Darah daging terpisah selama 20 tahun akibat tekanan hidup yang melampau hanya mampu menikmati kebahagiaannya selepas pengorbanan besar dituntut. Menyusuli ’Derhaka Seorang Madu’, nantikan JANJI ADAM, drama bersiri terbaru terbitan Creative Skill Solution, arahan Aidilfitri Mohd Yunos bakal menemui para penonton TV3 menerusi slot Azalea bermula 24 September 2013, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.00 petang.
Drama bersiri 20 episod ini merupakan hasil nukilan skrip oleh Nieza Nahar dan Sharizad Shafian dibintangi oleh Zul Ariffin (Adam), Elfaeza Ul Haq (Ayshah), Zoey Rahman (Asfar), Fiffy Natasya (Raihana), Kathy Azean (Zainab), Dato’ Jalaluddin Hassan (Tuan Zaidi), Zarina Zainuddin (Yuhanis), Emma Akma (Fatimah), Zuhairi Ibrahim (Zahari), Aishah Sudin (Kak Ton), Hafeez Mikhail (Jeff), Syamiera Farha (Laili), Azmi Osman (Samad), Hanafi Rahman (Malik), adik Dzedryan Daniel (Adam waktu kecil), adik Muhammad Mirza Ihtisyam (Asfar waktu kecil) dan adik Dania Safeeya Solby (Raihana waktu kecil).
[pullquote align=”right”]Impikan Kebahagiaan Di Sebalik Penantian Selama 20 Tahun. Tonton di TV3 menerusi slot Azalea bermula 24 September 2013, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.00 petang.[/pullquote]
Baik kata pepatah ”air dicincang tidak akan putus”, Adam tidak pernah berputus asa untuk menjejaki adik-adiknya, Asfar dan Raihana walaupun sudah berpisah selama 20 tahun. Sewaktu Adam masih berumur 9 tahun, ayahnya, Zahari mati terbunuh kerana Jeff mengesyaki Zahari mempunyai hubungan sulit dengan teman wanitanya Laili yang juga merupakan pelanggan tetap teksinya.
Sinopsis Janji Adam
Sebenarnya, sebagai seorang ayah, Zahari begitu tertib dalam mendidik anak-anaknya, terutama anak sulungnya, Adam. Zahari mahu memastikan Adam membesar sebagai seorang lelaki yang baik dan penuh dengan ciri-ciri tanggungjawab dalam dirinya supaya menjadi teladan baik kepada adik-adiknya, Asfar (7 tahun) dan Raihana (1 tahun).
Adam pula menjadikan ayahnya sebagai idola. Sebelum tragedi tersebut berlaku, Zahari sempat menitipkan satu amanat untuk menjaga ibu dan adik-adiknya sekiranya berlaku sesuatu kepadanya. Justeru, selepas ketiadaan Zahari sebagai tunggak keluarga, sebagai anak sulung, Adam sanggup mengharungi kesusahan bersama ibunya, terutama dalam menyelesaikan kemelut masalah arwah ayahnya. Asfar dan Raihana telah diserahkan kepada keluarga angkat. Adam juga berjanji dengan Zainab bahawa suatu hari nanti, dia akan membawa pulang Asfar dan Raihana.
Selepas 20 tahun, Adam telah bekerja sebagai seorang Illustrator dan tidak pernah melepaskan sebarang maklumat untuk menjejaki Asfar dan Raihana. Usaha Adam untuk mencari Raihana telah menemukannya dengan Asyhah, seorang penulis novel yang merupakan anak kepada pemilik syarikat penerbitan, Tuan Zaidi. Apa yang tidak dijangkakan ialah abang angkat kepada Ayshah, Asfar sebenarnya merupakan adik kandung Adam yang dicari-carikan selama ini. Asfar yang terasa terhutang budi kepada Tuan Zaidi dan Puan Yuhanis yang telah mendidiknya sejak kecil sehingga menjadi seorang yang berjaya tidak sampai hati melukakan hati keluarga angkatnya.
Ayshah tertarik dengan sikap lurus Adam dan kecekalannya yang tidak pernah berputus asa untuk mencari adik-adiknya. Justeru, Ayshah menawarkan bantuan untuk menolong Adam dan mereka sering berjumpa. Lama-kelamaan, Adam terharu dengan sokongan yang diberikan oleh Ayshah. Keletah Ayshah yang gemar mengusik sering membuatkannya terhibur. Mereka mula menyulam kasih menerusi pertukaran puisi. Namun, Adam masih belum bersedia untuk meluahkan perasaannya terhadap Ayshah kerana mahu fokus kepada pencarian adik-adiknya.
Pertemuan Adam dengan adik perempuannya Raihana menerima tamparan yang hebat apabila Raihana secara terang memberitahu dia tidak akan kembali kepada Zainab yang sanggup membuangnya pada waktu kecil. Adam hanya mampu pulang ke kampung dengan hampa kerana Zainab semakin tenat.
Ayshah mula meragui identiti sebenar Asfar namun ayahnya, Tuan Zaidi membidas persoalannya dan telah mengarahkannya supaya menjauhkan diri daripada Adam. Ayshah yang kecewa dengan sikap degil ayahnya telah melarikan diri ke kampung Adam. Di sana, Ayshah membuat keputusan yang mengejutkan untuk menyamar sebagai Raihana kerana melihat keadaan Zainab yang sedang tenat. Kebaikan Ayshah disalah ertikan oleh Zainab apabila Raihana balik ke kampung.
Jom Tonton Janji Adam
Namun, mereka tidak menyangka penantian selama 20 tahun ini menuntut sebuah pengorbanan yang besar. Apakah yang akan berlaku pada Adam dan keluarganya? Bagaimana pula dengan kisah selanjutnya bagi cinta Adam dan Ayshah?
Saksikan drama bersiri baru, Janji Adam menerusi slot Azalea di TV3, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.00 petang mulai 24 September 2013, semestinya di TV3!