Tak Ada Yang Tak Bisa (TAYTB) merupakan sebuah karya dari Faizal Lubis, komposer dan pengasas Fabis Studio. Faizal Lubis pernah menjadi pemain keybod undangan untuk kumpulan Noah & kumpulan Radja, serta menyusun beberapa lagu di album kumpulan Alexa. Goodsound Music Publishing Sdn Bhd yang berpusat di Malaysia telah diberi mandat untuk menjaga hak karya cipta lagu Tak Ada Yang Tak Bisa (TAYTB) tersebut untuk seluruh dunia kecuali Indonesia.
“Proses rakaman untuk lagu Tak Ada Yang Tak Bisa (TAYTB) telah dilakukan sejak lima bulan yang lalu dengan merakamkan semua vokal bintang Aletta Stars dan memilih Thia, Fikri dan Stevani kerana mereka adalah tiga pilihan terbaik,”
– Faizal Lubis
“Lagu Tak Ada Yang Tak Bisa (TAYTB) sepatutnya menjadi single kedua untuk album Aletta Stars. Namun, ianya ditukar kepada konsep pop kemanusiaan di mana idea menggabungkan penyanyi Malaysia dan Indonesia untuk projek ini tercetus melalui hasil perbincangan Faizal Lubis, selaku komposer dan pengasas Fabis Studio dan Encik Osman Arrifin, selaku wakil dari Life Records.
Tak Ada Yang Tak Bisa (TAYTB) menggabungkan artis-artis dari dua negara iaitu Malaysia & Indonesia. Sebuah kolaborasi di antara artis-artis naungan Life Records iaitu Aweera Pelita Lusoh dan Azlan Typewriter bersama artis-artis naungan Fabis Studio iaitu Aletta Stars – Thia, Fikri dan Stevani bersama artis veteran Indonesia iaitu seniman Rafli Kande dan Edo Kondologit.
Menurut Faizal Lubis lagi, sebahagian daripada hasil jualan digital Tak Ada Yang Tak Bisa (TAYTB) akan disumbangkan kepada dana tabung Covid 19 untuk pembelian Alat Pelindung Diri (APD) untuk kakitangan perubatan dan mereka yang terlibat dalam usaha membasmi pandemik Covid 19.
“Projek pop kemanusiaan melalui single Tak Ada Yang Tak Bisa (TAYTB) ini merupakan satu kolaborasi penghormatan, bukan hanya di antara pemuzik dan industri muzik, malahan ianya kerjasama di antara negara dalam memperlihatkan keprihatinan industri muzik tentang pandemik yang dihadapi oleh seluruh dunia.
Single Tak Ada Yang Tak Bisa (TAYTB) bukan sahaja di rilis di Indonesia, tetapi juga akan di rilis secara digital di Singapura, Malaysia, Brunei, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun.”
– Encik Osman Ariffin
Artis-artis yang terlibat dalam single Tak Ada Yang Tak Bisa (TAYTB) amat menghargai peluang yang diberikan untuk menjayakan projek pop kemanusiaan ini dan mengharapkan niat murni mereka dapat dihargai oleh semua pihak terutama semua penggemar muzik samada di Malaysia, Indonesia mahupun antarabangsa dan menjadi salah sebuah karya teragung buat selamanya.
Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham merupakan vokalis kumpulan rock Pelita Lusoh yang sedang popular melalui single “Kekaseh Syurga” dan “PIL”. Bakat Aweera dicungkil menerusi program realiti TV One In A Million musim ketiga terbitan 8TV pada tahun 2009. Sebelum menyertai Pelita Lusoh, Aweera pernah menganggotai kumpulan MOJO dan kumpulan Prime Domestic sebagai vokalis utama. Aweera juga pernah mengeluarkan beberapa single solo.
