Selepas kejayaan drama premium di bawah jenama Astro Originals, iaitu ‘Kampung Pisang Bersiri-Siri’ dan ‘Projek: Anchor SPM’, Astro terus komited dalam mempersembahkan pelbagai lagi konten terbaik kepada penonton dan mampu mengangkat drama tempatan ke tahap yang lebih tinggi.
Terbaharu, I-Tanggang bakal mengisi slot Astro Originals. Lebih menarik, ia diinspirasikan daripada konflik kekeluargaan yang sememangnya berlaku di negara kita dan tidak pernah didedahkan. Tambah unik, ia merupakan drama pertama di Malaysia yang mengetengahkan isu penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy.
I-Tanggang bukan sekadar meneroka subjek berbeza daripada kebiasaan, tetapi turut mempertaruhkan naratif baru kepada penonton di mana ia memaparkan kisah seorang ibu yang mempergunakan anaknya yang dikatakan sakit demi meraih simpati, sumber pendapatan dan dendam. Drama premium 12 episod ini bakal menemui penonton mulai 13 September 2021, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam di Astro Citra, saluran 108.
I-Tanggang merupakan idea asal oleh bakat kreatif cukup berkaliber, Wan Hasliza Wan Zainuddin. Beliau juga bertanggungjawab sebagai pengarah bersama-sama Wan Alauddin Wan Zainuddin dan Rashidi Ishak. Bukan itu sahaja, Wan Hasliza dan Wan Alaudin bersama Keen turut menghasilkan skrip yang mantap untuk I-Tanggang. Wan Hasliza sering memberi sentuhan magis pada drama kekeluargaan yang bergenre drama komedi seperti Keluarga Iskandar The Movie, Keluarga Iskandar, Jodoh, Kampung People dan banyak lagi, tetapi kali ini menerusi I-Tanggang memperlihatkan kemampuan beliau dalam mengarahkan drama kekeluargaan dengan isu yang lebih berat di bawah genre Family Crime Drama. Selain itu, Rashidi Ishak juga memperkukuhkan sisi lain beliau dalam pengarahan.
Secara keseluruhan, kisah kekeluargaan yang diketengahkan ini amat dekat dengan masyarakat dan bakal menyuntik pelbagai emosi melalui karakter yang dipersembahkan. Lakonan mantap sekali gus meninggalkan kesan itu telah digerakkan oleh barisan pelakon hebat seperti pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2012, Sherie Merlis, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25, Faizal Hussein, Danish Hazriq (Pelakon Pembantu Lelaki Anugerah Skrin 2018), Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofea Jane, Andy Teh, Rashidi Ishak, Rashid Salleh, Syed Nahar, Rosdeen Suboh dan Yuyun Hikmah.
Penerbit, Pengarah, Penulis Skrip dan Idea Asal I-Tanggang, Wan Hasliza Wan Zainuddin menyatakan pihak penerbit KL Motion Pictures ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Astro kerana memberi peluang untuk merealisasikan drama I-Tanggang ini. “I-Tanggang sebuah drama berat yang menekankan penderaan kepada seorang anak oleh seorang ibu yang mempunyai penyakit Munchausen Syndrome by Proxy. Bukan itu sahaja, ia juga fokus kepada konsep ‘derhaka’. Derhaka itu bukan datang dari satu sudut. Banyak perkara lain yang menyumbang kepada penderhakaan atau kekhianatan seseorang.”
“Kami ingin menyajikan konten yang baik untuk tontonan semua lapisan penonton. Bagi pemilihan pelakon, ia terdiri daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan menggabungkan pelakon baru dan lama supaya drama ini lebih realistik bila ditonton oleh masyarakat. Kami berharap apa yang kami sajikan melalui drama ini, ia bukan sekadar untuk hiburan semata tetapi apa yang kami ingin kongsikan kepada penonton dapat diterima dan boleh menjadi perbincangan di kalangan masyarakat. Semoga penonton Malaysia terus menjadi penonton yang matang dan bijak.” – tambah Wan Hasliza lagi.
