pergi berjumpa Shah namun nasihatnya ibarat mencurah air di daun keladi.
Apabila Johanna mengetahui tentang keadaan Shah, Johanna pergi berjumpa dengan Shah dan memberinya semangat. Pada masa yang sama, Johanna meminta Hana pergi mengekori Pak Halim kerana mengesyaki yang dia adalah pembunuh sebenar Jaafar dan Maryam.
Pada malam itu, tanpa Hana sedar dia telah diekori oleh pembunuh di Tanah Merah. Shah yang akur denga Johanna dan mula mempunyai perasaan terhadap Johanna, akhirnya kembali bekerja. Shah dan Johanna terkejut bila mereka nampak mayat Pak Halim yang telah dibunuh di rumahnya!
EPISOD 12
Kematian seorang lagi penduduk Tanah Merah menyebabkan kekalutan dalam resort. Semua orang ketakutan memikirkan ada pembunuh bersiri yang sedang menunggu peluang untuk membunuh mereka.
Johanna tidak senang hati. Lagi dia fikir orang itu adalah pembunuh, lagi jauh tersasar apabila orang yang difikirkannya itu telah dibunuh.
Apabila teringat tentang subang yang dijumpai, Johanna makin yakin pembunuh ini seorang wanita. Adakah Hana pembunuhnya? Dia yang meminta Hana mengekori Pak Halim. Sebelum sempat memberitahu sesiapa, Johanna telah diculik!
Dalam episod ini, dua pembunuhan berlaku dan motif pembunuhan akan diketahui dalam konfrontasi kemuncak Tanah Merah. Juga, semua kisah sepuluh tahun yang lepas akan menjadi nyata, dengan nyawa Johanna bagai telur di hujung tanduk.
Satu pencarian dijalankan di Tanah Merah apabila mereka mengetahui yang Johanna telah diculik. Hana mengikut Ibrahim dan Shah yang membuang kebencian mereka antara satu sama lain untuk mencari Johanna.
Apakah perasaan Shah dan Ibrahim yang sebenarnya pasal Johanna?
EPISOD 13
Identiti pembunuh sudah diketahui. Sekarang misi menyelamatkan Johanna harus diteruskan.
Namun, Johanna masih ingin tahu motif sebenar pembunuh dan mengambil risiko mengadakan konfrontasi demi mendapatkan kebenaran. Rahsia sebenar Tanah Merah akhirnya terbongkar. Pembunuh telah kembali dengan dendam yang membara terhadap Tanah Merah.
Demi menyelamatkan dirinya, mampukah Johanna berdepan dengan fobia yang mencengkam sejak dia kecil, demi menyelesaikan misteri dan kebencian yang tertanam di Tanah Merah selama 10 tahun?
Siapakah bakal menjadi pilihan Johanna – Ibrahim atau Shah?
Apakah nasib semua watak dalam Tanah Merah? Saksikan episod akhir kisah penuh misteri ini!