Hujung minggu anda pasti ceria dengan slot dramedy terbaharu TV3 yang bakal keudara selama setengah jam setiap Sabtu bermula 7 Disember 2013 jam 9.00 malam, mempersembahkan “Mat Three Four”. Drama bersiri 13 episod ini terbitan Balang Rimbun Sdn Bhd ini diarahkan oleh Sabri Yunus, nukilan skrip oleh Fasyali Fadzly dengan memperkenalkan Ammar Titan (Mat), anak didik Sabri Yunus dalam program Bintang Mencari Bintang, dibantu oleh pelakon popular masa kini, Puteri Sarah (Suriati), Sabri Yunus (Penghulu Ghani), Namron (Sidi), Khatijah Tan dan ramai lagi.
“Mat Three Four” mengisahkan seorang anak muda bernama Mat tinggal di sebuah kampung, hidup sebatang kara setelah kematian neneknya. Mat tidak mempunyai sebarang harta benda dan hanya menumpang di sebuah rumah usang bersebelahan dengan landasan keretapo di tanah yang dimiliki oleh salah seorang penduduk di situ.
Setiap malam Mat akan mendengar lagu lama dengan menggunakan kaset melalui radio buruk miliknya. Mat yang buta huruf ini amat disenangi oleh semua penduduk kampung. Mat amat berminat menyanyi. Mat mendapat gelaran ‘Mat Three Four’ sebab setiap kali orang kampung menyebut ‘Three Four”, Mat akan terus menyanyi walaupun di mana Mat berada. Mat selalu menghiburkan penduduk kampung dengan nyanyiannya di gerai milik Sidi.
Walaupun Mat disenangi oleh penduduk kampung, Penghulu Ghani amat membenci Mat. Jikalau Mat datang menyanyi di gerai Sidi, Penghulu Ghani akan mengangkat kaki berlalu dari gerai tersebut. Penghulu Ghani menpunyai anak gadis yang cantik, Suriati yang baru habis belajar dari Maktab perguruan dan pulang ke kampung untuk mengajar. Riuh sekampung tentang kepulangan anak penghulu yang cantik itu. Setiap hari Mat akan melalui sekolah di mana Suriati mengajar, semata mata untuk melihat wajahnya.
Suatu hari motosikal Suriati telah rosak dalam perjalanan ke sekolah lalu menelefon ayahnya untuk segera menghantar mekanik. Kebetulan Mat lalu di situ dan dia telah membetulkan motosikal Suriati. Apabila Penghulu Ghani sampai bersama mekanik, motosikal Suriati telah pulih. Penghulu Ghani terus memarahi Mat tanpa mengucapkan terima kasih. Mat malu lalu meninggalkan tempat kejadian. Suriati tidak menyenangi sikap bapanya telah memaksa bapanya untuk meminta maaf daripada Mat. Penghulu Ghani dengan berat hati pergi ke rumah Mat bersama-sama Suriati untuk meminta maaf. Selepas kejadian itu, bermula kebencian dan dendam Penghulu Ghani kepada Mat semakin membara.
Sejak itu, hubungan Suriati dengan Mat semakin rapat. Suriati mendapat tahu bahawa Mat tidak tahu membaca apabila cubaan bapanya untuk memalukan Mat di satu majlis tidak kesampaian kerana orang kampung sendiri menyokong Mat. Suriati mula mengajar Mat membaca dengan menghadiahkan banyak buku kepada Mat. Banyak perkara lucu berlaku antara Mat dengan Penghulu Ghani, di mana segala cubaan untuk mengenakan Mat oleh penghulu Ghani semuanya dapat dipantau kerana penduduk kampung amat menyayangi Mat.
Antaranya apabila longkang tersumbat dan berbau busuk, penduduk kampung mengadu kepada Penghulu Ghani lalu beliau terus memberitahu pihak yang berwajib. Apabila mereka sampai, longkang yang tersumbat telah dibetulkan oleh Mat. Begitu juga apabila Mat disuruh menjadi AJK untuk majlis penyampaian anak cemerlang dimana Penghulu tahu tak ramai akan datang sebab cuma 2 orang sahaja anak kampung yang cemerlang. Atas usaha keras dan kejujuran Mat, akhirnya majlis itu menerima sambutan hebat dan perkara ini menambah lagi kebencian Penghulu Ghani terhadap Mat.
Satu hari, seorang jejaka kacak dengan kereta mewah dari bandar datang ke kampung dan berjumpa dengan Penghulu Ghani. Rupa-rupanya jejaka tersebut ialah anak Pak Tam, salah seorang penduduk kampung yang telah lama meninggalkan kampung tersebut dan tanah yang diduduki oleh Mat ialah kepunyaannya. Jejaka itu ingin bersemuka dengan Mat. Pada jangkaan Penghulu Ghani, jejaka itu akan menghalau Mat keluar dari tanah tersebut maka dengan gembira hati membawanya berjumpa dengan Mat. Jangkaan Penghulu Ghani meleset apabila jejaka tersebut telah memberikan tanahnya kepada Mat dan berterima kasih kepada Mat kerana menjaga tanah tersebut.
Jejaka muda itu terserempak dengan Suriati semasa bertandang ke rumah Penghulu Ghani lalu jatuh cinta atas kesopanan dan kecantikan Suriati. Dia memberitahu Penghulu Ghani hendak datang meminang Suriati. Penghulu Ghani hanya tersenyum dan mengalu-alukan kedatangan rombongan meminang tetapi jawapan persetujuannya hendaklah datang daripada Suraiti sendiri. Mat yang berada di situ mendengar segala perbualan dan dia berasa cemburu kerana cintanya terhadap Suriati. Dalam masa dua minggu lagi, jejaka tersebut akan membawa rombongan meminang.
Dua minggu telah berlalu dan deruan kereta rombongan untuk meminang Suriati berdesup lalu di hadapan rumah Mat membuatkan hati Mat tambah kecewa dan terguris. Siapakah pilihan Suriati? Bagaimanakah kesudahan nasib Mat selepas ini? Teruskan menonton dramedy hiburan seisi keluarga ‘Mat Three Four’ menerusi slot baru hujung minggu setiap hari Sabtu jam 9.00 malam bermula 7 Disember 2013 di TV3. Penonton yang terlepas menyaksikan ‘Mat Three Four boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari laman sesawang www.tv3.com.my, Facebook & Twitter TV3MALAYSIA untuk mendapatkan berita terkini.