Dalam pada itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata pihaknya amat teruja dapat bekerjasama dengan produksi KL Motion Pictures dalam mempersembahkan I- Tanggang kepada penonton Malaysia. “Drama premium I-Tanggang membawakan genre dan mood berbeza jika dibandingkan dengan drama- drama di bawah jenama Astro Originals sebelum ini. Malah, ia juga menawarkan jalan cerita berkualiti yang diinspirasikan daripada isu yang memang wujud di Malaysia dan sedikit sebanyak mampu mengajak masyarakat melihat definisi tekanan melalui perspektif institusi kekeluargaan, di samping turut memberi pendedahan tentang kesihatan mental sindrom Munchausen Syndrome by Proxy. Pihak kami juga berkolaborasi dengan pihak Pakar Psikologi dari Universiti Malaya dalam berkongsi pengetahuan berkenaan masalah kesihatan mental. Kami harap, I-Tanggang bukan sahaja mampu mengutuhkan lagi jenama Astro Originals sebagai hab kandungan drama premium tanah air yang digemari ramai, tetapi turut memberi nilai hiburan dan pengalaman berbeza disamping mencetus kesedaran atau “reality check” untuk kita semua tentang apa yang sedang berlaku di luar sana serta kesan kepada orang sekeliling, terutamanya keluarga tersayang.”
Isu sosial yang diketengahkan dalam I-Tanggang turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada UMCares sebagai Pusat Komuniti dan Kelestarian dibawah naungan Universiti Malaya. Dalam usahasama ini, pihak UM akan menampilkan pakar-pakar psikiatri untuk mengulas dan memberi kesedaran tentang kesihatan mental kepada masyarakat menerusi platform Astro seperti media sosial, program bual bicara TV, ruangan khas editorial dan radio. Kerjasama antara pihak Astro dan UM juga menekankan bahawa pentingnya peranan kedua-dua pihak dalam mengetengahkan isu kesihatan mental dan kekeluargaan yang semakin terjejas ekoran pandemik yang kini melanda diseluruh dunia.
Babak-babak I-Tanggang turut diiringi dengan lagu tema bertajuk ‘Gelap’, nyanyian Satwo, lagu ‘Cahaya Malam’, nyanyian Satwo dan lagu ‘Bukan Mainan’, nyanyian Rashidi Ishak.
Episod pertama ‘I-Tanggang’ akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria pada jam 9.00 malam, 13 September ini. Manakala, untuk minggu-mingu seterusnya, saksikan I-Tanggang yang akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada setiap hari Isnin, jam 9.00 malam.
Untuk pilihan alternatif, anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.
SINOPSIS I-TANGGANG
I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya. Pada majlis pelancaran bukunya, Erma membuat pengumuman yang Khay hanya ada masa enam bulan untuk hidup. Berita ini sangat mengejutkan Khay. Adakah dia betul-betul akan mati dalam masa enam bulan? Rahmat, ayah kepada Khay dan Doktor Nini, salah seorang bekas doktor Khay juga meragui berita tersebut.
Setelah sekian lama tidak berjumpa, Rahmat menghadiahkan sebuah telefon bimbit kepada Khay tanpa pengetahuan Erma. Dengan menggunakan telefon tersebut, Khay berjumpa dengan dua rakan dalam talian, Royal E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) dan menubuhkan kumpulan ‘group chat’ bernama I- Tanggang.
Sementara itu, kehidupan Syafiq juga dilanda konflik apabila terpaksa mengambil alih tugas ibu bapanya untuk menjadi ketua keluarga dengan bekerjasama sebagai ‘rider’ penghantar bagi menyara hidup mereka terutamanya lima orang adiknya yang masih kecil. Ini menyebabkan Syafiq mula rasa benci terhadap ibu bapanya yang tidak bertanggungjawab. Sementara itu, Esra pula terlalu dimanjakan sehingga dia tidak mempunyai sifat kemanusiaan. Apabila Esra dan Syafiq mendapat tahu yang Erma memalsukan penyakit Khay dan cuba membunuhnya, Esra bersama Syafiq membuat rancangan untuk menyelamatkan Khay. Namun, perancangan itu akhirnya memakan diri mereka sendiri.