“Saya dan rakan seperjuangan di Malaysia sentiasa prihatin dan berjuang untuk membantu mangsa kemanusiaan melalui muzik. Projek pop kemanusiaan ini berbeza dari yang lain, kerana adanya kerjasama artis dan muzik antara negara,”
– Aweera
Nor Azlan Rosle atau Azlan Typewriter, seorang penyanyi, pemuzik dan penulis lagu merupakan bekas vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) yang popular dengan lagu Laguku Untukmu. Azlan Typewriter kini sedang mempromosikan single keduanya iaitu Kukuh dari EP Teratas di bawah edaran Life Records.
“Semoga projek pop kemanusiaan, hasil dari kolaborasi musik antara negara ini menjadi kenangan terindah sepanjang masa,”
– Azlan
Kumpulan vokal Aletta Stars dianggotai oleh Thia, Fikri dan Stevanimerupakan bintang baru yang digilap oleh Fabis Studio melalui pertandingan karaoke melalui aplikasi SMULE pada bulan Mac 2019 yang menarik minat lebih daripada 500 peserta dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Taiwan, dan Hong Kong.
ThiaAletta Stars yang baru berumur 19 tahun dilahirkan di Manado pada 25 Julai 2001 mengharapkan semoga projek pop kemanusiaan menjadi karya agung pemuzik dan karya agung dalam industri muzik Indonesia dan industri muzik antarabangsa.
Fikri Aletta Stars ,23 tahun, yang memiliki suara emas berasal dari Banjar Patroman pernah mengeluarkan single pertama berjudul Cinta yang berkolaborasi dengan Asty. Kepercayaan produser Faizal Lubis pada kemampuan Fikri, membawanya pada single kedua Miss U Love U.
“Akhirnya muzik sebagai bahasa universal terbukti juga sebagai bahasa yang menyatukan rasa keprihatinan menerusi projek pop kemanusiaan ini”.
– Fikri
Stevani Augusta, 22 tahun, yang berasal dari Cirebon merupakan seorang penyanyi, pengacara dan model. Stevani mempunyai hobi melukis. Single pertamanya berjudul Indahnya Jatuh Cinta mengharapkan agar single Tak Ada Yang Tak Bisa (TAYTB) ini dapat diterima peminat seni suara di saat dunia di landa pandemik Covid 19.
Rafli Kande, 53, seorang artis muzik dunia dan Anggota Parlimen Republik Indonesia yang berasal dari Samadua, Aceh Selatan. Rafli Kande pernah menjadi guru dan telah bergiat dalam muzik sejak tahun 1988.
Rafli Kande menganggotai sebuah kumpulan bernama KanDe yang memperjuangkan muzik tradisional Aceh dengan sentuhan moden serta lagu-lagunya yang sarat dengan pesanan ketuhanan dan kemanusiaan.
Karya-karya Rafli Kande mendapatkan apresiasi yang baik dari masyarakat. Lagu ciptaannya menjadi salah satu lagu runut bunyi untuk filem ‘Hafalan Shalat Delisa’.
“Kerana muzik adalah sebahagian daripada peradaban dunia dan sebahagian daripada identiti nasional, saya merasa terpanggil untuk mengambil bahagian dan mengambil berat tentang bencana.
Dalam kes ini melalui muzik dalam projek pop kemanusiaan. Saya telah melakukan sesuatu seperti ini semasa bencana Tsunami di Aceh ”
– Rafli Kande
Edo Kondologit, 53, anak kelahiran Papua merupakan seorang pelakon dan penyanyi jazz. Edo Kondologit mempunyai dua buah album iaitu Yang Menangis (1998) dan Pagi Pertama (2004). Edo Kondologit pernah membintangi filem Red CobeX (2010), Seputih Cinta Melati dan Salah Bodi (2014) Pacarku Anak Koruptor (2016) dan Boven Digoel (2017). Edo Kondologit juga pernah membintangi sinetron Keluarga Minus pada tahun 2011 dan Madun pada tahun 2015.
“Semoga single Tak Ada Yang Tak Bisa (TAYTB) sebuah projek pop kemanusiaan ini menjadi bentuk keprihatinan pemuzik terhadap bencana yang berlaku di bumi ini”