Drama bersiri 20 episod ini diterbitkan oleh Eleven Field Creative Sdn Bhd, diarahkan oleh Raja Mukhriz R Ahmad Kamaruddin, nukilan skrip oleh Ellyna Ahmad & MF Kencana dan menampilkan barisan pelakon handalan tanah air seperti Adibah Noor, Fifi Laura Olivia, Azhan Rani, Dynas Mokhtar, Pekin Ibrahim, Fimie Don, Afifah Nasir dan ramai lagi.Â
KELUARGA UNTUK DISEWA mengisahkan Aina (Fifi Laura Olivia) kehilangan keluarganya dalam sebuah tragedi kemalangan jalan raya. Neneknya, Puan Sri Maryam (Adibah Noor), seorang ikon wanita yang sangat digeruni di Melaka terkejut dengan berita kematian anak tunggalnya, Marissa. Kini, hanya cucu bongsunya, Aina yang terselamat dan berada dalam koma.
Selepas Aina sedarkan diri, doktor mengatakan Aina telah hilang ingatan dan Aina perlukan perhatian dari keluarga untuk cepat sembuh. Sabaruddin (Pekin Ibrahim) yang merupakan pembantu peribadi Puan Sri Maryam mencadangkan Puan Sri Maryam untuk mencari keluarga olok-olok untuk Aina supaya anak kecil ini dapat rasa hidupnya dikelilingi kasih sayang.
Pada mulanya, Puan Sri Maryam enggan. Apabila Aina mula bertanya di mana keluarganya, Puan Sri Maryam tidak sampai hati memberitahu cucunya yang dia kini anak yatim piatu. Oleh itu, Puan Sri Maryam bersetuju untuk mengupah empat individu untuk menyamar sebagai ahli keluarga Aina iaitu Marissa (ibu), Azman (ayah), Hisham (abang) dan Anis (kakak).
Puan Sri Maryam menjumpai Alwi (Azhan Rani), seorang lelaki yang berhutang dengan pemiutang. Intan (Dynas Mokhtar), ibu tunggal yang juga penyanyi kelab malam. Fikri (Fimie Don), seorang remaja bermasalah yang lari dari rumah dan Nora (Afifah Nasir), gadis yang terpaksa menyara adik-adiknya setelah kematian ibu bapanya. Walaupun keempat-empat ini sangat berbeza dari segi rupa, saiz dan perwatakan dari keluarga Aina yang asal tetapi Puan Sri Maryam terdesak lalu terpaksa terima saja.
Alwi, Intan, Fikri dan Nora yang saling tidak mengenali telah menerima tawaran Puan Sri Maryam kerana gaji bulanan yang lumayan dan juga bonus di hujung kontrak yang dijanjikan itu. Mereka berusaha untuk menyesuaikan diri dan cuba sebaik mungkin untuk mewujudkan kemesraan dan keharmonian seperti sebuah keluarga bahagia.
Tanpa diduga, Aina menjadi rapat dengan keluarga sewanya. Pelbagai isu dan permasalahan timbul dalam lakonan Alwi, Intan, Fikri dan Nora untuk terus berlakon menjadi keluarga Aina. Apakah yang akan berlaku seterusnya?
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV9, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV9Malaysia. Â